Isnin, 28 Ramadhan 1445H | Dua Kegembiraan Orang Berpuasa
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ …. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ .....
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda… Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti…. (H.R. Muslim No : 1945) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Bagi orang puasa, mereka akan mendapat kegembiraan ketika berbuka kerana dapat makan dan minum serta menghilangkan rasa lapar dan dahaga selepas menahannya di siang hari.
2. Kegembiraan kedua apabila dapat bertemu Allah kelak. Ia hanya akan terhasil dari puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan mengharap keredhaan Allah. Hal ini penting untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki di akhirat dengan ganjaran keampunan.
3. Bukan sekadar rasa nikmat selepas menahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga nikmat rohani. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah SWT menerusi amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keikhlasan dan kehambaan dalam menjalaninya.
4. Marilah kita berusaha meraih kedua-dua kegembiraan. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala pancaindera yang lain agar akur kepada perintah Allah.
5. Mohon jauh dari puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih, rugi dan sia-sialah kita. Rugi juga jika hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib, berkata kotor, menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak betul menerusi media sosial spt whatsApp, telegram, FB serta bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".
No comments:
Post a Comment