Sunday, November 1, 2026

Tasbih, Tahmid dan Takbir Selepas Solat

Ahad, 21 Jamadil Awal 1448H  |  Tasbih, Tahmid dan Takbir Selepas Solat
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَهَذَا حَدِيثُ قُتَيْبَةَ أَنَّ فُقَرَاءَ الْمُهَاجِرِينَ أَتَوْا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَى وَالنَّعِيمِ الْمُقِيمِ فَقَالَ وَمَا ذَاكَ قَالُوا يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ وَلَا نَتَصَدَّقُ وَيُعْتِقُونَ وَلَا نُعْتِقُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفَلَا أُعَلِّمُكُمْ شَيْئًا تُدْرِكُونَ بِهِ مَنْ سَبَقَكُمْ وَتَسْبِقُونَ بِهِ مَنْ بَعْدَكُمْ وَلَا يَكُونُ أَحَدٌ أَفْضَلَ مِنْكُمْ إِلَّا مَنْ صَنَعَ مِثْلَ مَا صَنَعْتُمْ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ تُسَبِّحُونَ وَتُكَبِّرُونَ وَتَحْمَدُونَ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ مَرَّةً

Daripada Abu Hurairah RA dan ini adalah hadis yang diriwayatkan Qutaibah: Bahawa golongan fakir daripada Muhajirin datang menemui Rasulullah SAW sambil berkata; "Orang-orang kaya telah memborong amal kebaikan derajat yang tinggi dan kenikmatan yang kekal (disisi Allah)." Rasulullah SAW bertanya: "Apa maksud kamu?" Mereka menjawab: "Orang-orang kaya solat sebagaimana kami solat, dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, namun mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat melakukannya, mereka boleh memerdekakan tawanan sedangkan kami tidak dapat melakukannya." Lalu Rasulullah SAW  bersabda: "Mahukah aku ajarkan kepada kalian sesuatu yang dengannya kalian boleh menyaingi orang-orang yang mendahului kebaikan kalian, dan kalian boleh mendahului kebaikan orang-orang sesudah kalian, dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang melakukan seperti yang kalian lakukan?" Mereka menjawab; "Mahu wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Kalian bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali. (HR Muslim No: 936) Status: Hadis  Sahih
 
Pengajaran:
 
1.  Para sahabat sangat bercita-cita mengejar akhirat. Mereka bersedih bukan kerana kurang harta, tetapi kerana bimbang kurang peluang memperoleh pahala.
 
2.  Setiap Muslim berpeluang melakukan pelbagai amalan kebaikan dengan kelebihan yang ada padanya.
 
3.  Berlumba-lumba dalam kebaikan ialah sifat terpuji. Melihat orang lain banyak beramal sepatutnya mendorong kita meningkatkan amal, bukan menjatuhkan mereka.
 
4.  Muslim yang berkemampuan dari segi harta, di samping dapat melaksanakan ibadat solat, puasa, zakat mahupun haji, malah mereka boleh menggunakan kelebihan harta untuk bersedekah, berwakaf dan sebagainya.
 
5.  Kemiskinan bukan penghalang mencapai darjat tinggi di sisi Allah. Allah menyediakan pelbagai pintu ibadah yang tidak bergantung kepada kemampuan kewangan.
 
6.  Allah menganugerahkan kelebihan kepada Muslim yang bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali setiap satu, melebihi kedudukan dan kelebihan orang kaya.
 
7.  Bagi yang tidak memiliki harta untuk bersedekah, jadikanlah tasbih, tahmid dan takbir yang dibaca sebagai amal sedekah.
 
8.  Ibadah yang mudah jangan dipandang kecil. Zikir hanya mengambil masa beberapa minit, tetapi Nabi SAW mengaitkannya dengan peluang mengejar darjat orang yang mendahului dalam amal.
 
9.  Jangan tinggalkan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada mereka yang bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap kali selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali setiap satu.
 

No comments: