Tuesday, March 24, 2026

Pertemuan Dua Muslim Mengampunkan Dosa

Selasa, 4 Syawal 1447H  |  Pertemuan Dua Muslim Mengampunkan Dosa

عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

Daripada Abu Ishaq daripada Al-Bara` ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu mereka berjabat tangan (bersalaman), melainkan diampunkan dosa bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Sunan Abi Daud No: 5212) Maktabah Asriyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pentingnya menjaga hubungan baik dan mempereratkan ikatan ukhuwah sesama Muslim. Ambil peluang sempena Syawal ini saling ziarah menziarahi, bertemu dan bersua muka antara satu sama lain

2.  Ketika bertemu sesama Muslim, ambil peluang saling berjabat tangan atau bersalaman (pastikan bukan berlainan jantina yang dilarang).

3.  Bersalaman atau berjabat tangan melambangkan kasih sayang, berfungsi untuk menghilangkan perasaan dendam, kebencian, atau rasa tidak suka antara individu. Hal ini seiring dengan ajaran Islam yang mengutamakan perdamaian dan menghindari sifat-sifat yang merosakkan hubungan sosial seperti permusuhan dan dendam.

4.  Pengampunan yang disebut dalam hadis ini merujuk kepada dosa-dosa kecil antara sesama manusia, khususnya yang berkaitan dengan hubungan sosial seperti rasa tidak senang, salah faham, dan seumpamanya. Namun, dosa besar tetap memerlukan taubat yang khusus.

5.  Berjabat tangan dapat melembutkan hati dan menghilangkan perasaan marah, dendam dan prasangka.

6.  Islam mengajar umatnya supaya beradab dalam setiap interaksi, termasuk ketika bertemu dan berpisah.

7.  Setiap kali kita berinteraksi dengan sesama Muslim, kita seharusnya melihatnya sebagai peluang untuk mendapatkan rahmat dan keampunan daripada Allah SWT, terutama jika pertemuan itu disertai dengan salaman yang tulus. Moga Allah akan mengampuni dosa dua orang Muslim yang bertemu dan berjabat tangan, sebelum mereka berpisah.

Marilah kita  mengambil kesempatan di Syawal yang mulia ini untuk saling bersalaman serta bermaafan. Rebut Pahala Bersihkan Jiwa.
Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 22:

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”


No comments: