Friday, July 29, 2016

Friday, July 22, 2016

Kelebihan Sedekah

Jumaat, 17 Syawal 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya ada seorang laki-laki berkata: "Saya akan bersedekah. "Lalu ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan seorang pencuri. Orang banyak memperkatakan, "Ada pula orang bersedekah kepada pencuri." Orang yang bersedekah itu berkata: "Ya, Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah." 

Lalu ia keluar membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya kepada seorang perempuan lacur. Orang banyak memperkatakan, "Semalam ada orang memberikan sedekah kepada wanita pelacur." Orang itu berkata, "Ya, Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya akan bersedekah." 

Ia pergi membawa sedekahnya, kebetulan diberikannya ke tangan orang kaya. Orang banyak memperkatakan pula, "Rupanya orang kaya pun menerima sedekah juga." Kata orang yang memberi sedekah, "Ya, Allah! Untuk Engkau segala puji. Saya berikan sedekah saya kepada pencuri, kepada wanita lacur dan kepada orang kaya." 

Kemudian ia bermimpi. Rasanya ada malaikat yang mengatakan kepadanya, "Sedekah engkau kepada pencuri, semoga menyebabkan ia berhenti mencuri. 

Sedekah engkau kepada pelacur, semoga menyebabkan ia berhenti melacur. 

Dan sedekah engkau kepada orang kaya, semoga menyedarkannya dan mendorongnya untuk menafkahkan apa yang diberikan Allah kepadanya."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, July 21, 2016

Tetamu Tidak Di Undang

Khamis, 16 Syawal 1437H: Dari Abu Masuud r.a., katanya: "Seorang laki-laki Ansar yang bergelar Abu Syuaib datang. Lalu ia berkata kepada pembantunya yang menjual daging, "Sediakan untukku makanan yang cukup untuk lima orang!"

Aku bermaksud hendak mengundang Nabi saw. dan beliau termasuk orang yang kelima, kerana aku mengerti dari wajah beliau, bahawa beliau sedang lapar.

Maka diundangnya lah mereka semua, dan seorang laki-laki datang mengikut beserta mereka.” Nabi saw. bersabda, "Sesungguhnya orang ini datang mengikut saja dengan kami. Jika engkau mengizinkannya, izinkanlah, dan jika engkau menghendaki supaya ia pergi, ia pun akan pergi."

Kata Abu Syuaib, "Jangan! (Jangan pergi!). Bahkan aku mengizinkannya (untuk makan bersama-sama dengan Tuan-tuan). "

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, July 20, 2016

Syurga Ar-Rayyan

Rabu, 15 Syawal 1437H: Mewartakan kepada kami 'Abdur-Rahaman bin Ibrahim AdDimasyqiy, mewartakan kepada kami Ibnu Abu Fudaik, mewartakan kepadaku Hisyam bin Sa'ed, dari Abu Hazim, dari Sahl bin Sa'ed, bahawasanya Nabi SAW. bersabda:

"Sesungguhnya di dalam syurga ada pintu yang disebut Ar-Rayyan, yang manusia akan diundang pada hari kiamat, dengan ucapan: Dimanakah orang yang berpuasa?

Barangsiapa yang termasuk golongan orang yang memperbanyak puasa, maka dia akan memasukinya.

Dan barangsiapa yang memasukinya, maka dia tidak bakal haus untuk selamanya".

Hadis Sunan Ibnu Majjah

Tuesday, July 19, 2016

Makan Atau Tidak ?

Selasa, 14 Syawal 1437H: Dari Jabir r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila kamu diundang ke suatu jamuan makan, hendaklah kamu perkenankan. Jika kamu mahu makan silakan, dan jika tidak, tidak apa-apa."

Hadis Sahih Muslim 

Monday, July 18, 2016

Jawablah: "Aku Puasa!"

Isnin, 13 Syawal 1437H: Dari Zuhari r.a., katanya Nabi saw. bersabda: 

"Apabila kamu diundang orang makan, padahal kamu puasa, jawablah: "Aku puasa!"

Hadis Sahih Muslim

Thursday, July 14, 2016

Penuhilah Undangan Sekalipun Berpuasa

Khamis, 9 Syawal 1437H: Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Penuhilah suatu undangan apabila kamu memang diundang menghadirinya.

Kata Nafi', 'Abdullah bin 'Umar memang selalu mendatangi setiap undangan, baik undangan pesta perkahwinan atau tidak; bahkan sekalipun dia sedang puasa."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, July 13, 2016

Mendatangi Undangan

Rabu, 8 Sywal 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Seburuk-buruk makanan ialah makanan pesta, apabila yang diundang ke pesta itu hanya orang-orang kaya saja, tanpa mengikut-sertakan orang-orang miskin. Siapa yang tidak mendatangi suatu undangan, sesungguhnya dia mendurhakai Allah dan Rasul-Nya."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, July 12, 2016

Orang Yang Berpuasa...

Selasa, 7 Syawal 1437H: Dari Anas r.a., katanya: "Kami pernah bepergian bersama-sama dengan Nabi saw. Tidak pernah orang puasa mencela orang berbuka, dan tidak pula orang berbuka mencela orang puasa."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, July 11, 2016

Puasa 6 Hari Di Bulan Syawal

Isnin, 6 Syawal 1437H: Ahmad bin Mani' menceritakan kepada kami, Abu Mu'awiyah memberitahukan kepada kami, Sa'id bin Sa'id memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari 'Umar bin Tsabit dari Abu Ayyub di mana ia berkata: 

"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian mengikutinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka yang demikian itu adalah puasa satu tahun." 

Di dalam ini terdapat hadis dari Jabir, Abu Hurairah dan Tsauban. Abu 'Isa berkata: "Hadis Abu Ayyub itu adalah hadis hasan sahih. Orang ramai senang mengerjakan puasa enam hari pada bulan Syawal kerana adanya hadis tersebut." 

Ibnul Mubarak mengatakan bahawa puasa enam hari pada bulan Syawal itu baik sebagaimana halnya puasa tiga hari pada setiap bulan. Ibnul Mubarak berkata: "Diriwayatkan dalam sebahagian hadis: "Puasa ini dihubungkan dengan bulan Ramadan." Ibnul Mubarak memilih agar enam hari itu adalah permulaan bulan; diriwayatkan dari Ibnul Mubarak bahawasanya ia berkata: "Apabila seseorang mengerjakan puasa enam hari dari bulan Syawal itu secara terpisah-pisah maka hal itu boleh." 

Abu 'Isa berkata: " 'Abdul 'Aziz bin Muhammad meriwayatkan hadis ini dari Shafwan bin Sulaim dan Sa'd bin Sa'd dari 'Umar bin Tsabit dari Abu Ayyub dari Nabi s.a.w. dengan hadis seperti tersebut di atas. Syu'bah meriwayatkan hadis ini dari Warqa' bin 'Umar dari Sa'd bin Sa'id. Sa'd bin Sa'id adalah saudara Yahya bin Sa'id Al-Anshari. Sebahagian ahli hadis membicarakan tentang Sa'd bin Sa'id dari segi hafalannya."

Hadis Sunan At-Termizi

Friday, July 1, 2016

Solat Malam Pada Malam Lailatul Qadar

Jumaat, 26 Ramadhan 1437H: Dari Salam ibnu Abdur Rahman berkata Abu Hurairah ra menceritakan padaku, bahawasanya Rasulullah saw bersabda:

"Barang siapa mengerjakan solat malam pada bulan Ramadhan, kerana iman dan mengharap redha Allah, maka dia akan diampuni dari segala dosanya yang telah lalu. Dan barang siapa yang solat malam pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap redha Allah, dia akan diampuni dari segala dosanya yang telah lalu."

(Hadis Sunan An-Nasai)

Thursday, June 30, 2016

Lailatul Qadar Malam Ganjil

Khamis, 25 Ramadhan 1437H: Mewartakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah, mewartakan kepada kami Isma-ii bin 'Ulayyah, dari Hisyam Ad-Dastawaiy, dari Yahya bin Abu Katsir, dari Abu Salamah, dari Abu Sa'id AlKhudriy, dia berkata: Kami ber-i'tikaf bersama Rasulullah SAW. pada hari sepuluh yang tengah bulan Ramadhan. 

Beliau SAW. bersabda: "Sesungguhnya aku telah diperlihatkan Lailatul-Qadar, maka aku telah dilupakannya. Maka dari itu, carilah oleh kalian akan Lailatul-Qadar pada sepuluh terakhir Ramadhan di malam yang ganjil".

Hadis Sunan Ibnu Majjah 

Solat 'Id Bersama Rasulullah Saw

Dari Jabir bin' Abdullah r.a., katanya: "Aku hadir solat 'Id bersama-sama Rasulullah saw. pada hari raya. Mula-mula beliau solat sebelum berkhutbah tanpa azan dan iqamah. Beliau berkhutbah sambil berdiri dan berpegangan kepada Bilal. Beliau memerintahkan supaya taqwa kepada Allah dan mendorong supaya mentaati-Nya. Selanjutnya beliau memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka. 

