Thursday, July 11, 2024

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

Khamis, 5 Muharram 1446H  |  Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Mengikut Sarjana Muslim, maksud kasih sayang adalah:

a.  Sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW telah mengislamkan beberapa orang pimpinan kaum Aus dan Khazraj dan mereka telah dipersaudarakan yang sebelum ini puluhan tahun sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain. Apabila berlaku peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan pula golongan Muhajirin dan Ansar. 

5.  Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.

6.  Marilah kita menjadikan peristiwa hijrah ini dengan menyemarakkan ikatan saling berkasih sayang. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.


No comments: