Friday, December 30, 2016

Kisah Putera Abu Thalhah

Jumaat, 30 Rabiulawal 1438H: Dari Anas r.a., katanya: "Putera Abu Thalhah sakit, dan menyebabkan dia meninggal dunia; sedangkan Abu Thalhah tidak di rumah ketika itu. Setelah isteri Abu Thalhah tahu bahawa puteranya telah meninggal dunia, maka dipindahkannya mayat anaknya itu ke tepi, kemudian disiapkannya makanan (untuk suaminya yang tidak lama lagi akan pulang).

Ketika Abu Thalhah telah datang, ia bertanya, "Bagaimana halnya sakit anak kita?" 

Isterinya mula-mula diam saja. Kemudian ia menjawab, "Saya harapkan mudah-mudahan ia senang." 

Abu Thalhah mengira bahawa isterinya berkata sebenarnya, lalu ia pergi tidur. Paginya, sesudah ia mandi dan akan berangkat, barulah isterinya memberi tahukan bahawa puteranya telah meninggal dunia. Maka disolatkannya mayat anaknya itu bersama-sama dengan Rasulullah saw. dan diceritakannya kepada beliau peristiwa yang dialaminya tentang kematian anaknya itu. Rasulullah bersabda kepadanya, "Semoga Allah swt. memberi berkah kepada anda berdua pada malam itu."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, December 9, 2016

Apabila Kejahatan Bermaharajalela

Jumaat, 9 Rabiulawal 1438

Balasan Syurga

Jumaat, 9 Rabiulawal 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Masa dari satu umrah ke umrah berikutnya adalah masa Penghapusan dosa.

Dan ganjaran haji yang mabrur tiada lain hanya syurga."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, December 8, 2016

Bersihkanlah Harum-Harumanmu

Khamis, 8 Rabiulawal 1438H: Dari Abu Ya'la r.a., katanya ia pernah mengatakan kepada Umar: 

"Ceritakanlah kepada saya keadaan Nabi saw. ketika wahyu turun kepada beliau."

Kata Umar, "Pada suatu waktu, ketika Nabi saw. dan para sahabat berada di Jikranah, datang seorang laki-laki kepada beliau dan berkata: "Hai, Rasulullah! Bagaimana pendapat Tuan tentang orang yang ihram untuk umrah, padahal dia memakai harum-haruman?"

Nabi diam seketika, dan ketika itu wahyu turun. Umar memberi isyarat kepada Yaala, lalu ia datang dekat. Lalu Rasulullah saw. diselubungi dengan kain dan memasukkan kepalanya ke dalam selubung itu. Kelihatan muka Rasulullah saw. merah dan beliau seperti mendengkur.

Setelah wahyu selesai turun beliau bersabda: "Mana orang yang bertanyakan tentang Umrah"

Laki-laki yang bertanya tadi dihadapkan kepada Nabi saw. Sabda beliau, "Bersihkanlah harum-harumanmu itu sampai tiga kali dan bukalah bajumu, dan kerjakanlah umrah sebagai mengerjakan haji."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, December 7, 2016

Umrah & Haji Rasulullah

Rabu, 7 Rabiulawal 1438H: Dari Qatadah r.a., katanya dia bertanya kepada Anas: "Berapa kali Nabi saw. mengerjakan 'Umrah?"

Jawabnya, "Empat kali: 'Umrah Hudaibiyah, iaitu bulan Dzul Qaidah ketika beliau dihalangi kaum musyrik; 'Umrah pada tahun berikutnya dalam bulan Dzul Qa-idah, sesuai dengan perjanjian damai dengan mereka; dan Umrah Ji'ranah. iaitu ketika membahagi rampasan, yang menurut dugaanku rampasan Hunain."

Tanya ku, "Berapa kali beliau mengerjakan Haji?"

Jawabnya, "Satu kali."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, December 6, 2016

Ikhlas Kerana Allah

Selasa, 6 Rabiulawal 1438H: Dari 'Itban bin Malik r.a., iaitu seorang sahabat Nabi saw. dari golongan Ansar yang turut dalam peperangan Badar, dia datang kepada Nabi saw. lalu berkata: "Ya, Rasulullah! Aku sudah buta. Sedangkan aku menjadi imam solat bagi wargaku. Apabila hari hujan, air mengalir di lembah antara rumahku dengan rumah-rumah mereka, sehingga aku tak dapat datang ke masjid mengimami mereka solat berjemaah. Kerana itu aku mengharapkan semoga anda sudi datang ke rumahku, lalu di sana anda solat di tempat ku solat dan kemudian menjadikannya Mushalla."

Jawab Rasulullah saw. "Baiklah! Insya Allah aku akan datang."