Kemudian beliau berlalu hingga sampai ke tempat kaum wanita. Beliau memberi pengajaran kepada para wanita, memperingatkan dan menyuruh mereka supaya gemar bersedekah. 

Sabda beliau, "Bersedekahlah anda semua, kerana sesungguhnya kamulah saya lihat yang terbanyak menjadi kayu neraka.

Mendengar itu, maka berdiri seorang perempuan di antara para wanita yang banyak dengan wajah merah kehitam-hitaman. Dia bertanya; "Kenapa begitu, ya, Rasulullah?" 

Jawab Rasulullah, "Kerana kamu banyak mengeluh dan suka membangkang kepada suami." 

Kerana itu mereka sedekahkan perhiasan mereka, seperti anting-anting dan cincin, yang mereka lemparkan ke kain yang dibentangkan Bilal."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, June 29, 2016

Iktikaf 10 Hari Terakhir

Rabu, 24 Ramadhan 1437H: Dari Abu Sa'id Al Khudri: "Pada mulanya Rasulullah saw beriktikaf pada sepuluh hari kedua hingga pada malam kedua puluh.

Kemudian beliau dan orang-orang yang ikut iktikaf pulang ke rumahnya masing-masing. Kemudian beliau kembali pada malam kedua puluh satunya.

Di saat itu beliau berpidato; "Tadinya aku hanya ingin iktikaf pada 10 hari yang kedua saja, tapi akhirnya aku ingin melanjutkan iktikaf pada 10 hari yang terakhir ini. Kerana itu, mereka yang ikut iktikaf bersamaku, hendaknya mereka melanjutkan iktikafnya. Aku telah diperlihatkan malam "Lailatul Qadar" pada malam ini, tetapi aku terlupa, kerana itu carilah "Lailatul Qadar" di malam-malam ganjil di 10 hari terakhir di bulan Ramadhan. Dan aku terlihat, sujud di atas air dan tanah".

Hadis Sunan An-Nasai

Tuesday, June 28, 2016

Lailatul Qadar Malam Ke-27 Ramadhan

Selasa, 23 Ramadhan 1437H: Ibnu Abi Umar ceritakan kepada kami, Sufyan menceritakan kepada kami dari Allah bin Abi Lubabah dan Ashim yang mendengar Zirr bin Hubaisy berkata: "Barang siapa melakukan ibadah sesaat setiap malam selama satu tahun, tentu dia memperoleh Lailatul-Qadar," 

Ubai berkata: "Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa Abu Abdur Rahman sesungguhnya dia telah mengetahui bahawa Lailatul-Qadar adalah pada sepuluh akhir dari bulan Ramadhan dan sesungguhnya Lailatul-Qadar adalah malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan tetapi dia menghendaki agar manusia tidak berpegang kepada perkiraan itu kemudian Ubai bersumpah yang pasti bahawa Lailatul-Qadar adalah. malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan". 

Ziir berkata kepada Ubai: "Dengan dasar apa kamu berkata demikian hai Abal-Mundair?"

Dia berkata: "Dengan dasar tanda yang diberitahukan Rasulullah SAW kepada kita iaitu bahawa matahari pada waktu itu terbit tanpa ada cahaya". 

Hadis ini adalah hadis Hasan Sahih

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 5. Hadis Nombor 3409.

Monday, June 27, 2016

Bila Lailatu Qadar

Isnin, 22 Ramadhan 1437H: Harun bin Ishaq Al-Hamdani menceritakan kepada kami, 'Abdah bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari 'Aisyah di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. biasa beri'tikaf pada sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, dan bersabda: "Bersungguh-sungguhlah kamu (untuk mendapatkan) Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadan."

Masalah yang sama diriwayatkan pula dari 'Umar, Ubayy bin Ka'b, Jabir bin Samurah, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Umar, Al-Falatan bin 'Ashim, Anas, Abu Sa'id, 'Abdullah bin Unais, Abu Bakrah, Ibnu 'Abbas, Bilal dan 'Ubadah dan Ash-Shamit. Abu 'Isa berkata: "Hadis 'Aisyah itu adalah hadis hasan sahih; sedangkan kata yujaawiru ertinya adalah beri'tikaf.

Banyak riwayat dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: "Carilah Lalatul Qadar itu pada sepuluh terakhir pada setiap yang ganjil."

Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. tentang Lailatul Qadar iaitu bahawasanya Lailatul Qadar itu adalah pada malam 21, 24, 25, 27, 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadan."

Asy-Syafi'i berkata: "Itu hanyalah pendapat saya. Dan Allah Maha Mengetahui; di mana Nabi s.a.w. menjawab suatu pertanyaan sewaktu ditanya tentang Lailatul Qadar. Dikatakan kepada baginda bahawa kam mencarinya pada malam ini, kemudian baginda bersabda: "Carilah Laiatul Qadar itu pada malam ini."

Asy-Syafi'i berkata: "Riwayat yang paling kuat menurut pendapat saya ialah bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam tanggal 21."

Abu 'Isa berkata: "Diriwayatkan dari Ubbay bin Ka'b bahawasanya ia bersumpah bahawa Lailatul Qadar itu berada pada malam 27 di man ia berkata: "Rasulullah s.a.w. memberitahukan kepada kami dengan tanda-tanda malam itu kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya."

Diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya ia berkata: "Lailatul Qadar itu berkisar pada sepuluh terakhir." 'Abd bin Humaid memberitahukan yang demikian kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Ayyub dari ABu Qilabah dengan maksud seperti itu."

Hadis Sunan At Termizi Jilid 2

Friday, June 24, 2016

Malam Lailatul Qadar

Jumaat, 19 Ramadhan 1437H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Rasulullah saw. i'tikaf pada sepuluh awal bulan Ramadhan, kemudian dilanjutkannya pada sepuluh pertengahan, dalam sebuah kubah kecil yang pintunya ditutup dengan tikar. Lalu beliau ambil tikar itu dan diletakkannya di sudut gobah. Kemudian diulurkannya kepalanya seraya berujar memanggil orang banyak. Maka mendekatlah mereka kepada beliau, lalu beliau bersabda:

"Aku telah i'tikaf sejak sepuluh awal bulan untuk mendapatkan Malam qadar, kemudian sepuluh yang pertengahan. Kemudian dikatakan kepada ku bahawa malam qadar itu terdapat pada sepuluh yang akhir. Maka siapa yang suka i'tikaf, silakan!"

Lalu orang banyak i'tikaf bersama-sama dengan beliau. Sabda beliau pula, "Aku bermimpi melihat malam qadar di malam yang ganjil, di mana pagi-pagi aku sujud di tanah basah."

Memang, pagi-pagi malam kedua puluh satu beliau solat Subuh sedangkan hari hujan sehingga masjid tergenang air. Aku melihat tanah dan air. Setelah selesai solat Subuh, Nabi saw. keluar sedangkan di kening dan di hidungnya ada tanah basah.

Malam itu ialah malam kedua puluh satu dari sepuluh yang akhir bulan Ramadhan."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, June 23, 2016

Beribadah Di Malam Lailatul Qadar

Khamis, 18 Ramadhan 1537H: Dari Zuhri katanya: "Aku telah diberitahu oleh 'Urwah ibnu Zubair bahawasanya Aisyah pernah berkata: "Pada suatu malam di bulan Ramadhan Rasulullah saw mengerjakan solat malam berjamaah di masjid.

Dan seterusnya kata Aisyah: "Nabi hanya menanjurkan sahabat-sahabatnya untuk gemar beribadah di malam hari di bulan Ramadhan, dan anjurannya itu tidak bersifat perintah, kerana itu beliau bersabda:

"Barangsiapa yang beribadah di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka dia akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu".

Kata 'Urwah: "Demikianlah keadaan itu terus berlangsung hingga Rasulullah saw pulang ke rahmatullah".

Hadis Sunan An-Nasai

Monday, June 20, 2016

Umrah DiBulan Ramadhan

Isnin, 15 Ramadhan 1437H: Kata Atha': 'Aku pernah mendengar Ibnu Abbas berkata: 

"Telah bersabda Rasulullah saw kepada seorang wanita Ansar: "Jika telah tiba bulan Ramadhan, maka kerjakanlah ibadah umrah di bulan Ramadhan, sebab seorang yang mengerjakan ibadah umrah di bulan Ramadhan, maka dia mendapat pahala seperti seorang yang melakukan ibadah haji."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2079.

Friday, June 17, 2016

Malam Qadar

Jumaat, 12 Ramadhan 437H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya beberapa orang sahabat Nabi saw. bermimpi melihat malam qadar dalam tidur mereka pada tujuh hari yang akhir bulan Ramadhan. Maka bersabda Rasulullah saw.,

"Aku juga bermimpi seperti mimpimu itu, melihat malam qadar jatuh bertepatan pada tujuh yang akhir bulan Ramadhan. Maka siapa yang mencarinya, carilah di tujuh yang akhir itu."

Hadis Sahih Muslim