Rabu, 17 Rejab 1447H | Pelihara Hak Jalan
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ فَقَالُوا مَا لَنَا بُدٌّ إِنَّمَا هِيَ مَجَالِسُنَا نَتَحَدَّثُ فِيهَا قَالَ فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجَالِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهَا قَالُوا وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ قَالَ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الْأَذَى وَرَدُّ السَّلَامِ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ
Daripada Abu Sa'id Al Khudriy RA dari Nabi SAW bersabda: "Janganlah kamu duduk duduk di tepi jalan". Mereka bertanya: "Itu kebiasaan kami yang sudah biasa kami lakukan kerana itu menjadi tempat kami bersembang". Baginda bersabda: "Jika kamu tidak mahu meninggalkan kebiasaan seperti itu maka tunaikanlah hak jalan tersebut". Mereka bertanya: "Apa hak jalan itu?" Baginda menjawab: "Menundukkan pandangan, tidak menganggu (orang lain), menjawab salam dan laksanakan amar makruf dan nahi munkar". (HR Bukhari No: 5790) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW melarang sengaja duduk atau lepak di tepi jalan yang menjadi laluan orang ramai.
2. Imam Nawawi menjelaskan dalam Syarh Sahih Muslim, duduk atau lepak di tepi jalan boleh menyebabkan jalan sempit atau menyukarkan orang lain untuk melaluinya.
3. Larangan di atas mencakupi semua bentuk gangguan yang ditimbulkan kepada pengguna jalan raya. Antaranya tindakan menggunakan lorong kecemasan tanpa keperluan juga merupakan salah satu perbuatan yang menggangu jalan. Lebih-lebih lagi, ia menghalang laluan yang dikhususkan kepada orang yang berada dalam keadaan kecemasan, yang pasti akan memudaratkan orang tersebut jika tidak dapat menggunakannya.
4. Jika terpaksa berada di tepi jalan untuk urusan tertentu, kita perlu menjaga adab dan hak jalan iaitu:
a. Menundukkan pandangan (Menjaga pandangan daripada memandang perkara haram atau aurat orang lain)
b. Tidak mengganggu (tidak menyakiti orang yang lalu atau menghalang laluan, memelihara diri dari perbuatan menghina, mengata, bercakap kasar, tidak membuang sampah dan lain-lain)
c. Menjawab salam (memulia dan menghormati orang lain dengan menyebarkan salam dan menghidupkan ukhuwah)
d. Laksanakan amar makruf dan nahi munkar (menyuruh kepada kebaikan dan akhlak mulia juga mencegah kemungkaran serta perbuatan buruk).
5. Hadis ini mengajar bahawa setiap Muslim bertanggungjawab menjaga suasana aman dan berakhlak di ruang awam, sama ada secara fizikal atau maya.
No comments:
Post a Comment