Rabu, 5 Zulhijjah 1455H | Empat Bulan Haram
عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang juga sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.
2. Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan pada bulan bulan ini juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)
3. Ambillah kesempatan ketika berada di salah satu bulan haram yang mulia ini iaitu bulan Zulhijjah khususnya di awal 10 haribulan serta hari tasyrik 11, 12 dan 13 untuk melakukan pelbagai amal soleh. Antara amal soleh yang boleh dilakukan:
a) Perbanyakkan zikir, membaca al-Quran, berdoa dan memohon keampunan
b) Puasa sunat sekurang-kurangnya pada 9hb Zulhijjah
c) Hidupkan malam hari dengan ibadat qiamullail
d) Perbanyakkan bersedekah dan melakukan amal kebajikan yang lain
e) Berusahalah melaksanakan ibadat kurban
f) Berusahalah meninggalkan maksiat dan perkara yang tidak berfaedah
No comments:
Post a Comment