Jumaat, 29 Zulkaedah 1445H | Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah
عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1.Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah). Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر
“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.
Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)
Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut).
2.Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)
3.Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).
4.Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari (1 - 9), puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir – tahlil, takbir dan tahmid, tilawah al-Quran, doa, bersedekah, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban, berdakwah serta pelbagai amal soleh yang lain.
5.Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat Isnin atau Khamis atau paling tidak 9hb (puasa sunat hari Arafah) di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir.
No comments:
Post a Comment