Selasa, 8 Syaaban 1447H | Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan
عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ
Daripada Ismail Muhammad Bin Sa’ad Bin Abi Waqqas daripada ayahnya daripada datuknya. Datuknya (Sa’ad Bin Abi Waqqas) berkata: Rasulullah SAW bersabda: Empat perkara yang membawa kebahagiaan. Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Manakala Empat perkara yang membawa kesengsaraan adalah jiran yang buruk, isteri yang buruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang menyusahkan.” (HR Ibnu Hibban No: 4032) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Empat perkara yang membawa kebahagiaan di dunia
a. Isteri yang solehah iaitu isteri yang baik. Sentiasa membantu suami dalam ketaatan kepada Allah. Menjadi penenang jiwa suami, ketika dipandang suami ia menggembirakan. Sentiasa menjaga maruah diri, harta dan suami.
b. Tempat tinggal yang luas iaitu yang banyak manfaat bagi penghuninya (tidak semestinya rumah besar). Rumah yang didalamnya hati akan menjadi lapang dan tidak sempit (Takhrij al-Musnad no 15372).
c. Jiran yang baik iaitu jiran yang sentiasa bermanfaat dan tidak menyakiti orang lain.
d. Kenderaan yang selesa iaitu kenderaan yang memudahkan urusan, tidak mendatangkan bahaya serta tidak membebankan sama ada dengan hutang mahupun kerosakan.
2. Empat punca kesengsaraan hidup di dunia:
a. Jiran yang buruk iaitu yang buruk akhlaknya serta kehidupannya akan mempengaruhi kita dan anak-anak.
b. Isteri yang buruk iaitu isteri yang berakhlak dan perangai yang buruk
c. Tempat tinggal yang sempit iaitu rumah yang tidak menjadikan kita bahagia dan merasa lapang berada di dalamnya
d. Kenderaan yang menyusahkan dan membebankan.
Setiap Muslim disyariatkan berdoa antaranya doa memohon kelapangan dan keberkatan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering berdoa:
ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲ ﺃَﻋُﻮﺫُ ﺑِﻚَ ﻣِﻦْ ﺟَﺎﺭِ ﺍﻟﺴُّﻮﺀ ﻭَﻣِﻦْ ﺯَﻭْﺝٍ ﺗُﺸَﻴِّﺒُﻨِﻲ ﻗَﺒْﻞَ ﺍﻟْﻤَﺸِﻴﺐِ ﻭَﻣِﻦْ ﻭَﻟَﺪٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﺭِﺑًﺎ ﻭَﻣِﻦْ ﻣَﺎﻝٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﻋَﺬَﺍﺑًﺎ ﻭَﻣِﻦْ ﺧَﻠِﻴﻞٍ ﻣَﺎﻛِﺮٍ ﻋَﻴْﻨَﻪُ ﺗَﺮَﺍﻧِﻲ ﻭَﻗَﻠْﺒُﻪُ ﺗَﺮْﻋَﺎﻧِﻲ ﺇِﻥْ ﺭَﺃَﻯ ﺣَﺴَﻨَﺔً ﺩَﻓَﻨَﻬَﺎ ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺭَﺃَﻯ ﺳَﻴِّﺌَﺔً ﺃَﺫَﺍﻋَﻬَﺎ
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari tetangga yang buruk, dari isteri yang membuatku beruban sebelum masa beruban, dari anak yang menjadi tuan bagiku, dari harta yang menjadi siksaan atasku, dan dari kawan yang berbuat makar, matanya memandangiku sedang hatinya mengawasiku. Jika ia melihat kebaikan, maka ia tanam (sembunyikan), dan jika melihat keburukan, maka ia menyebarkannya. (HR. Hannad dalam Az-Zuhd (no. 1038) Status: Hadis sahih dalam Ash-Shohihah no. 3138).
No comments:
Post a Comment