Ahad, 20 Ramadhan 1445H | Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari No: 1922) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan beribadat kepada Allah
2. Mengikut Imam Syafie, iktikaf boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat. Imam Maliki mensyaratkan iktikaf sekurang-kurangnya sehari semalam dan yang paling baik ialah tidak kurang daripada 10 hari
3. Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.
4. Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan: “Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan iktikaf?. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan iktikaf sehinggalah baginda wafat”.
5. Amalan beriktikaf adalah sebahagian daripada cara mengimarahkan masjid. Pengimarah masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (At-Taubat: 18),.
6. Ayuh kita berazam untuk bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ini dengan pelbagai amal soleh. Antaranya dengan memastikan amalan iktikaf di masjid, datang awal untuk solat fardhu di masjid, menjaga solat fardhu maghrib, isya dan subuh berjemaah di masjid, Bersama imam solat terawikh dan witir sehingga selesai, perbanyakkan bersedekah, membaca al-Quran, berzikir, berdoa memohon keampunan dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment