Tuesday, June 18, 2024

Mengingati Neraka

 Selasa, 11 Zulhijjah 1445H | Mengingati Neraka

عن النعمان بن بشير  رضي الله عنهما  قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم  يقول
أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ" فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى لَوْ كَانَ فِي مَقَامِي هَذَا سَمِعَهُ أَهْلُ السُّوقِ وَحَتَّى سَقَطَتْ خَمِيصَةٌ كَانَتْ عَلَيْهِ عِنْدَ رِجْلَيْهِ

Daripada Nu’man bin Basyir RA katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkhutbah dengan berkata: “Aku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka, Aku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka.” Sentiasalah baginda mengulanginya sehingga seandainya baginda berada di kedudukan aku ini, orang-orang yang berada di (hujung) pasar akan mendengarnya. (baginda mengulangi ungkapan tersebut) sehingga kain baginda yang berada di atas bahu terjatuh ke kaki baginda tanpa disedari.” (HR Tirmizi No: 5687) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Neraka adalah suatu tempat yang menggerunkan. Kawasannya bersangatan dalam. Azab yang disediakan di dalamnya berbentuk kepanasan yang melampau dan membakar. Cemeti-cemetinya diperbuat daripada besi.

2.  Nabi SAW sering memberikan peringatan tentang neraka. Bersungguhnya baginda dalam memberi peringatan itu sehingga baginda meninggikan suara dan mengulang beberapa kali.

3. Kita diperintahkan untuk sentiasa mengingati hari pembalasan. Seperti pesan saidina Umar:

أَكْثِرُوا ذِكْرَ النَّارِ فَإِنَّ حَرَّهَا شَدِيدٌ وَإِنَّ قَعْرَهَا بَعِيدٌ وَإِنَّ مَقَامِعَهَا حَدِيدٌ

“Perbanyakkanlah mengingati neraka. Sesungguhnya kepanasannya bersangatan, lantainya amat dalam dan cemeti-cemetinya adalah besi.”

4.  Dalam berdakwah, hendaklah digabungkan unsur-unsur memberi khabar gembira tentang syurga dan khabar ancaman dengan neraka. Agar ada dorongan melakukan kebaikan kerana mengharapkan syurga dan berusaha menjauhi dosa kerana gerunkan azab neraka.


No comments: