Monday, March 24, 2025

Jangan Terhalang Daripada Kebaikan

Isnin, 23 Ramadhan 1446H  |  Jangan Terhalang Daripada Kebaikan

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ دَخَلَ رَمَضَانُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ هَذَا الشَّهْرَ قَدْ حَضَرَكُمْ وَفِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَهَا فَقَدْ حُرِمَ الْخَيْرَ كُلَّهُ وَلَا يُحْرَمُ خَيْرَهَا إِلَّا مَحْرُومٌ

Daripada Anas bin Malik RA ia berkata, "Ketika datang bulan Ramadan, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bulan ini telah hadir kepada kalian. Di bulan ini ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa diharamkan darinya (terlepas tidak memperoleh malam tersebut), maka dia telah diharamkan kebaikan semuanya (terlepas segala kebaikannya). Dan tidak diharamkan (terlepas) kebaikannya kecuali bagi yang terhalang daripada kebaikan" (Sunan Ibn Majah No: 1644) Maktabah Ilmiyyah  Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kelebihan. Di dalamnya terdapat satu malam (lailatul Qadar) yang barang siapa beramal soleh pada malam tersebut, seumpama  dia telah melakukan amal soleh melebihi 1000 bulan.

2.  Barang siapa yang terhalang daripada beribadah pada malam lailatul Qadar kerana malas beribadah atau tidak berusaha untuk mencarinya, sungguh ia telah terhalang dari kebaikan seluruhnya, dan tidaklah terhalang dari kebaikan malam itu kecuali orang yang mahrum (terhalang dari kebaikan).

3.  Setiap muslim sangat dianjurkan untuk menghidupkan lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap pahala yang dijanjikan. Sehingga apabila ia ikhlas melaksanakannya, dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan pada masa lalu akan diampunkan  Allah.

4.  Mereka yang tidak berusaha untuk beribadah dengan sepenuh hati pada bulan Ramadan dan malam Lailatul Qadar akan terlepas daripada segala kebaikan dan ganjaran yang ada. Oleh itu, setiap kita harus berusaha sebaik mungkin untuk memperoleh ganjaran daripada Allah SWT, termasuk beribadah dengan penuh tekun pada sepuluh malam terakhir.

5. Rebutlah peluang beribadat. Jangan sampai kita tergolong dari kalangan yang terhalang melakukan amal ibadat khususnya di sepuluh malam akhir Ramadan.

JANGAN biarkan Ramadan berlalu tanpa kesungguhan kita beribadat
JANGAN biarkan Lailatul Qadar berlalu tanpa amalan yang bersungguh
JANGAN biarkan kita buat tak kisah


No comments: