Jumaat, 14 Jamadil Akhir 1447H | Musibah Menghapus Dosa
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus sebahagian daripada dosa-dosanya (melalui ujian itu)." (HR Bukhari No: 5641) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap kesusahan yang dihadapi oleh seseorang adalah kifarah untuk menjadi sebab Allah menghapuskan dosa-dosanya.
2. Setiap muslim perlu sentiasa bersabar dan reda apabila ditimpa dengan pelbagai musibah seperti penyakit, keletihan, kesedihan, mahupun kesusahan.
3. Ujian kesusahan tanda kasih sayang Allah kepada hambanya. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa ujian diberikan:
untuk mengangkat darjat,
untuk menghapuskan dosa,
untuk mendidik hati supaya lebih dekat dengan Allah.
4. Musibah banjir contohnya menyebabkan orang yang terlibat mengalami kesusahan dan kepayahan. Ada yang kehilangan nyawa, kemusnahan harta juga kerosakan harta benda terkena air banjir seperti kenderaan yang ditenggelami air juga rumah yang rosak.
5. Hadis ini menimbulkan rasa disayangi oleh Allah. Bila seseorang diuji, itu tanda:
Allah tidak membiarkan kita sendirian,
Allah sedang membersihkan jalan menuju syurga,
Allah memberi peluang untuk kembali lebih dekat kepada-Nya.
6. Rahmat Allah SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya. Usahlah kita menyalahkan antara satu sama lain diatas musibah yang melanda.
7. Semoga dosa kita terampun walaupun kesakitan dan kesulitan yang kita lalui mungkin kecil berbanding dengan orang lain. Mungkin ibarat duri yang mencucuk atau melukakan anggota tubuh.
8. Marilah kita menyerahkan segala musibah kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat: Nabi SAW bersabda:
يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ
Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah: ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’ (Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga. (HR Bukhari no. 7386)
Semoga mereka yang diuji dengan pelbagai kesusahan dan kepayahan, dapat menerima dengan sabar dan reda. Moga Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment