Selada, 18 Zulhijjah 1445H | Penyebab Ramai Dihumban Ke Neraka
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ الْأَجْوَفَانِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْأَجْوَفَانِ قَالَ الْفَرْجُ وَالْفَمُ قَالَ أَتَدْرُونَ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ
Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya kebanyakkan penyebab manusia masuk neraka adalah disebabkan dua lubang. Para sahabat bertanya; "Wahai Rasulullah, apakah dua lubang itu?" maka baginda bersabda: "Kemaluan dan mulut. Baginda bersabda: Tahukah kalian apa penyebab kebanyakan orang masuk syurga? Jawab baginda: taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik." (HR Ahmad No: 9319) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Seseorang akan ditempatkan kedalam neraka ataupun syurga bergantung pada amalan semasa di dunia.
2. Kebanyakan penghuni neraka adalah berpunca daripada dosa mulut dan kemaluan:
a. Dosa kemaluan seperti berzina, liwat, homoseks, lesbian, gay tidak menjaga auratnya selain mahram dan sebagainya.
b. Dosa mulut atau lidah seperti makan dan minum dari sumber yang haram, mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengumpat, memfitnah, menghina, merendah-rendahkan orang lain, mengadu domba dan lain-lain termasuk yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan di media sosial.
3. Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa mulut yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Memperkatakan serta forward sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti FB, WhatsApp, telegram, tanpa terdetik dihatinya bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis dan diviral akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah.
4. Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]
5. Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga disebabkan rahmat Allah atas amalan soleh yang dilakukan.
6. Kebanyakan penyebab seseorang masuk syurga nanti adalah berpunca dari sifat taqwanya serta akhlak terpuji yang dimiliki.
Peliharalah kemaluan dan mulut dari sesuatu yang berdosa yang menjadi penyebab dihumbankan ke neraka. Marilah kita suburkan sifat taqwa dan akhlak mulia dalam diri masing-masing agar dengan rahmat Allah ia menjadi penyebab kita memasuki syurga.
No comments:
Post a Comment