Khamis, 28 Zulkaedah 1445H | Peserta Korban Dilarang Memotong Kuku dan Rambut
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ
Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)." (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh) menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.
2.Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139)
3.Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).
Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)
4.Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.
5. Antara hikmah yang disebut oleh Imam Nawawi Rahimahullah dalam Syarah-nya ialah larangan memotong kuku dan menggunting rambut bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.
Jom amalkan sunnah dengan tidak memotong kuku dan rambut bermula 1hb Zulhijjah (dijangka pada 8hb Jun) bagi peserta korban sehingga ibadat korban dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment