Friday, November 27, 2015

An Najwa (Suatu Rahsia)

Jumaat, 15 Safar 1437H: Dari Shafwan bin Muhriz r.a. katanya seorang lelaki bertanya kepada Ibnu 'Umar, "Bagaimana yang Anda dengar sabda Rasulullah saw. tentang "An Najwa" (suatu rahsia)?" 

Jawab Ibnu 'Umar, "Aku mendengar beliau mengatakan, bahawa nanti pada hari kiamat orang-orang mukmin didekatkan kepada Tuhannya, Allah azza wa Jalla, sehingga dia terdinding. Lalu Allah mengingatkannya akan dosa-dosanya seraya bertanya, "Ingatkah kamu akan dosa-dosamu itu?" 

Jawab orang mukmin, "Kami ingat, wahai Tuhan!" 

Firman Allah, "Aku telah menutupnya (merahsiakan atau menyembunyikan) selama kamu di dunia, dan sekarang pada hari kiamat Ku ampuni pula dosa-dosa mu itu." Lalu diberikanNya surat keterangan kelakuan baik. 

Adapun orang-orang kafir dan munafik, mereka diteriakkan (diumumkan) di tengah-tengah khalayak ramai, "Inilah orang-orang yang mendustakan Allah."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, November 26, 2015

Wajib Bersikap Baik

Khamis, 14 Safar 1437H: Dari Syaddad bin Aus r.a. katanya: "Ada dua pesan Rasulullah saw. yang selalu ku ingat dengan baik, iaitu sabda beliau, 

"Sesungguhnya Allah Ta'ala telah mewajibkan supaya selalu bersikap baik terhadap segala-galanya. 

Jika kamu membunuh (buruan) lakukanlah dengan cara yang baik. 

Dan jika kamu menyembelih sembelihan, lakukanlah dengan cara yang baik, tajamkan mata pisaumu, sehingga tidak terlalu menyakiti haiwan sembelihanmu."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, November 25, 2015

Doa Mohon Perlindungan...

Rabu, 13 Safar 1437H: Aisyah r.a. isteri Nabi saw. menceritakan, bahawasanya Nabi saw. mendoa dalam solat. Doanya: "Allahumma inni a'udzubika' min 'adzabil qabri, wa a'udzu bika min fitnatil masihid dajjaal, wa a'udzu bika min fitnatil mahyaa wa fitnaatil mamati, Allahumma inni a'udzu bika minal ma'tsam wal maghram."
(Wahai, Allah! Aku berlindung dengan Engkau dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari bencana kehidupan dan dari bencana kematian. Wahai, Allah! Aku berlindung dengan Engkau dari segala dosa dan bencana hutang).
Seseorang bertanya, "Mengapa sering benar Tuan meminta perlindungan dari bencana hutang?"
Jawab Nabi, "Sesungguhnya apabila seseorang telah berhutang, biasanya apabila dia berkata dia dusta. Dan apabila dia berjanji dia mungkir."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, November 20, 2015

Lelaki Berduaan Dengan Seorang Wanita

Jumaat, 8 Safar 1437H: Dari lbnu Abbas r.a., dari Nabi saw. beliau bersabda: 

"Janganlah sekali-kali seorang laki-laki berduaan saja dengan seorang wanita, melainkan dengan didampingi seorang muhrim." 

Lalu ada seorang laki-laki berdiri dan berkata: "(Isteri saya pergi haji, sedangkan saya telah ditetapkan untuk ikut dalam peperangan ini dan peperangan itu.

Rasul berkata: "Kembalilah, dan pergilah haji bersama dengan isterimu! "

Hadis Sahih Bukhari .

Thursday, November 19, 2015

Kalaulah Mereka Tahu

Khamis, 7 Safar 1437H: Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Ketika seseorang berjalan di suatu jalan; kemudian di menjumpainya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya. 

Sesudah itu beliau bersabda. pula: "Yang disebut mati syahid itu ada lima macam: 
1. Orang mati kena tikam. 
2. Orang mati kerana sakit perut (kolera?) 
3. Orang mati tenggelam. 
4. Orang mati ditimpa tanah longsor (runtuh). 
5. Orang yang mati fi sabilillah (mati di medan perang kerana berjuang menegakkan Agama Allah). 

