Saturday, January 18, 2025

Golongan Yang Dilaknat

Sabtu, 18 Rejab 1446H  |  Golongan Yang Dilaknat

أَبُو الطُّفَيْلِ عَامِرُ بْنُ وَاثِلَةَ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيْكَ قَالَ فَغَضِبَ وَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيَّ شَيْئًا يَكْتُمُهُ النَّاسَ غَيْرَ أَنَّهُ قَدْ حَدَّثَنِي بِكَلِمَاتٍ أَرْبَعٍ قَالَ فَقَالَ مَا هُنَّ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ مَنْ لَعَنَ وَالِدَهُ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ ذَبَحَ لِغَيْرِ اللَّهِ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ آوَى مُحْدِثًا وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ غَيَّرَ مَنَارَ الْأَرْضِ

Abu At Thufail 'Amir bin Wastilah berkata, "Saya berada di samping Ali bin Abu Thalib, tiba-tiba seorang laki-laki datang menemuinya seraya berkata, "Apakah Nabi SAW pernah menyampaikan suatu rahsia kepadamu (yang tidak diberitahukan kepada orang lain)?" Abu Thufail berkata, "Ali pun marah seraya berkata, "Tidak ada apa-apa rahsia yang disembunyikan oleh Nabi SAW daripada umatnya kecuali bahawa baginda pernah menyampaikan empat perkara penting kepadaku." Abu Thufail berkata, "Laki-laki tersebut bertanya, "Apakah empat perkara itu wahai Amirul Mukminin?" Abu Thufail melanjutkan, "Ali lalu menjawab, "Allah melaknat orang yang melaknat orang tuanya; Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah; Allah melaknat orang yang melindungi  penjahat (orang yang melanggar hukum Allah) dan; Allah melaknat orang yang mengubah tanda sempadan tanah." (HR Muslim No: 3657) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Allah melaknat empat golongan pelaku maksiat berikut:

1. Allah melaknat orang yang mencela orang tuanya (termasuk tindakannya yang boleh menyebabkan ibu bapanya dicela oleh orang lain);

2. Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah;

3. Allah melaknat orang yang melindungi pelaku kejahatan (orang tersebut mendapat keringanan hukuman atau bebas dari hukuman yang telah ditetapkan syariat akibat bantuannya) dan;

4. Allah melaknat orang yang memindahkan tanda sempadan tanah (batu tanda mengukur sempadan tanah).

5. Hadis ini menegaskan keutamaan menjaga hubungan dengan Allah, ibu bapa, dan masyarakat. Empat perkara yang disebutkan adalah dosa besar yang mesti dijauhi oleh setiap Muslim. Rasulullah SAW sentiasa menyampaikan ajaran yang jelas untuk membimbing umatnya agar hidup dengan keimanan, keadilan, dan akhlak mulia. Kita harus mengambil pengajaran ini sebagai panduan untuk mencapai keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Pastikan kita tidak tergolong orang yang dilaknat Allah.


No comments: