Isnin, 27 Rejab 1446H | Antara Gambaran Peristiwa Isra Mikraj
عن أنس بن مالك، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لَمَّا عُرِجَ بِيْ مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمِشُون بها وُجُوْهَهُمْ وصُدورَهم فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلاَءِ يَا جِبْرِيْلُ؟ قَالَ : هَؤُلاَءِ الَّذِيْنَ يَأْكُلُوْنَ لُـحُوْمَ النَّاسِ وَيَقَعُوْنَ فِي أَعْرَاضِهِم
Daripada Anas bin Malik R.A berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku dinaikkan ke langit (dalam peristiwa isra’ dan Mi’raj), aku melalui satu kaum yang memiliki kuku panjang dibuat daripada tembaga, mereka mencakar muka dan dada mereka sendiri. Lalu aku bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Jibril?” Jibril AS menjawab: “Mereka adalah orang yang memakan daging manusia (ghibah) dan mencela kehormatan mereka.” (HR Abu Daud No: 4878) Status: Hadis Sahih
Pengajaran
1. Islam melarang umatnya berakhlak buruk seperti mengumpat serta mengaibkan orang lain.
Rasulullah SAW ketika peristiwa Isra Mikraj telah diperlihatkan azab kepada pengumpat atau ghibah.
2. Rasulullah SAW menggambarkan azab yang pedih bagi mereka yang terlibat dalam ghibah (mengumpat) dan mencemarkan kehormatan orang lain dimana mereka mencakar wajah dan dada mereka sendiri dengan kuku tembaga, sebagai balasan atas perbuatan mereka di dunia.
3. Al-Quran melarang kita melakukan ghibah atau mengumpat. Ghibah disamakan dengan memakan daging saudara sendiri, sebagai simbolik kekejaman dan keburukan perbuatan tersebut. Firman Allah:
وَلا يَغتَب بَّعضُكُم بَعضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُم أَن يَأكُلَ لَحمَ أَخيهِ مَيتًا فَكَرِهتُموهُ ۚ
Maksudnya: "Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu merasa jijik kepadanya." (Surah Al-Hujurat: 12)
4. Perbuatan mencemarkan kehormatan seseorang termasuklah memfitnah, menyebarkan aib, atau menyakiti maruah seseorang. Hal ini bukan sahaja dilarang oleh Islam, tetapi juga merosakkan hubungan sosial dan keharmonian masyarakat.
5. Perbuatan mengumpat dan mencemarkan kehormatan orang lain adalah dosa besar yang harus dielakkan. Umat Islam dituntut untuk menjaga lidah dan akhlak, memelihara kehormatan sesama Muslim, serta memperbaiki hubungan melalui sikap saling hormat dan berkasih sayang. Hanya dengan menjauhi perbuatan ini, kita akan mencapai keredaan Allah SWT.
Sempena memperingati peristiwa Isra dan Mikraj Rasulullah SAW yang berlaku pada bulan Rejab ini, marilah kita mengambil pengajaran daripadanya.
No comments:
Post a Comment