Friday, June 27, 2025

Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan

Jumaat, 1 Muharram 1447H   |  Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ، وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ، صَلَاةُ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Puasa yang paling afdhal (paling baik) selepas puasa bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah  iaitu bulan Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud). (HR Abu Daud No: 2429) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat.

2.  Sebaik-baik puasa setelah puasa wajib di bulan Ramadan adalah puasa sunat di bulan Muharam.

3.  Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda SAW:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah. (HR Tirmizi No: 741)

4.  Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.

5.  Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 Muharam (Tasuua’a) dan ke-10 Muharam (Asyura’).

6.  Solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat sunat di malam hari seperti solat Tahajud, Witir dan lain-lain.

7.  Hadis ini mengajarkan kita bahawa amalan sunat yang dilakukan dengan ikhlas dan berterusan selepas amalan fardhu merupakan jalan mendekatkan diri kepada Allah. Ia menggalakkan kesungguhan ibadah puasa walaupun di luar bulan Ramadhan, serta menjadikan waktu malam sebagai peluang besar untuk meningkatkan pahala.

8.  Marilah kita perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini, antaranya puasa sunat Isnin, Khamis, puasa sunat hari puteh (13, 14 dan 15 hb) juga puasa Sunat Tasuua’a dan Asyura pada 9 dan 10 hb Muharam.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1447
Membangun Ummah Madani


No comments: