Sabtu, 4 Muharram 1448H | Syurga Untuk Pengunjung Masjid
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada waktu pagi atau petang, maka Allah akan menyediakan baginya suatu tempat persinggahan di syurga (kediaman yang mulia), setiap kali dia pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang." (HR Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Orang yang sentiasa mengunjungi sama ada untuk solat, menuntut ilmu, beriktikaf dan sebagainya di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.
2. Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ….. وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ
Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid. (Sahih Bukhari: 660)
3. Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)
4. Tempat pertama yang Rasulullah SAW bina ketika sampai ke Quba dalam peristiwa hijrah baginda adalah Masjid iaitu masjid Quba. Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Sahutlah seruan muazin ketika azan dikumandangkan … “Hayya a’lal Solah, Hayya a’lal Falah” (mari menunaikan solat, mari menuju kejayaan)… Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.
5. Hadis ini mengajarkan bahawa melazimi ke masjid pagi dan petang merupakan tanda keimanan, dan Allah menjanjikan tempat istimewa di syurga bagi mereka yang istiqamah dalam amalan ini. Ia menanam nilai cinta kepada rumah Allah, disiplin dalam ibadah, dan keikhlasan dalam mencari keredhaan-Nya.
6. Masjid bukan sekadar tempat solat tetapi juga merupakan tempat menuntut ilmu, berdakwah, berzikir, tadarus al-Quran, membina ukhuwah juga membentuk akhlak Masyarakat. Masjid adalah pusat pembinaan ruh dan pembangunan Masyarakat. Berusahalah memakmurkan masjid kerana ia merupakan rumah Allah di dunia dan jalan menuju rumah yang kekal di syurga.
No comments:
Post a Comment