Wednesday, July 31, 2024

Tidur Dalam Masjid

 Rabu, 25 Muharram 1446H  | Tidur Dalam Masjid

عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي نَافِعٌ قَالَ أَخْبَرَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ أَنَّهُ كَانَ يَنَامُ وَهُوَ شَابٌّ أَعْزَبُ لَا أَهْلَ لَهُ فِي مَسْجِدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Daripada Ubaidullah berkata, Nafi' telah menceritakan kepadaku katanya, Abdullah bin  Umar telah mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau pernah tidur dalam masjid Nabi SAW, ketika itu dia seorang pemuda bujang yang belum mempunyai isteri. (HR Bukhari No: 440) Status Hadis Sahih.

Pengajaran

1. Tidur di dalam masjid hukumnya diharuskan, dengan syarat dapat menjaga ada-adab dan kebersihannya. Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab (Juz II, halaman 173-174) menjelaskan:
"Tidur di masjid hukumnya boleh, tidak makruh menurut pendapat kami. Imam Syafie Rahimahullah telah memberikan nas yang membolehkan tidur di masjid dalam kitabnya Al-Umm, dan pendapatnya itu telah disepakati oleh sahabat-sahabatnya".

2. Sesetengah orang menganggap tidur di dalam masjid memberikan 'pemandangan' yang kurang baik. Namun, ia tidak seharusnya dijadikan sebagai larangan mutlak kerana telah dijelaskan dalam hadis di atas.

3. Adab tidur di dalam masjid perlu sentiasa dipelihara mengikut sunnah Nabi SAW, diiringi dengan adab dan perlakuan yang sopan antaranya masuk ke dalam masjid dengan berwuduk, di mulakan dengan kaki kanan, menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dan niat iktikaf serta menjaga aurat dan adab kesopanan di dalam masjid. 

Walaupun begitu, bagi yang ingin tidur dalam masjid perlu mengambil kira perkara berikut:

•  Mendapat kebenaran Jawatankuasa Masjid supaya tidak timbul  sebarang permasalahan.

•  Pilih di ruangan yang tidak mengganggu jemaah yang ingin solat di dalam masjid.

•  Pastikan ketika tidur dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya.

•  Jauhkan daripada perkara yang mengotorkan masjid seperti keluarnya air liur basi dan sebagainya. Justeru, sebagai salah satu caranya dengan menghamparkan cadar atau kain di tempat tidur.

•  Hormati waktu solat dan hendaklah melazimi solat berjemaah ketika berada di dalam masjid.


No comments: