Thursday, December 19, 2024

Amalan Menjelang Malam

Khamis, 17 Jamadil Akhir 1446H  | Amalan Menjelang Malam

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا اسْتَجْنَحَ اللَّيْلُ أَوْ قَالَ جُنْحُ اللَّيْلِ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ الْعِشَاءِ فَخَلُّوهُمْ وَأَغْلِقْ بَابَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَأَطْفِئْ مِصْبَاحَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَأَوْكِ سِقَاءَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرْ إِنَاءَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ تَعْرُضُ عَلَيْهِ شَيْئًا

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: "Apabla menjelang malam ketika terbenamnya matahari, maka jagalah bayi-bayi kamu kerana pada ketika itu syaitan sedang berkeliaran. Jika telah berlalu beberapa ketika daripada waktu isyak, bolehlah kamu biarkan mereka dan tutuplah pintu rumah kalian dan sebutlah nama Allah dan padamkanlah lampu-lampu rumah kamu dan sebutlah nama Allah dan tutup tempat minum serta tutup pula bekas (tempat makanan) kamu dan sebutlah nama Allah padanya, walaupun kamu hanya sekedar melintangkan sesuatu di atasnya". (HR Bukhari No: 3280) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Waktu senja merupakan waktu permulaan bagi malam. Pada waktu ini, syaitan akan keluar berkeliaran. Mereka akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggangu khususnya bayi, menggoda atau menumpang makan.

2. Keselamatan perlu diutamakan antaranya dengan melarang kanak-kanak keluar berkeliaran atau bermain di luar rumah apabila menjelang waktu senja. Pelbagai musuh berkeliaran pada waktu tersebut seperti syaitan, jin juga pelbagai makhluk jahat yang lain.

3. Perintah menutup dan mengunci pintu rumah di waktu malam agar rumah tidak dimasuki sebarang binatang buas dan berbisa juga penceroboh berupa pencuri, penjenayah dan sebagainya.

4. Rasulullah memerintah penting menjaga kebersihan dengan menutup bekas minuman dan makanan berbaki agar dijauhi daripada virus, bakteria, debu, kotoran atau dimasuki sesuatu yang boleh mencemarkan minuman dan makanan tersebut seperti cicak, lipas dan sebagainya.

5. Sunnah untuk kita menutup bekas-bekas makanan dan minuman agar tidak dihinggapi kuman dan bakteria. Ia sebagai salah satu usaha untuk menjaga kesihatan daripada pelbagai penyakit.

6. Perintah menutup pintu, tempat minuman dan makanan dengan menyebut nama Allah bertujuan memohon perlindungan kepada Allah yang menjaga dan memelihara makhluk.

Pastikan anak-anak kita telah pulang kerumah sebelum masuknya waktu maghrib atau bagi anak lelaki, dapat bersama ke masjid.

No comments: