Khamis, 29 Zulhijjah 1446H | Hijrah Untuk Kesejahteraan
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari (gangguan) lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir (penghijrah) adalah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa selamat dari gangguan lidah seperti umpatan, fitnah, menyebarkan berita palsu, adu domba dan gangguan perbuatan atau tangannya seperti memukul, mencuri, melanggar dan sebagainya).
2. Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.
3. Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain. Muhajir atau seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.
4. Hijrah dengan meninggalkan segala bentuk larangan Allah, meninggalkan sifat mazmumah seperti hasad, takabur, riak adalah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.
5. Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan. Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.
6. Hadis ini mengajar kita bahawa seorang Muslim yang sebenar ialah yang menjaga akhlak terhadap sesama manusia dan berusaha menjauhi segala bentuk dosa. Ia menekankan pentingnya menjadi insan yang membawa keamanan dan kebaikan dalam masyarakat serta berhijrah sikap dan amal dengan meninggalkan larangan Allah.
7. Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari maksiat kepada ketaatan, dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah.
Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1447
Membangun Ummah Madani
No comments:
Post a Comment