Rabu, 15 Rejab 1446H | Dosa Besar Menderhaka Ibu Bapa
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكَبَائِرِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ
Daripada Anas radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW ditanya tentang dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda: "Menyekutukan Allah (syirik), derhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh orang tanpa hak dan memberikan kesaksian palsu". (HR Bukhari No: 2459) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika pelakunya tidak melakukan taubat nasuhah hingga diampunkan dosanya oleh Allah.
2. Antara dosa besar tersebut:
a. Syirik kepada Allah
b. Derhaka kepada kedua ibu bapa
c. Membunuh jiwa tanpa hak
d. Memberi kesaksian palsu
3. Umat Islam perlu sentiasa menjaga akidah mereka daripada sebarang bentuk syirik, sama ada kecil atau besar.
4. Setiap anak tidak boleh menyakiti kedua ibu bapaknya, baik dengan perkataan, tindakan mahupun perbuatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibubapa adalah dituntut. Firman Allah SWT:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” al-Isra’:24
5. Islam menghormati nyawa manusia dan melarang sebarang bentuk kezaliman terhadapnya termasuk pembunuhan.
6. Memberi kesaksian palsu boleh merosakkan keadilan dalam kehidupan bermasyarakat.
Umat Islam diseru untuk menjaga akidah agar tidak berlaku syirik, berbakti kepada ibu bapa, menghormati nyawa manusia, dan mengamalkan kejujuran. Dengan menjauhi dosa-dosa ini, seseorang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan membina kehidupan yang penuh keberkatan di dunia serta akhirat.
No comments:
Post a Comment