Selasa, 10 Zulkaedah 1444H: Muslim Yang Menyelamatkan
عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ
مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Daripada Abu
Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?"
Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan
dan tangannya".
(Sahih Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.
2.
Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang
Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan
lain-lain adalah dituntut.
3. Memelihara tangan dari melakukan
perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah
termasuk menulis, memforward sesuatu yang berbentuk fitnah, menghina,
mengadu domba dan lain-lain adalah dilarang.
4. Mudahnya orang
pada hari ini melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk
tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat,
memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti
TikTok, FB, WhatsApp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa
apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawab
dihadapan Allah. Firman Allah:
إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسُۡٔولٗا
“Sesungguhnya
pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap
akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang
dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)
5. Imam
al-Khaththabi rahimahullâh berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum
muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak
Allah dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum
muslimin dengan baik pula.
6. Muslim yang paling utama ialah yang lisan dan tangannya menyelamatkan dirinya dan Muslim yang lain.
No comments:
Post a Comment