Kalaulah manusia tahu keutamaan azan dan saf pertama solat berjemaah, tetapi mereka tidak mungkin mendapatkannya kecuali hanya dengan jalan diundi, nescaya mereka akan mahu diundi untuk mendapatkannya. 

Kalaulah mereka tahu keutamaan solat Zohor (dilakukan tepat pada awal waktu), pastilah mereka akan berlumba-lumba melaksanakannya. 

Dan kalaulah mereka mengetahui keutamaan solat Isyak dan solat Subuh (dengan berjemaah), pastilah mereka akan memerlukan datang (ke masjid), sekalipun mereka akan merangkak."

Hadis Sahih Bukhari 

Wednesday, November 18, 2015

Dia Ikut Berperang?

Rabu, 8 Safar 1437H: Dari Zaid bin Khalid Al Juhani r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya:

"Orang-orang yang bekerja menyiapkan perlengkapan perang fi sabilillah, bererti dia ikut berperang dan orang-orang yang mengurus keluarga yang ditinggalkan orang yang pergi perang bererti dia ikut berperang."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, November 17, 2015

Syam Dan Yaman!

Selasa, 5 Safar 1437H: Ibnu Umar r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah. saw. pernah mendoa: 

"Wahai Allah! Berilah kami berkat di negeri kami Syam dan Yaman!" 

Tanya mereka (para sahabat), "Nejd, bagaimana ya, Rasulullah?" 

Jawab Nabi saw., "Wahai, Allah! Berilah kami berkat di negeri kami Syam dan Yaman!

Tanya mereka, "Nejd, bagaimana ya,Rasulullah?" 

Jawab Nabi saw., "Di sana akan banyak terjadi gempa bumi dan berbagai macam bencana. Dan di sana akan timbul juga kurun syaitan."

Hadis Sahih Bukhari 

Monday, November 16, 2015

Angin Dalam Perut

Isnin, 4 Safar 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda :

"Apabila kamu merasa ada angin dalam perutmu, kemudian kamu ragu apakah angin itu keluar atau tidak, maka janganlah keluar dari masjid sebelum jelas terdengar suara (kentut) atau mencium bau."

 Hadis Sahih Muslim

Friday, November 13, 2015

Apabila Melihat Hujan

Jumaat, 1 Safar 1437H: Berita dari 'Aisyah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. apabila melihat hujan, beliau berkata:

"Semoga hujan yang bermanfaat."

Hadis Sahih Bukhari 

Thursday, November 12, 2015

Apabila Langit Mendung Dan Awam Hitam Pekat

Khamis, 30 Muharram 1437H: Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Bila angin bertiup kencang, maka Rasulullah saw. membaca doa sebagai berikut: 'Allahumma inni as-aluka khairaha wa khaira ma fiha, wa khaira ma ursilat bihi. Wa a'udzubika min syarriha wa syarri ma fiha, wa syarri ma ursilat bihi'.

Dan apabila langit telah mendung dan warnanya berubah (hitam pekat disertai kilat dan guntur), beliau kelihatan gelisah, sehingga beliau keluar masuk ke muka dan ke belakang.

Tetapi bila hujan telah turun, beliau gembira, kerananya, dan kelihatan di wajah beliau. Kerana itu aku bertanya kepada beliau, kenapa dia sampai begitu.

Jawab beliau, "Mungkin, hai 'Aisyah, seperti apa yang dikatakan mengenai kaum 'Ad: 

"Setelah mereka melihat awan itu membentang menuju ke lembah-lembah mereka lalu berkata : Inilah awan-awan itu datang hendak menurunkan hujan bagi kita! (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): Tidak! Bahkan itulah azab yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang menbawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya:" (Ahqaf: 24)

Hadis Sahih Muslim

Friday, November 6, 2015

Thursday, November 5, 2015

Perbanyakkan Doa Dalam Sujud

Khamis, 23 Muharram 1437H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. membuka tirai (kamarnya ketika beliau sakit tenat), padahal ketika itu jemaah sedang solat berjemaah diimami Abu Bakar. 

Lalu beliau bersabda: "Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus ku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah 'Azza wa Jalla di dalam rukuk, dan perbanyaklah doa di dalam sujud, pasti doamu diperkenankan Allah swt."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, November 4, 2015

Tiga Perkara Dimohon Oleh Rasulullah SAW

Rabu, 22 Muharram 1437H: Dari 'Amir bin Sa'ad, dari bapanya r.a. katanya, "Pada suatu hari Rasulullah saw. datang dari daerah perbukitan. Ketika beliau sampai di Masjid Bani Mu'awiyah beliau masuk ke masjid lalu solat dua rakaat. Kami pun solat pula bersama-sama dengan beliau. 
Beliau mendoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah mendoa beliau berpaling kepada kami lalu bersabda,
"Aku memohon kepada Tuhan ku tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara.
Aku memohon kepada Tuhan ku supaya jangan membinasakan ummat ku dengan musim susah yang panjang, maka diperkenankan.
Aku memohon supaya ummat ku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda ummat Nabi Nuh, atau seperti tentera dan Raja Fir'aun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga.
Aku memohon supaya ummat ku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, November 3, 2015

Doa Sepertiga Malam

Selasa, 21 Muharram 1437H: Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: Tuhan kita yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun (rahmatNya) setiap malam ke langit yang dekat, di waktu sepertiga malam yang terakhir, lalu berfirman: 

"Siapakah yang mendoa kepadaKu, nanti akan Ku perkenankan doanya? 

Siapakah yang meminta kepada Ku, nanti akan Aku beri permintaannya? 

Siapakah yang meminta ampun kepada Ku, nanti akan Ku ampuni kesalahannya?"

Hadis Sahih Bukhari

Monday, November 2, 2015

Penduduk Syurga & Penduduk Neraka

Isnin, 20 Muharram 1437H: Dari Haritsah bin Wahab r.a. katanya dia mendengar Nabi saw. bersabda: "Mahukah kamu sekalian ku beritahukan siapa penduduk syurga?" 

Jawab para sahabat, "Tentu, ya Rasulullah!

Sabda beliau, "Orang-orang daif bila dihina orang, lalu dia bersumpah dengan menyebut nama Allah (dan mendoa kepada-Nya), maka doanya sungguh diperkenankan Allah." 

Kemudian beliau bertanya pula, "Mahukah kamu ku beritahukan siapa penduduk neraka?" 

Jawab mereka, "Tentu!" 

Sabda beliau, "Setiap orang yang kasar, besar mulut, angkuh, mewah namun kikir dan sombong."

Hadis Sahih Muslim 

Friday, October 30, 2015

Doa Yang Paling Banyak DiBaca Nabi SAW

Jumaat, 17 Muharram 1237H: Dari 'Abdul 'Aziz r.a. iaitu Ibnu Shuhaib katanya: 

"Qatadah bertanya kepada Anas r.a., Doa apakah yang sering dibaca Nabi saw"?" 

Kata Anas, "Doa yang paling banyak dibaca Nabi saw. ialah: 

"Allahumma aatina fid dunya hasanah. wa fil aakhirati hasanah, Wa qinaa 'adzaban nar." 
(Wahai Allah, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, serta hindarkanlah kami dari seksa neraka)

Hadis Sahih Muslim

Thursday, October 29, 2015

Doa Orang Bersin

Khamis, 16 Muharram 1437H: Dari Anas r.a, katanya: Ada dua orang bersin di dekat Nabi saw., lalu Nabi mendoakan salah seorang dari mereka, dan tidak mendoakan yang lain.

Orang itu berkata: "Ya Rasulullah! Anda mendoakan orang ini, tetapi tidak mendoakan saya." 

Rasul menjawab: "Orang ini memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) sedangkan engkau tidak."

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, October 28, 2015

Doa Rasulullah Kepada Abu Jahal & Kawannya

Rabu, 15 Muharam 1437H: Abdullah bin Mas'ud r.a. menceritakan: "Pada suatu ketika Nabi saw. solat dekat Kaabah. Sedangkan Abu Jahal dan beberapa orang kawannya duduk bersama-sama. Salah seorang di antara mereka berkata kepada yang lain,

"Siapa yang berani, mengambil Uri (isi perut) unta Bani Fulan dan meletakkannya di punggung si Muhammad ketika dia sujud?"

Seorang yang paling jahat di antara mereka (Uqbah bin Abu Muaith) bangkit, lalu pergi mengambil uri unta itu. Kemudian dia menunggu sebentar. Waktu Nabi saw. sujud, diletakkannya uri unta itu ke punggung Nabi, antara kedua bahu beliau.

Saya melihat kejadian itu, tetapi saya tidak berdaya apa-apa, andaikata saya mendapat kekuatan tentu saya cegah. Mereka tertawa terbahak-bahak saling mengolok satu sama lain untuk mempermainkan Nabi.

Rasulullah saw. sujud terus, tidak mengangkat kepalanya hingga datang Fatimah (puteri beliau) membuangkan kotoran itu dari punggung beliau. Nabi mengangkat kepalanya dan mendoa tiga kali,

'Ya, Allah , Hukumlah orang Quraisy! , Ya Allah, Hukumlah orang Quraisy!, Ya Allah, Hukumlah orang Quraisy!".

Abu Jahl dan kawan-kawannya ketakutan mendengar Nabi mendoakan mereka, kerana mereka tahu bahawa doa di tempat itu diperkenankan Allah.

Kemudian Nabi menyebut nama mereka satu persatu, "Ya, Allah! Binasakanlah Abu Jahl, Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, Walid bin Uqbah, Umaiyah bin Khalf, Uqbah bin Abu Muaith."
Nabi menyebut nama orang yang ketujuh tetapi saya telah lupa nama orang itu. 

Kata Abdullah bin Masuud selanjutnya,
"Demi Allah, yang diri ku dalam genggaman-Nya, aku melihat sendiri orang-orang yang disebutkan Rasulullah saw dalam doanya itu, mati terkubur dalam lobang bekas sumur (waktu perang) Badar."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, October 27, 2015

Rasulullah Berdoa Minta Hujan Ketika Berkhutbah

Selasa, 14 Muharam 1437H: Berita dari Anas bin Malik r.a., katanya: 

"Pada suatu ketika di zaman Nabi, terjadi musim kemarau. Ketika Nabi saw. membaca khutbah Jumaat, tiba-tiba seorang Arab dusun berdiri dan berkata: 

Ya, Rasulullah! Harta benda telah binasa dan rakyat kelaparan. kerana itu mendoalah kepada Allah swt. untuk kita semua." 

Nabi mendoa dengan mengangkat kedua belah tangannya. Ketika Nabi mulai mendoa itu kami tidak menampak awan sedikit pun di langit. Demi Allah yang diri ku dalam kekuasaanNya, belum sampai Nabi menurunkan tangannya, awan mendung telah kelihatan bergulung-gulung seperti bukit. Nabi saw. belum turun dari mimbar, namun hari telah hujan, sehingga kelihatan air hujan bertitikan dari janggut Nabi saw. Hujan lebat turun pula hari itu, esok, lusa dan seterusnya beberapa hari berikutnya sampai hari Jumaat pula. Arab dusun itu atau mungkin juga Arab yang lain berdiri dan berkata pula: 

"Ya, Rasulullah! Bangun-bangunan telah roboh dan harta benda telah habis tenggelam. kerana itu mendoalah kepada Allah (mohon diselamatkan). 

Nabi mengangkat kedua belah tangannya dan mendoa: "Ya, Allah! Di sekitar kami saja dan jangan di atas kami." 

Beliau menunjuk dengan tangannya ke suatu penjuru berawan, maka kelihatan, awan itu menyingkir. Di atas kota Madinah kelihatan lingkaran-lingkaran seperti lubang yang bundar. Lembah-lembah padang pasir mengalirkan air selama sebulan. Setiap orang yang datang dari segenap penjuru memberitakan kemurahan yang melimpah-ruah."

Hadis Sahih Bukhari 

Monday, October 26, 2015

Doa Yang Tidak Diperkenankan

Isnin, 13 Muharam 1437H: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi saw. bersabda: 

"Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba, selama doa itu tidak mengandung dosa, atau memutus silaturrahim dan selama tidak minta cepat-cepat diperkenankan." 

Lalu beliau ditanya orang, "Apa maksudnya minta cepat-cepat?" 

Jawab beliau, "Umpamanya seorang berkata dalam doanya, Aku telah mendoa, Aku telah mendoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu dia putus asa dan berhenti mendoa."

Hadis Sahih Muslim