Friday, January 17, 2025

Istighfar dan Zikir Selepas Solat Waktu

Jumaat, 17 Rejab 1446H  |   Istighfar dan Zikir Selepas Solat Waktu

عَنْ ثَوْبَانُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ يَقُولُ اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Daripada Tsauban berkata, Rasulullah SAW jika selesai solat baginda seraya mengucapkan istighfar tiga kali, setelah itu baginda mengucapkan: "ALLAHUMMA ANTAS SALAAM WA MINKAS SALAAM TABAARAKTA YAA DZAL JALAALI WAL IKRAM " (Ya Allah, Engkaulah sumber keselamatan, dan daripada-Mu datangnya keselamatan. Maha Berkat Engkau, wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Mulia) (HR Ibnu Majah No: 918) Status: Sahih

Pengajaran:

1. Selepas solat, seseorang dianjurkan untuk tidak terus bangun meninggalkan tempat solat, tetapi mengambil sedikit masa untuk beristighfar, berzikir, dan berdoa.

2. Rasulullah SAW apabila selesai solat waktu, baginda beristighfar sebanyak 3 kali.

3. Istighfar selepas solat adalah amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk menampung kekurangan dalam ibadah dan memohon keampunan atas kelemahan manusia. Antara lafaz istighfar ialah:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْه

4. Antara zikir yang dilakukan oleh Rasulullah selepas beristighfar sebaik selesai solat waktu:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

5. Hadis ini menunjukkan pentingnya istighfar, pujian kepada Allah, dan zikir selepas solat sebagai pelengkap kepada ibadah. Ia mendidik kita untuk sentiasa merendah diri, bersyukur, dan mengingati Allah dalam setiap waktu, terutama selepas menunaikan solat.


No comments: