Sabtu, 9 Rabiul Awal 1448H | Majlis Tanpa Zikir dan Selawat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَّجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا فِيهِ اللَّهَ وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِ إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَّةٌ، فَإِن شَاءَ عَذَّبَهُمْ، وَإِن شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah suatu kaum duduk dalam satu majlis, lalu mereka tidak mengingati Allah di dalamnya dan tidak berselawat ke atas Nabi mereka, melainkan majlis itu menjadi penyesalan (kerugian) bagi mereka. Jika Allah menghendaki, Dia akan mengazab mereka, dan jika Dia menghendaki, Dia akan mengampunkan mereka. (HR Tirmizi No: 3380) Status: Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Zikir kepada Allah dan selawat keatas Nabi perlu menjadi budaya dalam kehidupan harian. Rugilah sesiapa yang berada di dalam sesuatu majlis atau program namun mengabaikan untuk berzikir dan berselawat.
2. Menghidupkan sebarang majlis dengan zikir boleh dimulakan dengan basmalah disertai dengan doa dan selawat.
3. Menurut al-Qari, hadis ini menunjukkan bahawa berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi SAW adalah adab utama dalam sesuatu majlis. Jika tidak dilakukan, ia bukan hanya menyebabkan kehilangan pahala dan keberkatan, tetapi boleh mengundang dosa.
4. Allah boleh menghukum atau mengampuni atas kelalaian kita bergantung kepada sebab-sebab tertentu (seperti kejahilan atau taubat selepas itu).
5. Sekadar berzikir dengan nama Allah atau berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dalam sesuatu majlis boleh menjadikannya diberkati, dan menyelamatkan kita daripada perkara dosa dan maksiat yang menjadi penyebab kerugian akhirat.
6. Ibn Hajar menyatakan bahawa berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan antara amalan yang paling mudah tetapi paling besar ganjarannya. Ia menjadi sebab turunnya rahmat Allah dan tanda kecintaan seorang mukmin kepada Rasulullah SAW.
7. Al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa majlis yang kosong daripada mengingati Allah akan menjadi sebab penyesalan pada Hari Kiamat kerana peluang memperoleh pahala telah disia-siakan.
8. Hadis ini menunjukkan bahawa setiap majlis sama ada rasmi atau tidak, ilmiah atau santai, seharusnya disulami dengan menyebut nama Allah dan berselawat seperti dimulakan dengan membaca surah al-fatihah dan ditutup dengan membaca tasbih kafarah.
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram
No comments:
Post a Comment