Rabu, 26 Syawal 1444H: Guru Pemangkin Generasi Madani
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى
هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا
يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ
كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ
ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah RA
bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada
kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh
orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun.
Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan
mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya
tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun."
(HR Muslim No: 4831) Status:
Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Sesiapa sahaja yang berperanan mengajak, menasihat serta membimbing kepada kebaikan, mereka adalah seorang guru.
2.
Guru yang ingin mendapat ganjaran pahala berterusan akan sentiasa
melengkapkan dirinya dengan ilmu yang benar sejajar dengan prinsip
pembelajaran sepanjang hayat.
3. Seorang guru akan sentiasa
berusaha gigih dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu kepada orang
lain tanpa mengira penat lelah bagi melahirkan generasi baharu yang
berilmu dan memberi impak kepada kehidupan masyarakat dan negara.
4.
Guru yang menyampaikan, mendidik dan mengajar sesuatu ilmu yang benar,
dia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang beramal
dengan apa yang telah diajarkannya itu.
5. Semakin ramai
bilangan pelajar yang dibimbing dan diajar melakukan perkara yang baik
dan bermanfaat, semakin banyak pahala yang diperolehi secara berterusan.
6.
Orang yang mengajar, membimbing dan menunjukkan yang buruk dan jahat,
dia akan memperolehi ganjaran dosa sebanyak orang yang mengikuti dan
beramal dengannya.
No comments:
Post a Comment