Ahad, 13 Ramadhan 1445H | Paling Baik, Berani dan Dermawan
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ وَأَشْجَعَ النَّاسِ وَأَجْوَدَ النَّاسِ
Daripada Anas RA berkata; Nabi SAW adalah orang yang paling baik, paling berani dan paling dermawan. (HR Bukhari No: 2813) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW adalah manusia yang paling baik, paling berani dan paling dermawan.
2. Mencontohi sifat Rasulullah SAW sebagai orang yang paling dermawan khususnya di bulan Ramadan.
عَنْ أَنَسٍ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ قِيلَ فَأَيُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ
Daripada Anas RA, Nabi SAW ditanya tentang puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan. Baginda menjawab: "puasa di bulan Syaban untuk memuliakan Ramadan, " Baginda ditanya lagi, lalu sedekah apakah yang paling utama? Baginda menjawab: "Sedekah di bulan Ramadan." Sunan Tirmizi No 663 Dar Kutub Ilmiyyah. Status Hadis: Daif
3. Amalan bersedekah sebagai satu daripada cara untuk menjauhkan daripada api neraka. Rasulullah SAW bersabda
عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ قَالَ ذَكَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّارَ فَتَعَوَّذَ مِنْهَا وَأَشَاحَ بِوَجْهِهِ … قَالَ اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَ
Daripada Adi bin Hatim dia berkata; "Nabi SAW menyebutkan tentang neraka, lalu baginda meminta berlindungan darinya sambil mengusap wajahnya, baginda bersabda …. "Takutlah kalian kepada neraka walau dengan setengah biji kurma, jika tiada, hendaknya dengan perkataan yang baik." (HR Bukhari No: 5677) Status: Hadis Sahih
4. Sifat suka bersedekah adalah pengikat dan penghubung kasih sayang kita dengan orang lain
5. Allah akan menggantikan apa yang disedekahkan dengan keberkahan harta di dunia dan pahala yang besar di akhirat. Firman Allah:
وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
“Dan apa saja yang kamu sedekahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dia-lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya” (Sabaa’:39).
6. Sedekah akan menjadi penghindar daripada api neraka walaupun sebiji buah kurma.
Renunglah kisah ini:
Daripada Aisyah RA bahawa keluarga Rasulullah SAW pernah menyembelih seekor kambing, kemudian disedekahkan kepada orang-orang miskin, lalu Rasulullah bertanya: “Apa yang tertinggal daripada (daging) kambing tersebut?”. ‘Aisyah menjawab: “Tidak ada yang tertinggal darinya kecuali (bahagian) bahu (dari) kambing tersebut”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Itu bererti semua daging kambing tersebut tertinggal tetap dan kekal pahalanya kecuali bahagian bahunya”
Tingkatkan sedekah, derma, wakaf kerana itulah yang kekal dan menetap pahala kebaikannya untuk kita, meskipun secara mata kasarnya harta tersebut berkurang.
No comments:
Post a Comment