Rabu, 11hb Zulkaedah 1444H: Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut
عَنْ
عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم حَسْبُكَ مِنْ
صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِي قَصِيرَةً .
فَقَالَ " لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ
لَمَزَجَتْهُ " . قَالَتْ وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا فَقَالَ " مَا
أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا "
Daripada
‘Aisyah RA dia berkata : Aku berkata kepada Nabi SAW : Cukuplah bagimu
dari keburukan Safiyah seperti ini. Berkata sebahagian perawi : Dia
(‘Aisyah) mengisyaratkan bahawa Safiyah itu rendah. Baginda bersabda:
“Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika
dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah
(rosaklah dan bertukarlah) ia.” ‘Aisyah berkata : Aku menceritakan
kepada baginda mengenai seseorang, baginda berkata : “Tidaklah aku suka
bercerita mengenai seseorang walaupun aku diberi itu dan ini (dari
benda-benda keduniaan).”
(Sunan Abu Daud No: 4875) Status: Hadis Sahih.
Pengajaran:
1.
Mengikut Imam Ghazali, mengumpat itu ialah engkau menyebut sesuatu
mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai
perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya,
keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau
dunianya termasuk pakaiannya, rumahnya atau haiwannya’. (Al-Ghazali,
Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)
2.
Mengumpat boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran
dan lain-lain, walau sekecil mana pun perkara itu, ia dikira mengumpat.
3.
Cukuplah hadis ini menerangkan betapa buruknya mengumpat. Hanya dengan
satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas ‘Aisyah RA hanya
mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah RA itu rendah (pendek), maka ia
cukup untuk mengotorkan air laut seluruhnya.
4. Berkata
al-Nawawi: Makna ‘tercampurlah ia’ dalam hadis di atas ialah air itu
bercampur dengan kalimah itu sehingga bertukar rasanya atau baunya
disebabkan buruknya perkataan mengumpat itu.
5. Ramai pengguna
laman sosial hari ini sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja
menulis seakan gembira mempersenda mana-mana tokoh figura yang tidak
digemari tanpa disedari perilaku tersebut sebahagian dari cemuhan dan
umpatan yang ditegah agama. Sama ada melalui pelbagai posting juga
gambar yang dimuat naik serta yang di tularkan.
6. Moga kelak kita di akhirat, tidak termasuk dari kalangan orang-orang yang berkata:
يَٰحَسۡرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِي جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّخِرِينَ ٥٦
“Sungguh
besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipanku
terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh
memperolok-olokkan” [al-Zumar: 56].
No comments:
Post a Comment