Besok, ketika hari telah agak siang, Rasulullah saw. dan Abu Bakar Siddiq datang. Beliau minta izin masuk. Lalu ku persilakan. Tanpa duduk lebih dahulu beliau langsung menanyakan. "Di manakah anda sukai aku solat di rumah mu ini?"

Aku menunjuk ke salah satu pujok rumah. Rasulullah berdiri di sana lalu beliau takbir. Kami berdiri di belakang beliau, mengikuti beliau solat dua rakaat. Kemudian memberi salam. Sesudah itu kami jamu beliau dengan hidangan sup daging yang telah kami sediakan untuk beliau. Penduduk kampung berkumpul semuanya ke rumah ku.

Seorang di antaranya bertanya, "Mana Malik bin Dukhsyun?"

Yang lain menjawab, "Dia itu munafik! Dia tidak suka kepada Allah dan Rasul-Nya."

Maka bersabda Rasulullah saw., "Jangan berkata begitu terhadapnya. Bukankah anda telah menyaksikannya mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah?"

Jawab mereka, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu."

Kami mendapat kesan, bahawa Rasulullah saw. mengarahkan nasihatnya itu kepada orang-orang munafik. Sabda beliau, "Sesungguhnya Allah mengharamkan api neraka bagi orang-orang yang telah mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah. "

Hadis Sahih Muslim

Monday, December 5, 2016

Kecuali Hutang

Isnin, 5 Rabiulawal 1438H: Dari Abu Qatadah r.a. katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. berdiri di hadapan para sahabat, lalu bersabda: "Sesungguhnya Jihad fi sabilillah serta iman kepada Allah, adalah amal yang paling utama." 

Maka berdiri seorang lelaki seraya bertanya, "Ya, Rasulullah! Bagaimana jika aku mati dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?" 

Jawab Rasulullah saw., "Hapus, jika engkau mati, sedangkan engkau seorang yang sabar dan ikhlas kerana Allah, engkau mati kerana maju bertempur tidak kerana lari dari pertempuran," 

Kemudian beliau bertanya, "Apa tanyamu tadi? 

Maka diulangnya pertanyaannya, "Bagaimana jika aku mati dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?" 

Jawab Rasulullah, "Ya, hapus, jika engkau seorang pejuang yang sabar, ikhlas kerana Allah semata-mata, mati kerana maju bertempur, tidak kerana lari dari pertempuran. Kecuali yang tidak hapus ialah hutang. Begitulah kata Jibril kepada ku."

Hadis Sahih Muslim

Friday, December 2, 2016

Kentut!

Jumaat, 2 Rabiulawal 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda :

"Apabila kamu merasa ada angin dalam perutmu, kemudian kamu ragu apakah angin itu keluar atau tidak, maka janganlah keluar dari masjid sebelum jelas terdengar suara (kentut) atau mencium bau."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, December 1, 2016

Dilemparkan Ke Neraka

Khamis, 1 Rabiulawal  1438H: Dari Usamah bin Zaid r.a. katanya dia ditanya orang: "Mengapa Anda tidak menghadap kepada Usman supaya Anda dapat berbicara dengannya?"

Jawab Usamah, "Apakah kamu mengira bahawa aku tidak berani berbicara dengannya kecuali bila kamu dengar?

Demi Allah, aku telah berbicara empat mata dengannya tanpa menyebut-nyebut perkara yang tidak ku sukai, iaitu supaya aku sebagai orang pertama yang memulainya, dan aku tidak pernah berkata kepada seseorang bahawa dia sebagai Amir (penguasa). Sesungguhnya dia adalah orang yang terbaik. Iaitu setelah aku mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Kelak di hari kiamat seseorang akan dihadapkan, lalu dia dilemparkan ke neraka. Maka bertaburan isi perutnya keluar, lalu diputar-putar seperti keldai memutar kilangan.

Maka berkumpul dekatnya penduduk neraka, lalu mereka bertanya, "Hai Fulan! Apa dosamu? Tidakkah engkau menyuruh dengan yang makruf (baik) dan mencegah yang mungkar?"

Jawabnya, "Ada! Aku menyuruh yang makruf tetapi aku sendiri tidak melaksanakan. Dan aku melarang yang mungkar tetapi aku sendiri melanggarnya."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, November 30, 2016

Kalaulah Manusia Tahu

Rabu, 30 Safar 1438H: Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Ketika seseorang berjalan di suatu jalan; kemudian di menjumpainya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.

Sesudah itu beliau bersabda. pula: "Yang disebut mati syahid itu ada lima macam: 
1. Orang mati kena tikam.
2. Orang mati kerana sakit perut (kolera?) 
3. Orang mati tenggelam. 
4. Orang mati ditimpa tanah longsor (runtuh). 
5. Orang yang mati fi sabilillah (mati di medan perang kerana berjuang menegakkan Agama Allah).

Kalaulah manusia tahu keutamaan azan dan saf pertama solat berjemaah, tetapi mereka tidak mungkin mendapatkannya kecuali hanya dengan jalan diundi, nescaya mereka akan mahu diundi untuk mendapatkannya.

Kalaulah mereka tahu keutamaan solat Zohor (dilakukan tepat pada awal waktu), pastilah mereka akan berlumba-lumba melaksanakannya.

Dan kalaulah mereka mengetahui keutamaan solat Isyak dan solat Subuh (dengan berjemaah), pastilah mereka akan memerlukan datang (ke masjid), sekalipun mereka akan merangkak."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, November 29, 2016

Sebaik-Baik Harta

Selasa, 29 Safar 1438H: Abu Sa'id r.a. menceritakan: "Pada suatu hari Nabi saw. duduk di mimbar dan kami duduk di kelilingnya. Beliau bersabda: "Sesungguhnya apa yang aku khuatirkan terhadap mu sepeninggal ku, ialah berkembangnya semarak dunia dan kemewahannya."

Seseorang bertanya, "Apakah kebaikan membawa kejahatan?"

Nabi saw. diam. Kemudian seseorang berkata kepada laki-laki itu, "Apa yang salah dengan pertanyaanmu, sehingga Nabi sampai tak menjawab?"

Menurut hemat kami, wahyu sedang turun kepada beliau ketika itu. Kata Abu Said, sesudah beliau menyapu keringat lalu beliau bersabda: "Siapa yang bertanya?" Seolah-olah beliau berterima kasih kepada orang itu.

Sabdanya, "Sesungguhnya bukanlah kebaikan yang membawa kejahatan. Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di musim hujan, membunuh atau hampir membunuh selain ternak yang memakan rumput hijau. Apabila perutnya kenyang lalu dia memandang ke atas terus menceret terkencing dan makan pula.

Harta itu hijau dan manis. Sebaik-baik harta kepunyaan seorang Muslim ialah yang diberikannya kepada orang miskin, anak yatim dan orang dalam perjalanan."

Selanjutnya beliau bersabda: "Siapa yang mengambil harta itu tanpa suatu hak, sama dengan orang makan, tetapi tidak merasa kenyang. Dan harta itu akan menjadi saksi baginya di hari kiamat."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, November 28, 2016

Balasan Bunuh Diri

Isnin, 28 Safar 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang bunuh diri dengan senjata tajam, maka senjata itu akan ditusuk-tusukkannya sendiri dengan tangannya ke perutnya di neraka untuk selama-lamanya; 

an siapa yang bunuh diri dengan racun, maka dia akan meminumnya pula sedikit demi sedikit nanti di neraka, untuk selama-lamanya; 

dan siapa yang bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka dia akan menjatuhkan dirinya pula nanti (berulang-ulang) ke neraka, untuk selama-lamanya."

Hadis Sahih Muslim 

Friday, November 25, 2016

Orang Mukmin Minum Dengan Satu Perut

Jumaat, 25 Safar 1438H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Rasulullah saw. kedatangan seorang tetamu orang kafir. Rasulullah saw. menyuruh perah susu seekor kambing untuk sang tetamu lalu diminum habis oleh tetamu tersebut. 

Kemudian beliau suruh perah susu seekor lagi lalu diminumnya habis pula. 

Kemudian disuruhnya perah susu seekor lagi habis pula diminumnya sehingga akhirnya dia meminum habis susu tujuh ekor kambing. 

Esok pagi dia masuk Islam. Rasulullah memerintahkan supaya diperah susu seekor kambing untuknya. Susu itu diminumnya habis. 

Kemudian disuruh Nabi supaya diperah susu seekor lagi lalu diberikan pula kepadanya tetapi dia tidak sanggup menghabiskannya. 

Maka bersabda Rasulullah saw., "Orang mukmin minum dengan satu perut dan orang kafir minum dengan tujuh perut."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, November 23, 2016

Beri Ia Madu

Rabu, 23 Safar 1438H: Dari Abu Sa'id r.a.: Ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah saw. dan berkata: "Saudara saya sakit perut."

Rasul menjawab: "Beri ia madu!"

Kemudian orang itu datang lagi untuk kedua kalinya.

Rasul berkata lagi: "Beri ia madu!" 

Kemudian orang itu datang lagi untuk ketiga kalinya.

Rasul berkata lagi: "Beri ia madu!"

Kemudian orang itu datang lagi dan berkata: "Telah saya lakukan."

Rasul menjawab: "Tuhan benar. Perut saudara mu yang bohong. Beri ia madu'" 

Setelah itu diberikannya lagi madu kepada saudaranya, dan sembuhlah penyakitnya.

Hadis Sahih Bukhari

Monday, November 21, 2016

Imam Untuk Di Ikuti

Isnin, 21 Safar 1438H: Dari 'Aisyah La., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. sakit. Kerana itu para sahabat berdatangan menjenguk beliau. Beliau solat sambil duduk, dan para sahabat solat mengikut beliau sambiI berdiri. 

Lalu Rasulullah memberi isyarat supaya mereka duduk, maka duduklah mereka semuanya. Setelah selesai solat, beliau bersabda, "Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikut. Apabila imam' itu rukuk, rukuk pulalah kamu sekalian. Apabila imam itu bangkit, bangkit pulalah kamu. Dan apabila imam itu solat sambil duduk, maka duduk pulalah kamu semuanya."

Hadis Sahih Muslim .

Wednesday, November 16, 2016

Hendaklah Solat Apabila Ingat

Rabu, 16 Safar 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. kembali dari perang Khaibar, beliau berjalan tengah malam, sehingga beliau mengantuk, lalu beliau berhenti dan rehat untuk tidur. 

Beliau bersabda kepada Bilal, "Bangunkan kami bila waktu Subuh tiba."

Sementara itu Bilal solat seberapa dapat dilakukannya, sedangkan Nabi saw. dan sahabat-sahabat yang lain tidur. Ketika fajar hampir terbit, Bilal bersandar ke kenderaannya menunggu fajar terbit. Tetapi dia sangat mengantuk dan tertidur ketika sedang bersandar itu, sehingga dia tidak dapat membangunkan Rasulullah saw. dan para sahabat yang lain, sampai sinar matahari mengenai mereka. Yang mula-mula terbangun ialah Rasulullah saw. 

Ketika beliau terbangun, beliau bertanya, "Mana Bilal?"

Jawab Bilal, "Demi Allah! Aku tertidur, ya Rasulullah."

Sabda Rasulullah saw., "Bersiaplah semua!" 

Lalu mereka siapkan kenderaan mereka. Kemudian Rasulullah saw. mengambil wuduk dan menyuruh Bilal qamat. Setelah Bilal qamat, Nabi saw. mengimami mereka solat Subuh.

Setelah selesai solat, beliau bersabda: "Siapa yang lupa solat, maka hendaklah dia solat apabila ingat." 

Sesungguhnya Allah berfirman: "Tegakkanlah solat untuk mengingat-Ku."

Hadis Sahih Mslim

Friday, November 11, 2016

Friday, November 4, 2016

Mandi Junub

Jumaat, 4 Safar 1438H: Aisyah r.a., isteri Nabi saw. menceritakan: "Apabila Nabi saw. mandi junub, beliau mulai dengan mencuci kedua belah tangannya. 

Sesudah itu beliau berwuduk seperti wuduk untuk solat. 

Kemudian dimasukkannya anak jarinya ke dalam air dan digosok-gosoknya pangkal rambut kepalanya. 

Kemudian disiramkannya air tiga sauk dengan kedua belah tangannya ke kepalanya dan sesudah itu disiramnya seluruh tubuhnya."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, October 31, 2016

Bagai Hujan Yang Jatuh Ke Bumi

Isnin, 30 Muharram 1438H: Dari Abu Musa ra., dari Nabi saw. sabdanya: "Perumpamaan agama yang aku diutus Allah 'Azza wa lalla dengannya iaitu berupa petunjuk dan ilmu. ialah bagaikan hujan yang jatuh ke bumi. 

Di antaranya ada yang jatuh ke tanah subur yang dapat menyerap air maka tumbuhlah padang rumput yang subur. 

Di antaranya pula ada yang jatuh ke tanah keras sehingga air tergenang kerananya. Lalu air itu dimanfaatkan orang banyak untuk minum, menyiram kebun dan berternak. 

Dan ada pula yang jatuh ke tanah tandus, tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. 

Seperti itulah perumpamaan orang yang mempelajari agama Allah dan mengambil manfaat daripadanya, belajar dan mengajarkan, dan perumpamaan orang yang tidak mahu tahu dan tidak menerima petunjuk Allah yang aku diutus dengannya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, October 27, 2016

Berwuduk Dengan Air Dari Ujung Jari Rasulullah saw

Khamis, 26 Muharam 1438H: Anas bin Malik r.a. bercerita: "Saya melihat Rasulullah saw. dan ketika itu waktu Asar telah tiba. Orang banyak mencari air untuk berwuduk, tetapi mereka tidak memperolehnya. 

Tiba-tiba ada seseorang membawakan air untuk Rasulullah saw. berwuduk.Rasulullah meletakkan tangannya ke dalam bejana tempat air itu, dan menyuruh orang semuanya berwuduk dari situ.

Kata Anas, "Saya lihat air keluar dari ujung-ujung jari beliau, sehingga semua orang dapat berwuduk dengan air itu."

Hadis Sahih Bukhari