Jumaat, 19 Rejab 1447H | Uban Itu Kebaikan
عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ فَإِنَّهُ نُورُ الْمُسْلِمِ مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً وَكَفَّرَ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً وَرَفَعَهُ بِهَا دَرَجَةً
Daripada 'Amru bin Syu'aib dari bapanya dari datuknya, dia berkata; bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian mencabut uban, kerana sesungguhnya ia adalah cahaya bagi seorang muslim, barangsiapa tumbuh padanya sehelai uban di dalam Islam maka dengannya Allah akan menuliskan untuknya satu kebaikan, menghapus darinya satu kesalahan dan mengangkatnya dengan satu darjat." (HR Ahmad No: 6668) Status: Isnad Tsiqah.
Pengajaran:
1. Hargailah setiap anugerah Allah kepada kita.
2. Rambut beruban (metalik) semula jadi adalah anugerah kebaikan kepada setiap Muslim yang memilikinya. Uban melambangkan ketuaan dan kematangan.
3. Uban yang tumbuh tidak digalakkan mencabutnya kerana menghormati perubahan semula jadi tubuh manusia. Rambut beruban adalah cahaya seorang Muslim di hari kiamat (menjadi kelebihan dan kemuliaan kepada pemiliknya di sisi Allah).
4. Saidina Anas Bin Malik RA bahawa beliau berkata:
يُكْرَهُ أَنْ يَنْتِفَ الرَّجُلُ، الشَّعْرَةَ الْبَيْضَاءَ مِنْ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ
Maksudnya: Dimakruhkan bagi seorang lelaki itu mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga janggutnya. (HR Muslim No: 2341)
5. Uban yang tumbuh di kepala, pada setiap helai Allah akan menulis untuknya satu kebaikan, menghapus darinya satu kesalahan dan mengangkatnya dengan satu darajat.
6. Uban yang tumbuh pada seorang Muslim adalah simbol kesabaran dan pengalaman hidup dalam beribadat kepada Allah. Ia menjadi saksi terhadap umur yang dihabiskan dalam ketaatan dan perjuangan dalam agama.
No comments:
Post a Comment