Tuesday, January 20, 2026

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

Selasa, 1 Syaaban 1447H | Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Daripada Abu Salamah ia berkata, saya pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW, maka ia pun berkata; Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami mengira bahawa baginda akan puasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak puasa) sehingga kami mengira baginda akan berbuka (tidak puasa) terus-menerus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. Baginda berpuasa hampir keseluruhan bulan Syaaban hingga sisa harinya tinggal sedikit." (HR Muslim No: 1957) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW membanyakkan puasa sunatnya pada bulan Syaaban kecuali beberapa hari dihujung Syaaban.

2.  Tidak ada bulan yang paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat melainkan di bulan Syaaban.

3.  Menurut Ibn Rajab, Syaaban adalah bulan persediaan rohani sebelum bulan Ramadan. Puasa dalam bulan Syaaban melatih jiwa dan jasad agar bersedia menyambut Ramadan. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain.

4.  Bulan Syaaban telah menemui kita. Marilah kita membuat persiapan untuk membanyakkan berpuasa sunat di bulan Syaaban.

5.  Ambillah peluang kelebihan berpuasa dengan memperbanyakkan doa kerana doa orang yang sedang berpuasa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadis daripada  Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. (HR Ibn Majah No:1752) Status:Hadis  hasan

Marilah kita melaksanakan ibadat puasa sunat dibulan Syaaban sebagai latihan dan persiapan menghadapi Ramadan.


No comments: