Sunday, August 24, 2025

Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

Ahad, 30 Safar 1447H  |  Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik." (Sunan Tirmizi No: 1910)  Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana-mana sahaja berada dan dalam setiap waktu.

2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa taqwa ialah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya dalam setiap keadaan, sama ada ketika bersendirian atau di khalayak ramai.

3.Takwa itu ialah sifat berhati-hati dan sentiasa merasakan diri diawasi oleh Allah.

4.Abu Darda berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah seorang hamba yang takut kepada Allah hinggakan dalam urusan seberat zarahpun dia masih takut. Setengah perkara yang halal pun ditinggalkan kerana takut ia menjadi haram.

5.Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan seperti beristighfar, berwuduk, solat, sedekah dan sebagainya. Firman Allah:

إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذٰلِكَ ذِكرىٰ لِلذّٰكِرينَ

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu akan menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. (Surah Hud ayat: 114)

6.Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan Non Muslim.

7.Jagalah akhlak dalam perhubungan sesama kita dalam organisasi dan masyarakat. Elakkan umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya.

Jadilah kita orang bertaqwa, yang melakukan amal soleh dan menjauhi mungkar, serta berakhlak mulia dalam pergaulan sesama manusia. Bersamalah kita membina masyarakat dan negara yang harmoni dan sejahtera.


Saturday, August 23, 2025

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

Sabtu, 29 Safar 1447H  |  Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

حَدَّثَنَا هَاشِمٌ حَدَّثَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ حَدَّثَنِي شَهْرٌ حَدَّثَنِي أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Telah menceritakan kepada kami Hasyim telah menceritakan kepadaku Abdul Hamid telah menceritakan kepadaku Syahr telah menceritakan kepadaku Abu Dzabyah ia berkata; Bahawasanya Syurahbil bin As Simth memanggil Amru bin Abasah As Sulami dan bertanya, "Wahai Ibnu Abasah, apakah Anda mahu menceritakan kepadaku suatu hadis yang telah Anda dengar dari Rasulullah SAW tanpa ada tambahan ataupun kedustaan? Dan janganlah anda ceritakan kepadaku suatu hadis dari sahabat lain yang ia mendengarnya dari baginda selain anda. Amru bin Abasah berkata; Baiklah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala telah berfirman: 'Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'"(Musnad Ahmad No: 18621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah apabila:

1.  Saling mencintai kerana Allah

2.  Saling merapatkan hubungan (ukhuwah) kerana Allah

3.  Saling menziarahi kerana Allah

4.  Saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Allah

5.  Saling menyantuni dengan bantu membantu dan tolong menolong kerana Allah

Marilah kita tanamkan sifat saling menyayangi, pereratkan ukhuwah sesama kita, saling menziarahi dan menyantuni khususnya kepada yang lebih tua juga orang yang lemah. Dengan adanya sifat dan amalan terpuji ini, kita akan berjaya membina masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera.

Jadikanlah diri kita orang yang dicintai Allah dari asbab kecintaan kita kepada orang lain.


Friday, August 22, 2025

Jadilah Warganegara Bermanfaat

Jumaat, 28 Safar 1447H   |   Jadilah Warganegara Bermanfaat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ  وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW  bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh (HR Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. Status hadis hasan dalam Sahih Al Jaami’ no. 176).

Pengajaran:

1.Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, berusahalah menjadi orang yang paling bermanfaat kepada orang lain kerana orang yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

2.Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang,  membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.

3.Realiti hidup pada masa kini ada yang terkesan dengan pelbagai masalah antaranya kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan masalah orang lain. Perbuatan tersebut lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi.

4. Marilah kita menjadi orang yang bermanfaat dengan sentiasa berusaha mewujudkan masyarakat dan negara yang bersatu padu dan diredhai Allah.  Berusahalah kita menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Keberadaan kita dalam organisasi,  masyarakat dan negara amat dirasai manfaat kebaikannya. Ketiadaan kita pula akan ditangisi.




Thursday, August 21, 2025

Manusia Yang Paling Dicintai Allah

Khamis, 28 Safar 1447H   | Manusia Yang Paling Dicintai Allah

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ  وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW  bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh (HR Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. Status hadis hasan dalam Sahih Al Jaami’ no. 176).

Pengajaran:

1.Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, berusahalah menjadi orang yang paling bermanfaat kepada orang lain kerana orang yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

2.Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang,  membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.

3.Realiti hidup pada masa kini ada yang terkesan dengan pelbagai masalah antaranya kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan masalah orang lain. Perbuatan tersebut lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi.

4. Marilah kita menjadi orang yang bermanfaat dengan sentiasa berusaha mewujudkan masyarakat dan negara yang bersatu padu dan diredhai Allah.  Berusahalah kita menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Keberadaan kita dalam organisasi,  masyarakat dan negara amat dirasai manfaat kebaikannya. Ketiadaan kita pula akan ditangisi.


Wednesday, August 20, 2025

Rahmat Kepada Semua

Rabu, 26 Safar 1447H  |  Rahmat Kepada Semua

عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:  لَنْ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَرَاحَمُوا. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ كُلُّنَا رَحِيمٌ. قَالَ:  إِنَّهُ لَيْسَ بِرَحْمَةِ أَحَدِكُمْ صَاحِبَهُ وَلَكِنَّهَا رَحْمَةُ النَّاسِ رَحْمَةُ الْعَامَّةِ

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum (kepada seluruh makhluk)” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)

2.  Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.

3.  Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.

4.  Umat Islam haruslah memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujurat: 13)

5.  Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia adalah dituntut. Ia boleh dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji. Bersifat rahmah dengan menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.

6.  Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih sayang kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah serta sesama manusia.

7.  Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam.

8.  Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.

9.  Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

“Sesungguhnya Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”. (HR At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih Al-Jaami’ no 2377)

Marilah kita berkongsi nilai membina semangat setiakawan sesama rakyat Malaysia. Bersifat rahmah sebagai Muslim kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita sentiasa teguh bersama membina negara tercinta.


Tuesday, August 19, 2025

Orang Yang Terbaik

Selada, 25 Safar 1447H   |   Orang Yang Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ  فَقَالَ   أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ   قَالَ  فَسَكَتُوا  فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ  فَقَالَ رَجُلٌ  بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ  أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا  قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ  وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ 

Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik di antara yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW pun mengulangi pertanyaan tersebut sampai tiga kali. Kemudian mereka pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik di antara yang terburuk di antara kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda,“Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak merasa aman dari gangguannya.” (Sunan  Tirmidzi no. 2263) Status: Sahih dalam Shahih Al-Jami’ no. 2603.

Pengajaran:

1.  Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan  kebaikan kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguannya.

2.  Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguannya

3.  Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai kebaikan oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain. (HR Ibn Hibban  No:  2/48)

4.  Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. (Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139


Monday, August 18, 2025

Sujud Mengugurkan Dosa

Isnin, 24 Safar 1447H   |   Sujud Mengugurkan Dosa

عَنْ سَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الْمُسْلِمَ لِيُصَلِّيَ وَخَطَايَاهُ مَوْضُوعَةٌ عَلَى رَأْسِهِ ، فَكُلَّمَا سَجَدَ تَحَاتَّتْ عَنْهُ ، فَتَفْرُغُ حِينَ يَفْرُغُ مِنْ صَلَاتِهِ ، وَقَدْ تَحَاتَّتْ خَطَايَاهُ

Daripada Salman al-Farisi RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang Muslim apabila dia solat, dosa-dosanya diletakkan di atas kepalanya. Maka setiap kali dia sujud, dosa-dosa itu gugur daripadanya. Maka apabila dia selesai solat, dia pun telah selesai dalam keadaan dosa-dosanya telah gugur daripadanya." (HR Tabarani No: 1153 dalam al-Mu‘jam al-Kabir, dan disebut juga oleh al-Mundhiri dalam al-Targhib wa al-Tarhib) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kepentingan Solat dalam kehidupan Muslim bukan sahaja tuntutan ibadah, tetapi juga jalan penyucian diri daripada dosa yang boleh mencemari hati dan iman.

2.  Sujud bukan sekadar gerakan fizikal, tetapi ia mempunyai dimensi rohani yang mendalam. Sujud adalah kedudukan paling hampir antara hamba dan Tuhannya, dan pada saat itu rahmat dan keampunan Allah sangat dekat.

3.  Menurut Imam al-Nawawi, pengampunan ini merujuk kepada dosa-dosa kecil, sementara dosa besar memerlukan taubat yang khusus. Maka, solat menjadi sebab penghapusan dosa-dosa kecil.

4.  Hadis ini mengingatkan kita bahawa solat bukan hanya kewajipan, tetapi anugerah dan rahmat. Malah orang yang solat berpeluang berulang-ulang untuk membersihkan diri daripada dosa. Sujud dalam solat menjadi lambang penyerahan diri dan penghinaan ego, yang dengannya Allah memuliakan dan mengampunkan hamba-hamba-Nya.


Sunday, August 17, 2025

Perbanyakkan Doa Ketika Sujud

Ahad, 23 Safar 1447H  | Perbanyakkan Doa Ketika Sujud

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Waktu paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkan doa. (HR Muslim no: 482) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sujud adalah kedudukan paling istimewa dalam solat. Waktu sujud adalah posisi fizikal yang menunjukkan penghinaan diri secara mutlak kepada Allah dan paling hampir kepada-Nya.

2.  Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa kedudukan paling hampir dalam hadis ini bukan secara fizikal, tetapi dari segi kedudukan kerohanian dan kemuliaan, kerana sujud melambangkan puncak kehinaan diri di hadapan Allah dan kerendahan hati sepenuhnya.

3.  Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din menyebut bahawa hati yang hadir dan penuh tumpuan dalam sujud adalah kunci utama doa dimakbulkan, dan ketika itu jiwa sangat hampir dengan rahmat Ilahi.

4.  Doa adalah senjata Mukmin. Perbanyakkan doa ketika sujud kerana ia antara tempat mustajabnya doa.

5.  Hadis ini mendidik kita bahawa sujud adalah waktu paling hampir antara seorang hamba dengan Tuhannya, dan oleh itu kita dianjurkan memperbanyak doa dalam keadaan tersebut. Sujud mengisyaratkan bahawa kedekatan kepada Allah bukan melalui kedudukan duniawi atau fizikal, tetapi melalui pengabdian yang ikhlas dan tunduk hati dalam ibadah.

Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

Saturday, August 16, 2025

Kelebihan Sujud Dalam Solat

Sabtu, 22 Safar 1447H  |  Kelebihan Sujud Dalam Solat

عَنْ ثَوْبَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً، إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً، وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً، وَرَفَعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةً، فَاسْتَكْثِرُوا مِنَ السُّجُودِ

Daripada Thawban RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Tiada seorang hamba pun yang bersujud kepada Allah dengan satu sujud, melainkan Allah akan menulis untuknya satu kebaikan, menghapuskan daripadanya satu dosa (keburukan), dan mengangkatnya satu darjat. Maka perbanyakkanlah sujud. (HR Muslim No: 488) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menunjukkan kelebihan sujud sebagai bentuk ibadah yang sangat mulia. Sujud merupakan tempat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya.

2.  Sujud bukan hanya dalam solat fardhu, tetapi juga termasuk sujud dalam solat sunat, sujud tilawah, dan sujud syukur. Hal ini memperlihat bahawa amalan sujud mempunyai kesan rohani yang sangat besar.

3.  Ibn Hajar al-Asqalani menegaskan bahawa tiga ganjaran yang disebut dalam hadis ini untuk orang yang sujud iaitu penambahan pahala, penghapusan dosa, dan peningkatan darjat adalah tanda kasih sayang dan kemurahan Allah SWT terhadap hamba-Nya.

4.  Hadis ini menggalakan agar memperbanyak sujud sebagai galakan untuk memperbanyak solat, khususnya solat sunat, kerana setiap kali sujud dalam solat membawa kepada ganjaran tersebut.

5.  Memperbanyak sujud bermakna memperbanyak peluang untuk mendapat rahmat dan keampunan Allah serta mendekatkan diri kepada Allah.


Friday, August 15, 2025

Wuduk Menghapuskan Dosa

Jumaat, 21 Safar 1447H   |   Wuduk Menghapuskan Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ، أَوِ الْمُؤْمِنُ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ، خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ، خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ، خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنَ الذُّنُوبِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya setiap dosa yang dilihat oleh matanya bersama air  atau bersama titisan terakhir air. Apabila dia membasuh kedua tangannya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air  atau bersama titisan terakhir air. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh kakinya ketika berjalan, bersama air  atau bersama titisan terakhir air  hingga dia keluar dalam keadaan suci daripada dosa-dosa.” (HR Muslim No: 244) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa wuduk bukan hanya menyucikan tubuh secara zahir, tetapi juga menyucikan hati dan roh dengan menghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh anggota tubuh. Setiap kali seseorang membasuh anggota wuduk, dosanya yang berkaitan dengan anggota tersebut akan diampunkan.

2.  Ulama berpendapat bahawa dosa yang diampunkan melalui wuduk adalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan perbuatan anggota badan  seperti melihat perkara haram, menyentuh perkara dosa, berjalan ke tempat maksiat, dan sebagainya. Manakala dosa besar  memerlukan taubat nasuhah.

3.  Setiap anggota badan memainkan peranan dalam penentuan dosa dan pahala. Maka, perlu dijaga dengan baik anggota mata, tangan, kaki dan lain-lain.

4.  Pentingnya kesempurnaan dan keikhlasan dalam berwuduk yang dilakukan dengan penuh tumpuan, tertib dan niat yang betul akan membawa kepada keampunan Allah.

5.  Wuduk boleh menjadi penyebab kepada pengampunan dosa, oleh itu wuduk perlu dilakukan dengan sempurna dan penuh penghayatan, bukan sekadar sambil lewa.

6.  Islam mengajar bahawa kebersihan luaran membawa kepada kebersihan dalaman, dan ini mendekatkan diri kepada Allah.


Thursday, August 14, 2025

Anggota Wuduk Bercahaya

Khamis, 20 Safar 1447H  |   Anggota Wuduk Bercahaya

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ، عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan wajah, tangan dan kaki mereka bercahaya disebabkan kesan wuduk. Maka sesiapa yang mampu memanjangkan cahaya (kesan wuduk) itu, hendaklah dia melakukannya." (HR Bukhari No:136) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Wuduk adalah lambang cahaya keimanan di akhirat. Orang beriman dikenali melalui kesan anggota wuduk mereka. Pada hari kiamat, umat Nabi Muhammad SAW akan dikenali dengan tanda cahaya pada anggota wuduk mereka.

2.  Amalan wuduk bukan hanya persediaan untuk solat, tetapi ibadah itu sendiri yang akan memberi manfaat besar di akhirat.

3.  Wuduk bukan sekadar menyucikan tubuh, tetapi melakar cahaya akhirat yang akan menyinari kita di hadapan Allah kelak.

4.  Imam An-Nawawi menerangkan digalakkan meluaskan sedikit kawasan basuhan wuduk – sunat (seperti melewatkan sempadan siku atau buku lali), dengan syarat tidak berlebihan.

5.  Hadis ini mengangkat ibadah wuduk sebagai tanda kemuliaan umat Islam pada hari kiamat. Kesan wuduk akan menjadi sinar pengenalan di akhirat, maka kita digalakkan untuk memperelok dan menyempurnakan wuduk, malah menambah sedikit basuhan (tanpa berlebihan) bagi menzahirkan kesungguhan dalam ibadah.


Wednesday, August 13, 2025

Cara Berwuduk Sempurna

Rabu, 19 Safar 1447H   |  Cara Berwuduk Sempurna

عَنْ ‌حُمْرَانَ مَوْلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رضي الله عنه: أَنَّهُ رَأَى عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ دَعَا بِوَضُوءٍ، فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِنْ إِنَائِهِ، فَغَسَلَهُمَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا، وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلَاثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كُلَّ رِجْلٍ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، وَقَالَ:  مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غَفَرَ اللهُ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

Daripada Humran, maula (pembantu) kepada Saidina Uthman bin ‘Affan RA meriwayatkan bahawa dia pernah melihat Saidina Uthman meminta air untuk berwuduk. Lantas ia menuangkan air dari bekasnya ke kedua tangannya lalu membasuhnya tiga kali, lalu memasukkan tangan kanannya ke air wuduk kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya. Setelah itu, ia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya sampai ke siku tiga kali. Lalu ia mengusap kepalanya, kemudian membasuh setiap kakinya tiga kali. Kemudian ia berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian mendirikan solat dua rakaat dan tidak bercakap dengan dirinya (tidak lalai), nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari No: 159) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menjadi dalil utama bagi tatacara wuduk Nabi SAW, ia merangkumi semua rukun dan sunat wuduk secara tertib bermula dari membasuh kedua tangan, berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya, membasuh muka, membasuk kedua tangan hingga ke siku, menyapu kepala, dan membasuh kaki hingga ke buku lali semuanya dilakukan sebanyak tiga kali.

2.  Dua rakaat solat sunat selepas wuduk bukan sekadar solat biasa, tetapi penyempurna wuduk yang membawa keampunan dosa jika dilakukan dengan khusyuk.

3.  Imam Malik berpendapat bahawa wuduk yang sempurna dan disusuli solat sunat selepasnya menunjukkan penyucian fizikal dan rohani, yang menyebabkan seseorang layak menerima keampunan daripada Allah SWT.

4.  Khusyuk dalam solat adalah kunci kepada penerimaan ibadah dan pengampunan dosa.

5.  Hadis ini memberikan panduan lengkap tentang tatacara wuduk Nabi SAW, dan ganjaran besar kepada sesiapa yang mencontohi cara tersebut. Solat sunat wuduk yang dilakukan dengan penuh khusyuk adalah ibadah yang mendalam dan membawa keampunan dosa-dosa yang lalu.


Tuesday, August 12, 2025

Doa Berpakaian Baharu

Isnin, 17 Safar 1447H  |  Doa Berpakaian Baharu

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ، عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Daripada Abu Said al-Khudri menceritakan bahawa apabila Rasulullah SAW memakai pakaian baru, Baginda akan menamakainya mengikut jenisnya seperti serban, baju atau selendang, kemudian Baginda berdoa: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'" (HR Abu Daud No: 4020) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mensyukuri nikmat berpakaian tanpa mengira pakaian itu biasa atau mewah, ia tetap kurniaan Allah.

2.  Berdoa ketika menerima nikmat baru, seperti pakaian baharu, adalah sunnah yang patut diamalkan.

3.  Setiap nikmat ada potensi baik dan buruknya, justeru kita diajar agar sentiasa memohon kepada Allah untuk diberi kebaikan dan dijauhkan keburukan daripada pakaian yang kita pakai.

4.  Antara doa ketika memakai pakaian baharu ialah melahirkan rasa Syukur dengan lafaz pujian kepada Allah di samping memohon kebaikan pakaian tersebut, kebaikan tujuan ia diperbuat juga perlindungan daripada keburukan pakaian tersebut seperti riak atau digunakan untuk perkara maksiat.

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Maksudnya: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'

5.  Doa ini mendidik hati agar bersikap tawaduk dan bersandar hanya kepada Allah dalam setiap urusan, termasuk hal kecil seperti berpakaian.

6.  Hadis ini mengajarkan kesyukuran, kesedaran dan akhlak mulia dalam perkara seharian seperti memakai pakaian baharu.


Bunyi Terompah Bilal Di Syurga

Selasa, 18 Safar 1447H  |  Bunyi Terompah Bilal Di Syurga

عن أبي هريرة رضى الله عنه : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ عِنْدَ صَلَاةِ الْفَجْرِ يَا بِلَالُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الْإِسْلَامِ فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الْجَنَّةِ قَالَ مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ      

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA ketika solat Subuh: "Wahai Bilal, ceritakan kepadaku amalan yang paling engkau harapkan ganjarannya dalam Islam, kerana sesungguhnya aku mendengar suara terompahmu di hadapanku di dalam syurga."
Lalu Bilal menjawab: "Aku tidak melakukan satu amalan pun yang paling aku harapkan ganjarannya selain daripada setiap kali aku berwuduk pada waktu malam atau siang, aku akan solat dengannya (wuduk itu) sebanyak yang ditakdirkan untukku solat." (HR Bukhari No: 1149) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menunjukkan keutamaan menjaga wuduk dan solat sunat selepas berwuduk, walaupun hanya dua rakaat. Amalan itu tidak semestinya besar, tetapi konsisten dan ikhlas, seperti yang dilakukan oleh Bilal bin Rabbah.

2.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa bunyi terompah Bilal yang didengar oleh Nabi menandakan kedudukan tinggi Bilal di syurga dan Nabi bertanya bukan kerana tidak tahu, tetapi untuk mendidik umatnya tentang kelebihan amalan Bilal.

3.  Amalan Bilal penghuni Syurga walaupun kecil namun dilakukan dengan istiqamah iaitu sentiasa menjaga wuduk dan melaksanakan solat sunat selepas wuduk .

4.  Perbuatan Bilal menunjukkan bahawa wuduk bukan hanya persediaan untuk solat wajib, tetapi juga pembuka kepada solat sunat yang membawa keampunan dan pahala besar.

5.  Hadis ini menerangkan bahawa amalan ikhlas dan istiqamah, walaupun kecil, mampu menjadi sebab masuk syurga. Bilal bin Rabah r.a. tidak menyebut jihad, puasa, atau sedekah besar, tetapi hanya amalan berwuduk dan solat sunat selepas berwuduk yang dilakukannya secara tetap dan ikhlas.


Monday, August 11, 2025

Doa Berpakaian Baharu

Isnin, 17 Safar 1447H  |  Doa Berpakaian Baharu

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ، عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Daripada Abu Said al-Khudri menceritakan bahawa apabila Rasulullah SAW memakai pakaian baru, Baginda akan menamakainya mengikut jenisnya seperti serban, baju atau selendang, kemudian Baginda berdoa: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'" (HR Abu Daud No: 4020) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mensyukuri nikmat berpakaian tanpa mengira pakaian itu biasa atau mewah, ia tetap kurniaan Allah.

2.  Berdoa ketika menerima nikmat baru, seperti pakaian baharu, adalah sunnah yang patut diamalkan.

3.  Setiap nikmat ada potensi baik dan buruknya, justeru kita diajar agar sentiasa memohon kepada Allah untuk diberi kebaikan dan dijauhkan keburukan daripada pakaian yang kita pakai.

4.  Antara doa ketika memakai pakaian baharu ialah melahirkan rasa Syukur dengan lafaz pujian kepada Allah di samping memohon kebaikan pakaian tersebut, kebaikan tujuan ia diperbuat juga perlindungan daripada keburukan pakaian tersebut seperti riak atau digunakan untuk perkara maksiat.

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Maksudnya: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'

5.  Doa ini mendidik hati agar bersikap tawaduk dan bersandar hanya kepada Allah dalam setiap urusan, termasuk hal kecil seperti berpakaian.

6.  Hadis ini mengajarkan kesyukuran, kesedaran dan akhlak mulia dalam perkara seharian seperti memakai pakaian baharu.


Sunday, August 10, 2025

Larangan Tergesa-gesa Dalam Berdoa

Ahad, 16 Safar 1447H  |  Larangan Tergesa-gesa Dalam Berdoa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Akan dikabulkan doa salah seorang diantara kalian selama ia tidak terburu-buru, maksud terburu-buru, ia berkata; aku telah berdoa namun tidak dikabulkan doaku.  (HR Tirmizi No: 3309) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Berdoa adalah ibadah. Hendaklah seorang Muslim memperhatikan adab-adab dan syarat-syarat dalam berdoa yang merupakan sebab dikabulkan doa.

2.  Antara adab ketika berdoa ialah tidak terburu-buru dalam berdoa.

3.  Antara sifat terburu-buru yang dilarang ketika berdoa ialah tidak sabar untuk segera diperkenankan dengan berkata: “Aku sudah berdoa kepada Allah tapi kenapa Allah tak juga mengabulkan doaku.? Perkataan itu keluar dari seseorang yang lemah hatinya dan dia tidak yakin sepenuhnya kepada Allah. Bagaimana mungkin doanya akan diperkenankan.

4.  Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini mengajar kita untuk tidak berputus asa dalam berdoa, walaupun doa itu belum diperkenankan dalam waktu yang cepat. Allah SWT Maha Mengetahui masa terbaik untuk mengabulkan sesuatu permintaan hambanya.


5.  Berdoalah dengan bersungguh-sungguh tanpa merasa jemu dan bosan. Yakinlah, setiap kali kita berdoa ia adalah ibadah untuk kita. Yakinlah doa kita tetap akan dikabulkan. Yakinlah kita dengan Firman Allah:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila dia berdo’a kepada Ku.” (Surah Al-Baqarah ayat: 186).

6.  Jangan berputus asa dalam berdoa, terus berdoa dengan yakin dan sentiasa bersangka baik terhadap Allah.


Saturday, August 9, 2025

Zikir Melihat Sesuatu Yang Disukai dan Dibenci

Sabtu, 15 Safar 1447H  |   Zikir Melihat Sesuatu Yang Disukai dan Dibenci

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ  الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ  الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Daripada 'Aisyah RA, kebiasaannya Rasulullah SAW jika menyaksikan hal-hal yang baginda sukai, baginda mengucapkan “Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmus solihat” (segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna). Sedangkan jika baginda menyaksikan hal-hal yang tidak menyenangkan baginda mengucapkan “Alhamdulillah ‘ala kulli hal“ (segala puji bagi Allah atas segala keadaan)” (HR Ibn Majah No: 3803) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah contoh ikutan yang paling baik. Baginda SAW mengajar adab dalam menghadapi pelbagai keadaan hidup, sama ada baik atau buruk. Ia adalah tanda kesempurnaan iman, iaitu bersyukur ketika senang dan reda serta memuji Allah ketika susah.

2.  Rasulullah SAW mengajar kita ucapan zikir apabila melihat atau menerima suatu berita atau perkara yang kita sukai. Ucapkanlah kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna.

3.  Rasulullah SAW juga mengajar kita ucapan zikir apabila menerima berita atau menyaksikan sesuatu yang tidak menyenangkan hati, maka ucapkanlah kalimah

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Maksudnya: Segala puji bagi Allah atas segala keadaan.

4.  Hadis ini mengajar kita untuk mengawal reaksi dan emosi dengan berpandukan kepada zikir dan kesedaran akan hikmah setiap yang berlaku. 

#BangunkanJiwaTaqwa

Friday, August 8, 2025

Ucapan Salam Memasuki Rumah Tiada Penghuni

Jumaat, 14 Safar 1447H  |  Ucapan Salam Memasuki Rumah Tiada Penghuni

عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ‏:‏ إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ‏:‏ السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ‏

Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar RA berkata: Sekiranya seseorang itu masuk ke dalam rumah yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin (salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh)” (HR Bukhari No: 1055) dalam Adab al-Mufrad. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memberi salam ketika memasuki rumah sama ada yang berpenghuni mahupun yang tiada penghuni adalah dituntut.

2.  Imam al-Mutawalli berkata: “Dianjurkan bagi orang yang masuk rumah sendiri untuk memberi salam atas keluarganya dan dianjurkan bagi orang yang hendak masuk masjid atau rumah yang di dalamnya tidak terdapat orang lain, maka ucapkanlah; ‘Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillahissolihin.’.

3.  Imam Nawawi berkata: “Sebelum memasuki rumah yang tiada berpenghuni, dianjurkan untuk membaca basmallah, berdoa dan kemudian memberi salam.” (Kitab Raudhatul Thalibin)

Firman Allah SWT:

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً

Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. (Surah al-Nur ayat: 61)

Apabila kita ingin masuk ke dalam rumah atau bilik yang tiada penghuni, sama ada telah lama tiada berpenghuni ataupun yang kita diami cuma tiada orang di dalam, maka ucapkanlah:

السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.


Thursday, August 7, 2025

Zikir Keluar Rumah

Khamis, 13 Safar 1447H  |  Zikir Keluar Rumah

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ مَا خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَيْتِي قَطُّ إِلاَّ رَفَعَ طَرْفَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ: اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عليَّ

Daripada Ummu Salamah, beliau berkata: Nabi SAW tidaklah keluar dari rumahku kecuali baginda menghadapkan pandangannya ke langit, lalu baginda membaca zikir:
اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عليَّ
(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari aku tersesat atau disesatkan orang lain, dari aku tergelincir atau digelincirkan orang lain, daripada aku menzalimi atau dizalimi orang lain, dari kebodohanku atau dibodohkan orang lain) (HR Abu Daud No: 5094) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik.

2.  Antara adab  etika keluar dari rumah ialah berzikir memohon perlindungan kepada Allah;


اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عليَّ
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari aku tersesat atau disesatkan orang lain, dari aku tergelincir atau digelincirkan orang lain, daripada aku menzalimi atau dizalimi orang lain, dari kebodohanku atau dibodohkan orang lain.

3.  Zikir ini mengandungi permintaan perlindungan dari beberapa perkara:

a.  Meminta perlindungan dari perkara yang berkaitan dengan agama iaitu perlindungan dari kesesatan atau disesatkan sama ada oleh Syaitan, Jin juga manusia yang ingin menjauhkan kita daripada jalan yang lurus.

b.  Meminta perlindungan dari perkara yang berkaitan dengan masalah dunia iaitu menzalimi diri sendiri dengan dosa atau dizalimi orang lain terhadap jiwa, harta dan kehormatan.

c.  Meminta perlindungan dari perkara yang berkaitan dengan interaksi dalam masyarakat iaitu tergelincir dalam dosa atau digelincirkan oleh orang lain dengan kejahatan mereka.

d.  Meminta perlindungan dari kejahilan (kebodohan) diri sendiri atau diperbodohkan orang lain.

Berusahalah untuk mengamalkan doa ini ketika keluar rumah.


Wednesday, August 6, 2025

Doa Ketika Ujian Berat Menimpa

Rabu, 12 Safar 1447H  |  Doa Ketika Ujian Berat Menimpa

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ، فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Daripada Anas bin Malik RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana ditimpa musibah (kesusahan atau penderitaan). Jika dia terpaksa juga ingin berdoa (memohon kematian), maka hendaklah dia berkata: 'Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.'" (HR Bukhari No: 6351) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kita dilarang daripada meminta kematian hanya kerana ditimpa kesusahan, penyakit, kegagalan, atau tekanan hidup. Hidup dan mati adalah ketentuan qadar dan qada’ Allah, dan hikmah ujian yang datang tidak kita ketahui.

2.  Kesabaran dalam mengharungi ujian kehidupan adalah jalan kepada pengampunan dan ganjaran yang besar. Ujian hidup adalah cara Allah meninggikan darjat hamba-Nya.

3.  Jika kita merasa dalam keadaan sangat berat menghadapi ujian penyakit contohnya dan niatnya bukan untuk lari dari takdir, Nabi SAW mengajar doa yang lebih selamat dan penuh adab untuk dibaca:

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Maksudnya: Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.

4.  Kehidupan atau kematian adalah rahsia Allah. Kita tidak tahu sama ada kesusahan hidup itu sebenarnya membawa kebaikan, atau kematian itu sebenarnya membawa keburukan, maka kita serahkan kepada Allah yang Maha Mengetahui.


Tuesday, August 5, 2025

Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW

Selasa, 11 Safar 1447H  |  Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW

عن شهر بن حوشب قال‏:‏قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ  قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ  قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ  فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ  وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ

Daripada Syahr bin Hausyab, katanya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW disisi engkau?" Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) - “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” - Ummu Salamah berkata: "Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: "Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya." (HR Tirmizi No: 3522) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Sebagai Muslim kita perlu memperbanyak doa kepada Allah kerana doa umpama tali yang menghubungkan antara hamba dengan Pencipta.

2.  Antara doa yang sering dan banyak diucapkan oleh Rasulullah SAW adalah permohonan agar ditetapkan hati:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.

3.  Dikhususkan doa untuk tetap hati kerana jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan yang lain akan ikut menjadi baik.

4.  Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.

5.  Setiap kita memiliki hati yang bila-bila masa boleh berubah (berbolak balik).

6.  Rasulullah SAW mengajar doa agar kita memiliki hati yang tetap dan istiqamah

Banyakkan doa agar memiliki hati yang tetap dan istiqamah di atas jalan Islam.


Monday, August 4, 2025

Berselawat Tuntutan Mukmin

Isnin, 10 Safar 1447H  |  Berselawat Tuntutan Mukmin

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ

Daripada Ka'b ibnu Ujrah berkata, bahawa ketika ayat ini diturunkan : Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56) Lalu kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu. Maka bagaimanakah caranya mengucapkan selawat untukmu?" Rasulullah SAW. menjawab: Ucapkanlah, "Ya Allah, limpahkanlah selawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan limpahkanlah berkah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguh¬nya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia.” Abdur Rahman ibnu Abu Laila mengatakan, "Semoga dilimpahkan pula kepada kami disertakan dengan mereka." (HR Bukhari No: 2497) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin.

2.  Abul Aliyah telah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan selawat daripada Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Selawat dari para malaikat ialah doa mereka untuk Baginda Nabi SAW.

3.  Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat daripada Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat daripada para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.

4.  Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat ke atas baginda. Seafdhal-afdhal selawat adalah selawat yang biasa dibaca semasa tasyahud akhir setiap solat (Mustika Hadis 1/259) atau yang dipanggil selawat Ibrahimi:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

5.  Setiap Mukmin dituntut berselawat setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW. Antaranya dengan lafaz:

صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Atau

عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Marilah kita memperbanyak selawat ke atas Rasulullah SAW. Abi Umamah berkata Rasulullah bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Maksudnya: Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249 No: 5791) Status: Hadis Hasan


Sunday, August 3, 2025

Doa Pagi dan Petang

Ahad, 9 Safar 1447H  |  Doa Pagi dan Petang

حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْجَلِيلِ حَدَّثَنِي جَعْفَرُ بْنُ مَيْمُونٍ حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي بَكْرَةَ أَنَّهُ قَالَ لِأَبِيهِ : يَا أَبَتِ إِنِّي أَسْمَعُكَ تَدْعُو كُلَّ غَدَاةٍ اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَدَنِي اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي سَمْعِي اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَصَرِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ تُعِيدُهَا ثَلَاثًا حِينَ تُصْبِحُ وَثَلَاثًا حِينَ تُمْسِي وَتَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ تُعِيدُهَا حِينَ تُصْبِحُ ثَلَاثًا وَثَلَاثًا حِينَ تُمْسِي قَالَ نَعَمْ يَا بُنَيَّ إِنِّي سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُو بِهِنَّ فَأُحِبُّ أَنْ أَسْتَنَّ بِسُنَّتِهِ 

Telah menceritakan kepada kami Abu ‘Amir, telah menceritakan kepada kami Abdul Jalil, telah menceritakan kepadaku Ja’far bin Maimun, telah menceritakan kepadaku Abdurrahman bin Abu Bakrah bahawa ia berkata kepada Ayahnya; “Wahai ayahku, aku mendengarmu berdoa di setiap pagi dengan: Ya Allah, berikanlah kesehatan buat badanku, buat pendengaran dan penglihatanku, tiada Tuhan yang berhak di sembah selain Engkau. Ayah selalu mengulanginya hingga tiga kali ketika pagi dan petang, dan ayah juga selalu berdoa dengan doa: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu dari kekufuran, dan kefakiran, Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur, tidak ada Tuhan yang berhak di sembah kecuali Engkau. Ayah pun selalu mengulanginya tiga kali di waktu subuh dan tiga kali lagi di waktu petang.” Abu Bakrah menjawab; “Benar, wahai anakku, sebab aku pernah mendengarnya dari Nabi SAW, baginda juga selalu berdoa dengan (kalimat tersebut) sementara aku senang mengikuti sunahnya.”  (HR Ahmad No: 19534) Status: Hadis Hassan.

Pengajaran:

1.  Berdoa dalam apa juga situasi adalah suatu tuntutan dalam kehidupan Muslim.

2.  Antara doa Rasulullah SAW di waktu pagi dan diulang sebanyak tiga kali adalah:

اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَدَنِي اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي سَمْعِي اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَصَرِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: Ya Allah, berikanlah kesehatan buat badanku, buat pendengaran dan penglihatanku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.

3.  Antara doa Rasulullah SAW pada waktu petang juga dibaca tiga kali adalah: 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung diri kepada-Mu dari kekufuran, dan kefakiran, Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau.

Marilah kita amalkan doa ini diwaktu pagi dan petang.


Saturday, August 2, 2025

Zikir Penghapus Dosa Sebanyak Buih Dilaut

Sabtu, 8 Safar 1447H  |  Zikir Penghapus Dosa Sebanyak Buih Dilaut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW  baginda bersabda: Barangsiapa bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak tiga puluh tiga kali, dan bertahmid kepada Allah tiga puluh tiga kali, dan bertakbir kepada Allah tiga puluh tiga kali, hingga semuanya berjumlah sembilan puluh sembilan, dan baginda  menambah dan kesempurnaan seratus adalah membaca Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku walahul walahul hamdu wahuwa 'alaa kulli syai'in qadiir, maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan. (HR Muslim No: 939) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara amalan yang digalakkan selepas solat fardhu ialah membaca Tasbih (Subhaanallah) sebanyak 33 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan Takbir (Allahu Akbar) sebanyak 33 kali.

2.  Bagi menjadikan zikir tersebut sempurna, zikir terakhir (ke 100) dibaca sekali:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

3.  Sesiapa yang menyempurnakan zikir di atas dengan ikhlas, dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan (dosa kecil).

4.  Zikir ini merupakan salah satu bentuk kesyukuran atas nikmat solat dan kehidupan. Zikir ini juga berfungsi untuk membersihkan hati dan memperkukuh hubungan dengan Allah.

5.  Luasnya Rahmat Allah ke atas hamba-hambanya. Amalan yang amat mudah dan ringan untuk dilakukan, tetapi mempunyai ganjaran yang sangat besar. Berusahalah untuk istiqamah dengan zikir selepas solat fardhu, semoga ia menjadi penghapus dosa.


Friday, August 1, 2025

Zikir Selepas Makan Mengampunkan Dosa

Jumaat, 7 Safar 1447H  |  Zikir Selepas Makan Mengampunkan Dosa

عَنْ سَهْلِ بْنِ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَكَلَ طَعَامًا فَقَالَ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

Daripada Sahl bin Mu‘adz bin Anas, daripada bapanya, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang selepas makan mengucapkan:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ
'Segala puji bagi Allah yang telah memberi aku makan ini dan merezekikannya kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatan daripadaku,' nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Tirmizi No: 3458) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Doa dan zikir adalah dituntut dalam apa juga yang dilakukan termasuk sebelum dan selepas makan.

2.  Islam mengajar adab dan akhlak selepas makan. Barangsiapa selepas makan berzikir dan membaca doa ini;
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ
Maka akan diampunkan dosa-dosa kecilnya. Hal ini menunjukkan luasnya rahmat Allah dan keberkatan doa-doa harian apabila dihayati dengan ikhlas.

3.  Lafaz Doa ini mengandungi pengakuan bahawa tiada daya dan kekuatan pada kita melainkan dengan izin Allah. Bahkan mendidik jiwa untuk tidak sombong atau berbangga dengan usaha kita kerana rezeki bukan dari usaha kita semata-mata.

4.  Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi menyatakan: Hadis ini menunjukkan betapa besar nilai kesyukuran sebenar, hingga menjadi sebab diampunkan dosa.

5.  Amalkan doa selepas makan ini

"الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا، وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ”

Maksudnya: 'Segala puji bagi Allah yang telah memberi aku makan ini dan merezekikannya kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatan daripadaku,'


Thursday, July 31, 2025

Zikir Ketika Menerima Musibah

Khamis, 6 Safar 1447H  |  Zikir Ketika Menerima Musibah

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللَّهُ بِهِ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَاخْلُفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا. فَلَمَّا مَاتَ أَبُو سَلمَة قَالَت: أَيُّ الْمُسْلِمِينَ خَيْرٌ مِنْ أَبِي سَلَمَةَ؟ أَوَّلُ بَيْتِ هَاجَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ إِنِّي قُلْتُهَا فَأَخْلَفَ اللَّهُ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Daripada Ummu Salamah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa musibah, lalu dia mengucapkan sebagaimana yang diperintahkan Allah: ‘Innā lillāhi wa innā ilayhi rāji‘ūn (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali),
Ya Allah, berilah ganjaran kepadaku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya’), melainkan Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya. Ummu Salamah berkata: Ketika Abu Salamah (suaminya) meninggal dunia, aku berkata (dalam hati): “Siapakah di kalangan kaum Muslimin yang lebih baik daripada Abu Salamah? Beliau adalah orang pertama yang berhijrah ke Rasulullah.” Namun aku tetap mengucapkannya (doa tersebut), lalu Allah menggantikannya untukku dengan Rasulullah SAW (yakni, Nabi SAW mengahwini Ummu Salamah). (HR Muslim No: 918) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Musibah adalah ujian kehidupan. Islam tidak melarang berduka, tetapi menuntut kita menghadapinya dengan sabar, redha dan doa.

2.  Rasulullah SAW menganjurkan untuk mengucapkan zikir ini jika ditimpa musibah (kematian, kehilangan, kesakitan).

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَاخْلُفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali), Ya Allah, berilah ganjaran kepadaku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya’

3.  Zikir dan Doa yang diajarkan Rasulullah SAW ini mengajar kita bahawa redha dengan qada' dan qadar Allah serta berdoa adalah tanda iman dan kekuatan jiwa.

4.  Contohilah kehidupan Ummu Salamah RA, beliau kehilangan suami tercinta iaitu Abu Salamah namun beliau tetap Redha dan membaca doa seperti yang diajarkan Nabi SAW. Akhirnya  Allah gantikan dengan sesuatu yang tidak disangka-sangka iaitu menjadi isteri kepada Rasulullah.

5.  Ikhlas menghadapi ujian akan dibalasi dengan ganjaran besar  yang lebih baik. Kadangkala Allah ganti dengan ketenangan hati, pahala besar, atau kedudukan mulia di akhirat.


Wednesday, July 30, 2025

Ucapan Baik Untuk Jenazah

Rabu, 5 Safar 1447H  |  Ucapan Baik Untuk Jenazah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ مُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا خَيْرٌ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ ‏"‏ ‏.‏ وَمُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا شَرٌّ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ عُمَرُ فِدًى لَكَ أَبِي وَأُمِّي مُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا خَيْرًا فَقُلْتَ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ ‏.‏ وَمُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا شَرٌّ فَقُلْتَ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ مَنْ أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَمَنْ أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ

Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: Telah lalu satu jenazah, lalu orang ramai memuji kebaikannya. Maka Nabi Allah SAW bersabda: "Wajiblah (baginya)... Wajiblah... Wajiblah." Kemudian dilalui pula satu jenazah yang lain, lalu orang ramai menyebutkan keburukannya. Maka Nabi ﷺ bersabda: "Wajiblah (baginya)... Wajiblah... Wajiblah." Lalu Umar bin al-Khattab RA berkata: "Ayah dan ibuku menjadi tebusanmu, wahai Rasulullah! Satu jenazah dilalui dan orang memujinya dengan kebaikan, lalu engkau berkata: 'Wajiblah... Wajiblah... Wajiblah.' Kemudian satu jenazah lain dilalui dan orang menyebutkan keburukannya, lalu engkau berkata juga: 'Wajiblah... Wajiblah... Wajiblah'." Maka Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang kamu (orang ramai) puji dengan kebaikan, maka wajiblah baginya syurga. Dan sesiapa yang kamu puji dengan keburukan, maka wajiblah baginya neraka. Kamu semua adalah saksi-saksi Allah di atas muka bumi. Kamu semua adalah saksi-saksi Allah di atas muka bumi. Kamu semua adalah saksi-saksi Allah di atas muka bumi." (HR Muslim No: 2243) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jika orang ramai menyebut kebaikan si mati, maka wajiblah syurga baginya begitulah sebaliknya jika orang ramai menyebut keburukan si mati, maka wajiblah neraka baginya. Namun bukan kerana orang ramai menentukan baik atau buruk seseorang, tetapi kerana pujian mereka mencerminkan keadaan sebenar si mati berdasarkan kehidupannya yang zahir.

2.  Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa umat Islam yang soleh, apabila mereka menyaksikan kebaikan atau keburukan seseorang selepas kematian, maka ia adalah tanda bahawa Allah SWT menjadikan lidah mereka sebagai saksi kebenaran.

3.  Kehidupan yang baik akan dikenang dengan baik. Menyebut kebaikan si mati adalah disunatkan, kerana ia termasuk doa dan penghormatan. Oleh itu jagalah hubungan baik, akhlak mulia, dan nama yang baik dalam masyarakat.

4.  Orang yang dikenang dengan kezaliman atau kejahatan, walaupun sudah mati, tetap akan disebut dengan keburukan. Hal ini memberi peringatan kepada kita bahawa amal yang dilakukan tidak akan tersembunyi selama-lamanya.

5.  Islam mengajar untuk beradab dengan jenazah, dan hanya menyebut kebaikan mereka, mengumpat si mati tanpa sebab adalah dosa besar.

6.  Kita perlu hidup dengan amal soleh, akhlak yang baik, jujur, amanah dan memberi manfaat kepada orang lain, agar kita disebut dengan baik selepas kematian. Semoga itu menjadi tanda penerimaan amal kita di sisi Allah.

7.  Elak daripada menjadi orang yang kehadirannya dibenci dan pemergiannya disyukuri.


Tuesday, July 29, 2025

Pengakhiran Kalimah Untuk Masuk Syurga

Selasa, 4 Safar 1447H  |   Pengakhiran Kalimah Untuk Masuk Syurga

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Mu‘az bin Jabal RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang akhir kata-katanya (sebelum meninggal dunia) ialah ‘Lā ilāha illā Allāh’ (Tiada tuhan melainkan Allah), maka dia akan masuk syurga." (HR Abu Daud No: 1621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kalimah "La ilaha illa Allah" (Tiada Tuhan melainkan Allah) adalah kunci utama syurga, ia merupakan asas akidah dan bukti keimanan seseorang.

2.  Al-Qurtubi menyebutkan, maksud “akhir kalam” bukan semata-mata secara lisan fizikal, tetapi kalimah terakhir yang keluar dari kesedaran hati dan lidah serta diucapkan dengan iman yang benar, bukan secara kebetulan atau tanpa sedar.

3.  Menurut Imam Ibn Rajab, hanya orang yang hidupnya dibina atas tauhid dan amal soleh akan diberi taufik oleh Allah untuk menyebut kalimah ini di akhir hayat.

4.  Pengakhiran dengan kalimah ini adalah tanda husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan petanda besar keampunan Allah.

5.  Orang yang biasa dengan zikrullah ketika hidup lebih mudah mengucapkannya ketika menghadapi sakaratul maut.

6.  Hadis ini memberikan harapan besar kepada orang beriman: jika akhir kalimah kita ialah "La ilaha illa Allah", maka syurga adalah balasannya. Namun, juga menjadi peringatan bahawa pengakhiran itu tidak datang tanpa usaha. Bahkan memerlukan kehidupan yang dibina atas iman, amal, taubat dan pengharapan kepada rahmat Allah.


Monday, July 28, 2025

Doa Untuk Pesakit

Isnin, 3 Safar 1447H  |   Doa Untuk Pesakit

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَتَى مَرِيضًا  أَوْ أُتِيَ بِهِ  قَالَ: أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Daripada Aisyah Ummul Mukminin dikatakan bahawa Rasulullah SAW apabila mendatangi orang sakit, atau orang sakit itu dibawa kepada baginda, baginda akan berdoa:
أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
(Hilangkanlah penyakit, wahai Tuhan seluruh manusia. Sembuhkanlah, kerana Engkau adalah Penyembuh. Tiada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit). (HR Bukhari No: 5675) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ubat, doktor dan rawatan untuk pesakit adalah sebab (asbab) penyembuhan, namun kesembuhan mutlak adalah daripada Allah.

2.  Ruqyah dan doa menjadi sunnah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada orang yang sakit, bukan hanya sebagai bentuk simpati tetapi sebagai terapi ikhtiar dan pengharapan sebenar kepada Allah agar disembuhkan.

3.  Antara adab dan doa yang lengkap untuk kesembuhan, tidak hanya meminta sembuh, tetapi sembuh sepenuhnya tanpa meninggalkan kesan penyakit, menunjukkan bahawa dalam Islam kita digalakkan meminta kesihatan yang sempurna.

4.  Apabila kita menziarahi orang sakit atau dibawa kepada kita orang yang sedang sakit, sunat kita membacakan doa ini, sebagai bentuk empati dan pengharapan.

أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا


Sunday, July 27, 2025

Doa Ketika Ziarah Pesakit

Ahad, 2 Safar 1447H  |  Doa Ketika Ziarah Pesakit

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَحْضُرْهُ أَجَلُهُ، فَقَالَ عِندَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ: أَسْأَلُ اللهَ العَظِيمَ، رَبَّ العَرْشِ العَظِيمِ، أَنْ يَشْفِيَكَ، إِلَّا عَافَاهُ اللهُ مِنْ ذَلِكَ المَرَضِ

Daripada Ibnu ‘Abbas RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, lalu dia mengucapkan sebanyak tujuh kali di sisinya:  أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ، رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، أَنْ يَشْفِيَكَ (Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Pemilik ‘Arasy yang Agung, agar Dia menyembuhkanmu) nescaya Allah akan menyembuhkannya dari penyakit tersebut.” (HR Tirmizi No: 2083) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Menziarahi orang sakit adalah sunat yang sangat dituntut kerana akanmengeratkan silaturahim dan mengurangkan kesedihan pesakit dan keluarganya.

2.  Ziarah orang sakit bukan hanya menunaikan hak sesama Muslim, tetapi juga kesempatan untuk mendoakan kebaikan buat pesakit.

3.  Antara adab menziarahi pesakit adalah membawa harapan dan semangat dengan mendoakan kesembuhan buat pesakit. Antaranya dengan membaca doa ini sebanyak 7 kali:
" أَسْأَلُ اللهَ العَظِيمَ، رَبَّ العَرْشِ العَظِيمِ، أَنْ يَشْفِيَكَ "

Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Pemilik ‘Arasy yang Agung, agar Dia menyembuhkanmu.”

4.  Doa adalah senjata mukmin dan merupakan sebahagian daripada ikhtiar disamping rawatan perubatan. Dalam hadis ini, kebergantungan diserahkan sepenuhnya kepada kebesaran dan kekuasaan Allah  Tuhan Pemilik Arasy yang agung.

5.  Semoga kita termasuk dalam kalangan orang yang sentiasa mendoakan khususnya kepada orang yang sakit dan menyebarkan rahmat kepada sesama manusia.


Saturday, July 26, 2025

Doa Apabila Sakit

Sabtu, 1 Safar 1447H   |  Doa Apabila Sakit

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعًا يَجِدُهُ فِي جَسَدِهِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ضَعْ يَدَكَ عَلَى الَّذِي يَأْلَمُ مِنْ جَسَدِكَ وَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ، ثَلاثًا، وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ: أَعُوذُ بِعِزَّةِ اللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

Daripada Abu ‘Abdillah ‘Uthman bin Abi al-‘As RA, beliau mengadu kepada Rasulullah SAW  tentang kesakitan yang dirasainya pada tubuh badannya. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Letakkan tanganmu pada tempat yang sakit di tubuhmu dan katakan: ‘بِسْمِ اللَّهِ’ (Dengan nama Allah) sebanyak tiga kali. Kemudian katakan sebanyak tujuh kali: أَعُوذُ بِعِزَّةِ اللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ (Aku berlindung dengan keagungan Allah dan kekuasaan-Nya daripada kejahatan apa yang aku rasai).” (HR Muslim No: 2203) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sihat dan sakit adalah anugerah dan ketentuan daripada Allah kepada hambanya. Apabila sakit, kita diperintahkan untuk merawatnya disamping memohon doa penyembuhan sebagai sebahagian daripada ikhtiar.

2.  Apabila kita sakit, Islam mengajar agar memohon perlindungan dan kesembuhan kepada Allah sebagai satu cara untuk mendidik hati agar sentiasa bersandar kepada Allah dalam setiap keadaan.

3.  Rasulullah SAW mengajarkan cara untuk merawat diri apabila sakit dengan  meletakkan tangan di tempat yang sakit dan membaca بِسْمِ اللَّهِ sebanyak tiga kali dan diikuti dengan doa أَعُوذُ بِعِزَّةِ اللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ sebanyak 7 kali.

4.  Allah yang Maha Berkuasa menyembuhkan. Tiada ubat atau rawatan yang lebih berkesan tanpa izin-Nya.

5.  Meruqyah diri sendiri adalah sunnah yang diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat. Amalan ini boleh menjadi alternatif dan pelengkap kepada rawatan perubatan moden, dengan tetap meletakkan Allah sebagai penyembuh sebenar.


Friday, July 25, 2025

Zikir Apabila Terjaga Dari Tidur

Jumaat: 29 Muharram 1447H   |  Zikir Apabila Terjaga Dari Tidur

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ رضي الله عنه، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:   مَنْ تَعَارَّ مِنَ اللَّيْلِ فَقَالَ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الْحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، أَوْ دَعَا، اسْتُجِيبَ لَهُ، فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ

Daripada Ubadah bin al-Samit RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Barang siapa yang terjaga pada waktu malam, lalu mengucapkan:
لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الْحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
“Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu baginya, bagiNya kekuasaan, dan baginya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu, segala pujian bagi Allah dan Maha Suci Allah, dan tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada keupayaan dan kekuatan melainkan Allah.”
kemudian berkata: ‘Ya Allah, ampunilah aku’ atau berdoa, nescaya akan dikabulkan doanya. Jika dia berwuduk dan solat, nescaya akan diterima solatnya.” (HR Bukhari no: 1154) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Zikir adalah amalan yang menjadi wasilah untuk mendapatkan rahmat dan keampunan Allah.

2.  Antara zikir yang Rasulullah SAW ajar apabila terjaga daripada tidur di waktu malam:
لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الْحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Kemudian dia memohon ampun:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي
‘Ya Allah, ampunilah aku’
atau berdoa, nescaya akan dikabulkan doanya. Jika dia berwuduk dan solat, nescaya akan diterima solatnya.

3.  Imam al-Nawawi dalam al-Adzkar menyatakan bahawa zikir ketika terjaga di malam hari ini adalah amalan yang amat digalakkan.

4.  Berdoa pada waktu malam selepas terjaga daripada tidur dan diikuti dengan zikir adalah mustajab.

5.  Keampunan Allah luas terbuka, walaupun seseorang hanya membaca zikir dan memohon keampunan tanpa melakukan ibadah lain.


Thursday, July 24, 2025

Amalan Menjelang Malam

Khamis, 28 Muharram 1447H  | Amalan Menjelang Malam

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا اسْتَجْنَحَ اللَّيْلُ أَوْ قَالَ جُنْحُ اللَّيْلِ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ الْعِشَاءِ فَخَلُّوهُمْ وَأَغْلِقْ بَابَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَأَطْفِئْ مِصْبَاحَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَأَوْكِ سِقَاءَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرْ إِنَاءَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ تَعْرُضُ عَلَيْهِ شَيْئًا

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Apabla menjelang malam ketika terbenamnya matahari, maka jagalah bayi-bayi kamu kerana pada ketika itu syaitan sedang berkeliaran. Jika telah berlalu beberapa ketika daripada waktu isyak, bolehlah kamu biarkan mereka dan tutuplah pintu rumah kalian dan sebutlah nama Allah dan padamkanlah lampu-lampu rumah kamu dan sebutlah nama Allah dan tutup tempat minum serta tutup pula bekas (tempat makanan) kamu dan sebutlah nama Allah padanya, walaupun kamu hanya sekedar melintangkan sesuatu di atasnya. (HR Bukhari No: 3280) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Waktu senja merupakan waktu permulaan bagi malam. Pada waktu ini, syaitan akan keluar berkeliaran. Mereka akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggangu khususnya bayi, menggoda atau menumpang makan.

2.  Keselamatan perlu diutamakan antaranya dengan melarang kanak-kanak keluar berkeliaran atau bermain di luar rumah apabila menjelang waktu senja. Pelbagai musuh berkeliaran pada waktu tersebut seperti syaitan, jin juga pelbagai makhluk jahat yang lain.

3.  Perintah menutup dan mengunci pintu rumah di waktu malam agar rumah tidak dimasuki sebarang binatang buas dan berbisa juga penceroboh berupa pencuri, penjenayah dan sebagainya.

4.  Rasulullah memerintah penting menjaga kebersihan dengan menutup bekas minuman dan makanan berbaki agar dijauhi daripada virus, bakteria, debu, kotoran atau dimasuki sesuatu yang boleh mencemarkan minuman dan makanan tersebut seperti cicak, lipas dan sebagainya.

5.  Sunnah untuk kita menutup bekas-bekas makanan dan minuman agar tidak dihinggapi kuman dan bakteria. Amalan ini sebagai salah satu usaha untuk menjaga kesihatan daripada pelbagai penyakit.

6.  Perintah menutup pintu, tempat minuman dan makanan dengan menyebut nama Allah bertujuan memohon perlindungan kepada Allah yang menjaga dan memelihara makhluk.

Pastikan anak-anak kita telah pulang kerumah sebelum masuknya waktu maghrib dan bagi anak lelaki dapat bersama ke masjid.


Wednesday, July 23, 2025

Doa Hindari Kepercayaan Karut

Rabu, 27 Muharram 1447H  | Doa Hindari Kepercayaan Karut

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu? Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan:
اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
(Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau).” (HR Ahmad, No: 6748) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Safar adalah bulan kedua dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram. Antara maksud Safar adalah bulan yang diharamkan untuk berperang sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.

2.  Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa perkara buruk akan berlaku apabila datang bulan Safar. Bahkan mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Antara larangan lain adalah dalam urusan pernikahan, larangan untuk bermusafir pada bulan Safar dan lain-lain. Maka pandangan ini adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam.

3.  Sesiapa yang mempercayai bulan tertentu atau burung tertentu membawa keburukan sehingga menghalangnya melakukan sesuatu seperti bermusafir, bernikah dan sebagainya, maka dia telah melakukan syirik.

4.  Setiap Muslim perlu memantapkan keimanan dengan percaya kepada Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan Allah SWT serta menghilangkan tanggapan yang silap tersebut dengan bertawakal kepada Allah SWT.

5.  Selain itu, setiap kita dianjurkan agar membaca doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: (Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau)


Tuesday, July 22, 2025

Zikir Jauhi Gangguan Jin dan Syaitan

Selasa, 26 Muharram 1447H  |  Zikir Jauhi Gangguan Jin dan Syaitan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ عِفْرِيتًا مِنْ الْجِنِّ تَفَلَّتَ عَلَيَّ الْبَارِحَةَ أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلَاةَ فَأَمْكَنَنِي اللَّهُ مِنْهُ فَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تُصْبِحُوا وَتَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ فَذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ رَبِّ هَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي قَالَ رَوْحٌ فَرَدَّهُ خَاسِئًا

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW, Baginda bersabda: Sesungguhnya 'Ifrit dari golongan Jin malam tadi menggagguku untuk memutus solatku tapi Allah memberikan aku keupayaan untuk menundukkannya. Aku mahu mengikatnya di salah satu tiang daripada tiang-tiang masjid sehingga kewaktu subuh sehingga tiap orang daripada kalian akan dapat melihatnya. Namun aku teringat doa saudaraku Sulaiman AS ketika berdoa: '(Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh seseorangpun selepasku) (Surah Shaad: 35). Kemudian Baginda mengusirnya dalam keadaan hina. (HR Bukhari No: 441) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Manusia akan sentiasa diganggu oleh jin dan syaitan termasuklah ketika solat di kiri dan kanan, belakang dan hadapan dengan pelbagai gangguan dan bisikan.

2.  Jin dan Syaitan adalah makhluk Allah yang tidak mempunyai kuasa untuk memberikan manfaat juga mudarat melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasnya. Manusia tidak sewajarnya menjadikan jin dan syaitan sebagai pelindung.

3.  Jin terbahagi kepada dua golongan iaitu yang beragama Islam dan yang kufur terhadap Allah. Jin yang kufur dan Syaitan akan sentiasa berusaha menyesatkan manusia.

4.  Rasulullah SAW menyuruh kita memohon perlindungan kepada Allah daripada golongan yang menyesatkan. Antaranya, doa sebelum mendirikan solat sepertimana firman Allah:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ ٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ ٩٨

Maksudnya: Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan  dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan tidak menghampiriku (Surah al-Mukminun ayat: 97-98)


Monday, July 21, 2025

Zikir Jika Bermimpi Buruk

Isnin, 25 Muharram 1447H  |   Zikir Jika Bermimpi Buruk

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: إِذَا رَءَا أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلاَثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلاَثًا وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ

Daripada Jabir bin Abdullah, dari Rasulullah SAW sesungguhnya baginda bersabda: Jika salah seorang dari kalian bermimpi buruk yang ia tidak sukai maka hendaklah ia meludah kecil ke arah kirinya sebanyak tiga kali, memohon perlindungan kepada Allah dari gangguan syaitan sebanyak tiga kali dan mengubah posisi tidur sebelumnya. (HR Muslim No: 2262) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mimpi buruk datang daripada Syaitan untuk menimbulkan ketakutan, keresahan, kesedihan, atau gangguan emosi kepada orang yang bermimpi.

2.  Jika kita bermimpi sesuatu yang buruk atau sesuatu yang tidak disukai, Rasulullah SAW mengajar kita agar:

a.  Meludah ke kiri sebanyak tiga kali.  Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menjelaskan – meludah ke kiri sebagai meludah sedikit dengan nafas, tanpa mengeluarkan air ludah.

b.  Memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada Syaitan sebanyak tiga kali, antaranya dengan membaca ta'awudz:         أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

c.  Mengubah posisi tidur

3.  Islam menolak amalan menafsir mimpi buruk. Kita dinasihatkan agar tidak menceritakan mimpi buruk kepada orang lain, kerana ia tidak membawa manfaat malah boleh menambah keresahan.

4.  Setiap kita disarankan agar memperkuatkan kebergantungan kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan termasuk ketika tidur dengan memperbanyak zikir dan doa sebelum tidur.


Sunday, July 20, 2025

Zikir Apabila Mimpi Baik atau Buruk

Ahad, 24 Muharram 1447H  | Zikir Apabila Mimpi Baik atau Buruk

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخُدْرِيِّ رضي الله عنه أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يُحِبُّهَا فَإِنَّهَا مِنَ اللَّهِ، فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ 

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau mendengar Rasulullah bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu melihat mimpi yang disukainya, maka sesungguhnya ia adalah daripada Allah. Maka hendaklah dia memuji Allah atasnya dan menceritakannya (kepada orang lain). Tetapi apabila dia melihat mimpi yang tidak disukainya, maka itu adalah daripada syaitan. Maka hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah daripada keburukan dan jangan menceritakannya kepada sesiapa pun, sesungguhnya ia  tidak akan kemudaratannya. (HR Bukhari No: 7045) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mimpi yang baik dan membawa kebahagiaan adalah mimpi yang datang daripada Allah. Menurut ulama, apabila seseorang bermimpi sesuatu yang baik atau menyenangkan, seperti mendapat kemenangan, kesejahteraan, atau kedamaian, itu dianggap sebagai petunjuk positif daripada Allah. Rasulullah SAW menegaskan supaya kita memuji Allah الْحَمْدُ لِلَّهِ dan berkongsi mimpi itu dengan orang lain, kerana itu adalah nikmat yang patut disyukuri.

2.  Mimpi yang buruk datang dari syaitan, dan kita tidak boleh menganggapnya sebagai sesuatu yang akan terjadi kepada kita.

3.  Al-Qurtubi menjelaskan bahawa mimpi buruk ini datang sebagai gangguan daripada syaitan, bertujuan untuk menakut-nakutkan dan menimbulkan keresahan. Oleh itu, kita dianjurkan untuk tidak menceritakan mimpi buruk tersebut kepada orang lain, kerana ia tidak akan memberi manfaat dan hanya boleh menimbulkan ketakutan atau kebimbangan

4.  Apabila seseorang bermimpi buruk, Rasulullah SAW mengajarkan kita untuk memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan mimpi tersebut dengan mengucapkan doa perlindungan, seperti أعوذ بالله من الشيطان الرجيم "A’udzu billahi min ash-shaytani r-rajim" (Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terkutuk).

5.  Hadis ini mengajarkan kepada kita bagaimana sikap kita terhadap mimpi. Mimpi baik adalah anugerah daripada Allah yang patut disyukuri dan boleh berkongsi dengan orang lain, sementara mimpi buruk adalah godaan daripada syaitan yang perlu dihadapi dengan memohon perlindungan kepada Allah dan tidak menceritakannya kepada orang lain.


Saturday, July 19, 2025

Doa Mohon Cahaya Petunjuk

Sabtu, 23 Muharram 1447H  |  Doa Mohon Cahaya Petunjuk

عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: " بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ بِنْتِ الْحَارِثِ، فَصَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِشَاءَ، ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهَا، وَكَانَتْ لَيْلَتَهَا، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ انْفَتَلَ، فَقَالَ: أَنَامَ الْغُلَامُ؟  وَأَنَا أَسْمَعُهُ، قَالَ: فَسَمِعْتُهُ قَالَ فِي مُصَلَّاهُ: اللهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا، وَفِي سَمْعِي نُورًا، وَفِي بَصَرِي نُورًا، وَفِي لِسَانِي نُورًا، وَأَعْظِمْ لِي نُورًا

Daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata: Aku bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah binti al-Harith. Rasulullah SAW telah menunaikan solat Isyak, kemudian baginda pulang ke rumahnya. Malam itu adalah giliran Maimunah. Baginda solat dua rakaat, lalu baginda berdoa dengan suara yang aku dengar di tempat solatnya:

‘اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي سَمْعِي نُورًا وَفِي بَصَرِي نُورًا وَفِي لِسَانِي نُورًا وَأَعْظِمْ لِي نُورًا’

(Ya Allah, jadikanlah dalam hatiku cahaya, dan dalam pendengaranku cahaya, dan dalam penglihatanku cahaya, dan dalam lisanku cahaya, dan berikanlah kepadaku cahaya yang besar).” (Musnad Imam Ahmad (5/329). Isnad Sahih

Pengajaran:

1.  Doa untuk mendapatkan cahaya petunjuk adalah penting dipohon oleh setiap Muslim.

2.  Solat malam adalah waktu yang baik untuk berdoa kerana selepas solat adalah waktu yang penuh berkah, dan berdoa selepas solat adalah sunat yang sangat dianjurkan.

3.  Antara doa yang dibaca oleh Nabi SAW semasa solat malam, memohon kepada Allah agar hidup sentiasa diterangi oleh cahaya petunjuk-Nya dalam setiap aspek kehidupan meliputi hati, pendengaran, penglihatan, dan perkataan bagi memastikan kita sentiasa berada di jalan yang benar.

a)  “اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا” – "Ya Allah, jadikanlah dalam hatiku cahaya"
Memohon cahaya petunjuk dan ketenangan dalam hati, agar hati diterangi dengan iman dan ilmu serta terhindar dari kekeliruan dan keraguan.

b)  “وَفِي سَمْعِي نُورًا” – "Dan dalam pendengaranku cahaya"
Memohon agar Allah memberikan pendengaran yang dapat menyaring kebenaran dan menghindarkan dari mendengar hal-hal yang buruk atau sia-sia.

c)  “وَفِي بَصَرِي نُورًا” – "Dan dalam penglihatanku cahaya"
Memohon agar mata diberi petunjuk untuk melihat yang benar dan menghindari pandangan yang membawa kepada dosa.

d)  “وَفِي لِسَانِي نُورًا” – "Dan dalam lidahku cahaya"
Memohon agar lidah digunakan untuk berkata yang baik, bermanfaat, dan penuh dengan kebaikan serta tidak mengucapkan kata-kata yang buruk.

e)  “وَأَعْظِمْ لِي نُورًا” – "Dan berikanlah kepadaku cahaya yang besar"
Memohon agar cahaya yang diberikan oleh Allah menjadi sebuah pemandu yang besar dalam hidup, yang memberikan kekuatan dan petunjuk dalam setiap aspek kehidupan.

4.  Doa ini mengingatkan kita bahawa hanya dengan cahaya dari Allah kita dapat terus berada dalam petunjuk-Nya. Tanpa cahaya-Nya, kita mudah tersesat dalam kegelapan dunia dan nafsu.


Friday, July 18, 2025

Doa Kesejahteraan Dibaca Pagi dan Petang

Jumaat, 22 Muharram 1447H  | Doa Kesejahteraan Dibaca Pagi dan Petang

حَدَّثَنِي جُبَيْرُ بْنُ أَبِي سُلَيْمَانَ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ قَالَ‏:‏ سَمِعْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقُولُ‏:‏ لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَدَعُ هَؤُلاَءِ الْكَلِمَاتِ إِذَا أَصْبَحَ وَإِذَا أَمْسَى‏:‏ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ‏.‏ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي‏.‏ اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي‏.‏ اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Diriwayatkan oleh Jubair bin Abi Sulaiman bin Jubair bin Mut’im, beliau berkata: Aku mendengar Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini setiap kali baginda berada pada waktu pagi dan petang: ‘Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan dan kesejahteraan dalam agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutuplah keaibanku dan tenangkanlah rasa takutku. Ya Allah, lindungilah aku dari hadapan, dari belakang, dari kanan, dari kiri dan dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada diserang secara tiba-tiba dari bawahku.’ (HR Abu Daud No: 5074) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Doa sebagai benteng harian. Dalam hadis ini Rasulullah SAW mengajar kita doa untuk dibaca pada waktu pagi dan petang.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ‏.‏ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي‏.‏ اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي‏.‏ اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

2.  Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menyebut bahawa “العافية” (kesejahteraan) adalah antara nikmat terbesar yang diminta oleh Rasulullah SAW. Ianya merangkumi kesejahteraan akidah, jasmani, harta, dan keluarga. Oleh itu, Nabi SAW menjadikan doa ini sebahagian daripada rutin hariannya.

3.  Kita diajar memohon perlindungan menyeluruh kepada Allah dari segala arah merangkumi daripada depan, belakang, kanan, kiri, atas, dan bawah menunjukkan kepada kita  potensi bahaya dari segala arah, zahir dan batin, termasuk gangguan manusia, jin, dan musibah tidak dijangka.

4.  Selain kesejahteraan, Rasulullah SAW juga memohon keampunan daripada dosa, kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Hal ini mengajarkan bahawa keselamatan rohani lebih penting daripada keselamatan jasmani sahaja.

5.  Hadis ini memperlihatkan betapa pentingnya doa dalam kehidupan seorang Muslim, dan bagaimana Rasulullah SAW sendiri menjadikannya rutin harian. Ia merupakan model doa yang sangat komprehensif, merangkumi permohonan keselamatan fizikal, mental, dan spiritual. Seorang Muslim disarankan mengamalkan doa ini setiap pagi dan petang agar mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT dalam segenap aspek kehidupannya.


Thursday, July 17, 2025

Adab Jika Terlupa Ayat Al-Quran Yang Dihafaz

Khamis, 21 Muharram 1447H  | Adab Jika Terlupa Ayat Al-Quran Yang Dihafaz

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بِئْسَ مَا لِأَحَدِهِمْ أَنْ يَقُولَ: نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ، بَلْ نُسِّيَ، وَاسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ؛ فَإِنَّهُ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ

Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Seburuk-buruknya keadaan seseorang ialah apabila dia berkata: 'Aku telah lupa ayat sekian dan sekian.' Sebenarnya, dia telah dilupakan (oleh Allah akibat kelalaiannya). Maka ingatlah semula (ulanglah) al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran itu lebih cepat hilang dari dada manusia berbanding unta yang terlepas dari tambatannya. (HR Muslim No: 790) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Melupakan ayat al-Quran yang dihafaz adalah perkara yang tercela. Bahkan bukan perkara kecil, tetapi perkara buruk yang mencerminkan sikap lalai terhadap kitab Allah.

2.  Larangan mengatakan: "Aku Telah Lupa Ayat Ini" kerana ia menunjukkan sikap kita yang lalai dan tidak menjaga hafazan al-Quran.

3.  Jika kita lupa katakanlah: “Aku telah dilupakan”. Bermaksud Allah telah mencabut ingatan terhadap ayat tersebut sebagai hukuman atas kelalaian penjagaan kita.

4.  Rasulullah SAW menggunakan perumpamaan: al-Quran itu lebih cepat terlepas daripada dada manusia berbanding unta, haiwan yang terkenal dengan kesukarannya untuk ditangkap kembali apabila lepas dari ikatan. Hal sedemikian menunjukkan bahawa tanpa pengulangan, hafalan al-Quran akan hilang dengan cepat dan sukar untuk diingati semula.

5.  Manusia memang sifatnya pelupa, tetapi Islam mendidik kita agar mendisiplinkan diri melalui amalan membaca dan mengulang bacaan al-Quran (murajaah) berterusan.

6.  Hadis ini memperingatkan kita agar tidak mengambil ringan hafazan ayat al-Quran dan memberi isyarat bahawa melupakan ayat al-Quran kerana kelalaian adalah satu kecuaian yang besar. Maka, orang yang telah belajar atau menghafaz al-Quran mestilah menjadikannya rutin harian untuk membaca dan mengulang.


Wednesday, July 16, 2025

Memelihara Al-Quran

Rabu, 20 Muharram 1447H  | Memelihara Al-Quran

عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَعَاهَدُوا الْقُرْآنَ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنَ الْإِبِلِ فِي عُقُلِهَا

Daripada Abu Musa al-Ash‘ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Peliharalah al-Quran (dengan sentiasa membacanya dan mengulanginya) secara berterusan. Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya al-Quran itu lebih mudah hilang (daripada dada) berbanding unta yang terlepas dari ikatannya. (HR Muslim No: 791) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menurut Imam al-Nawawi, seseorang hendaklah memelihara al-Quran dengan sentiasa mengulangi, menghafaz dan membaca al-Quran secara berkala, supaya hafazannya tidak hilang atau lupa sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa.

2.  Rasulullah SAW mengumpamakan al-Quran seperti unta yang diikat, dan bila tidak dijaga, ia mudah terlepas dan sukar ditangkap semula.

3.  Menjaga hafazan al-Quran adalah dituntut bagi penghafaz (huffaz) supaya tidak melupakan apa yang telah dihafaz dengan sentiasa mengulang bacaan secara berkala.

4.  Al-Quran adalah amanah yang perlu dipelihara melalui pembacaan, pemahaman dan diamalkan isi kandungannya bukan sekadar mengingatinya di bibir.

5.  Al-Quran adalah cahaya dan panduan hidup. Hanya dengan menjaga dan mendekatinya sentiasa, kita tidak akan sesat dalam gelap kehidupan.

6.  Hadis ini merupakan peringatan serius daripada Nabi SAW supaya kita tidak melupakan al-Quran yang telah dipelajari, baik secara hafazan mahupun bacaan. Memelihara al-Quran menekankan disiplin, konsistensi, dan kesungguhan dalam menjaga hubungan dengan al-Quran.


Tuesday, July 15, 2025

Bacaan Surah Al-Ikhlas Menyamai Sepertiga Al-Quran

Selasa, 19 Muharram 1447H  |  Bacaan Surah Al-Ikhlas Menyamai Sepertiga Al-Quran

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ الْقُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ وَقَالُوا أَيُّنَا يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الصَّمَدُ ثُلُثُ الْقُرْآنِ

Daripada Abu Sa'id Al Khudri RA, ia berkata; Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya: Apakah salah seorang dari kalian tidak mampu bila ia membaca sepertiga dari Al-Quran pada setiap malamnya?" dan ternyata para sahabat merasa kesulitan seraya berkata, "Siapakah di antara kami yang mampu melakukan hal itu wahai Rasulullah?" maka baginda pun bersabda: "ALLAHUL WAAHID ASH SHAMAD (maksudnya surat al-ikhlas) nilainya adalah sepertiga Al-Quran. (HR Bukhari No: 4628) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Membaca al-Quran adalah dituntut kepada setiap Mukmin.

2.  Membaca surah al-Ikhlas sekali nilainya menyamai sepertiga al-Quran.

3.  Mengikut Ibnu Hajar, “Nilai sepertiga al-Quran” bermaksud  surah al-Ikhlas nilainya sama dengan sepertiga apabila dilihat dari kandungan makna al-Quran. Kerana isi Quran terdiri daripada perkara yang berkaitan hukum, kisah, dan akidah. Surah al-Ikhlas mencakup pembahasan akidah, sehingga dinilai sepertiga berdasarkan tinjauan ini  (Fathul Bari, 9/61).

4.  Membaca surat al-Ikhlas mendapat nilai seperti membaca 1/3 al-Quran maknanya adalah senilai dalam pahala (al-Jaza’). Bukan senilai dalam amal (al-Ijza’). Jika seseorang membaca surah al-Ikhlas, dia mendapat pahala senilai pahala sepertiga al-Quran. Namun bukan bererti pahala yang diperolehi sepadan dengan bentuk pahala untuk ayat-ayat Quran yang lainnya. Bahkan boleh jadi dia memerlukan bentuk pahala dari memahami perintah, larangan, dan kisah al-Quran dimana surah al-Ikhlas tidak boleh menggantikan semua itu. (Majmu’ al-Fatawa, 17/138).

Usahakanlah membaca al-Quran paling kurang surah al-Ikhlas sebelum tidur.


Monday, July 14, 2025

Kelebihan Membaca Al-Quran Di Malam Hari

Isnin, 18 Muharram 1447H  |  Kelebihan Membaca Al-Quran Di Malam Hari

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن قَامَ بِعَشْرِ آيَاتٍ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِينَ، وَمَن قَامَ بِمِائَةِ آيَةٍ كُتِبَ مِنَ الْقَانِتِينَ، وَمَن قَرَأَ بِأَلْفِ آيَةٍ كُتِبَ مِنَ الْمُقْنِطِرِينَ

Daripada Abdullah bin Amru RA Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mendirikan malam dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lalai. Sesiapa yang mendirikan malam dengan seratus ayat, dia akan ditulis sebagai orang yang taat (al-qanitin). Dan sesiapa yang membaca seribu ayat, dia akan ditulis sebagai golongan yang memperoleh pahala yang banyak (al-muqanthirin). (HR Abu Daud No: 1398) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim digalakkan bangun malam untuk solat dan membaca al-Quran, kerana waktu malam adalah saat yang paling tenang untuk mendekatkan diri kepada Allah.

2.  Tiga tahap ganjaran orang yang qiam di malam hari dan membaca al-Quran:

a.  10 ayat: Tidak tergolong dalam orang yang lalai.
b.  100 ayat: Dikenal sebagai qanitin (orang yang taat dan tunduk).
c.  1000 ayat: Dicatat sebagai muqanthirin, iaitu yang diberi pahala seperti gunung.

3.  Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jami' al-‘Ulum wa al-Hikam menyatakan bahawa hadis ini bukan hanya tentang bilangan ayat al Quran yang dibaca, tetapi tanda kecintaan kepada al-Quran. Sesiapa yang menjadikan bacaan al-Quran sebahagian daripada malamnya, maka dia akan terselamat daripada sifat lalai yang disebut dalam al-Quran sebagai sifat orang munafik dan zalim.

4.  Membaca al-Quran dalam solat malam adalah jalan untuk mengelakkan kelalaian, memperoleh ketaatan, dan meraih pahala yang sangat besar.

5.  Jadikanlah amalan membaca al-Quran di malam hari walaupun sedikit sebagai rutin hidup  kerana di situlah letaknya rahmat, cahaya hati, dan kemuliaan seorang Muslim.