Tuesday, February 20, 2024

Riya Itu Syirik Kecil

 Selada, 10 Syaaban 1445H | Riya Itu Syirik Kecil

عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

Daripada Mahmud bin Labid Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. 
Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi saw bersabda : Itulah Riya’. Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).” 
HR Ahmad No: 23630. Status: Sanad Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syirik kecil merupakan perkara yang perlu dijauhi kerana ia menghilangkan segala pahala amal soleh yang dilakukan.

2.  Rasulullah SAW bimbang umatnya akan terjerumus dengan Syirik kecil iaitu Riya’.

3.  Riya adalah perbuatan seseorang  menunjukkan amal untuk dilihat, disebut atau disanjung oleh manusia lain. Contohnya berselfie ketika beribadah dan muat naik di media sosial seperti di TikTok, FB, Instagram dan lain-lain. Di hari kiamat nanti, orang yang riya’ dalam beramal akan diminta untuk menuntut ganjaran daripada manusia yang ingin disanjung atau disebut.

4.  Riya’ boleh berlaku pada agama, tubuh badan, percakapan mahupun amalan seseorang, contohnya:

•  Riya’ pada agama dan tubuh badan dengan menzahirkan kekurusan dan berpakaian lusuh supaya orang menganggapnya bersungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat

•  Riya’ pada percakapan dengan memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam ataupun berzikir kuat di hadapan orang ramai.

•  Riya’ pada amalan seperti menzahirkan qiyam dan ruku’ yang lama ketika bersolat di hadapan orang ramai.

5.  Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata: ”Hai kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah.”

6.  Berusahalah melaksanakan ibadah dengan ikhlas dan bermujahadah melawan sifat riya yang datang dalam diri. Jika ibadah tersebut ada pilihan, maka lebih baik dilakukan secara sembunyi seperti bersedekah tidak secara terang-terangan.

7.  Berdoalah agar dijauhi perbuatan syirik.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui.


No comments: