Monday, December 22, 2025

Kebahagiaan Sebenar

Isnin, 1 Rajab 1447H  |   Kebahagiaan Sebenar

عن عبدالله بن عمرو  قالَ, قالَ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: قَدْ أَفْلَحَ مَن أَسْلَمَ، وَرُزِقَ كَفَافًا، وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بما آتَاهُ

Daripada Abdullah bin Amru RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya telah berjaya orang yang memeluk Islam, diberi rezeki yang mencukupi, dan Allah menjadikannya merasa cukup dengan apa yang telah diberikan kepadanya." (HR Muslim No: 1054) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Imam al-Nawawi dalam syarah Sahih Muslim menjelaskan bahawa keberuntungan dan kejayaan sebenar adalah apabila seseorang berada dalam agama Islam yang benar.

2.  Islam memberikan panduan lengkap kepada kehidupan dunia dan keselamatan di akhirat. Kejayaan seseorang bukan diukur dengan harta atau pangkat, tetapi dengan keimanan dan ketaatan kepada Allah.

3.  Memiliki rezeki yang mencukupi lebih membawa kepada ketenangan jiwa, berbanding rezeki yang melimpah tetapi mengundang tamak dan kelalaian.

4.  Qana'ah adalah sifat redha dan berpuas hati dengan ketentuan rezeki daripada Allah, tidak tamak atau iri hati dengan rezeki orang lain serta merasakan cukup dengan apa yang ada sambil tetap berusaha.

5.  Sifat qana‘ah adalah kunci kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Qana’ah menjadikan seseorang bersyukur dan tidak tamak. Malah dia tidak gelisah mengejar dunia, tidak hasad kepada orang lain, dan hidupnya tenteram.

6.  Hadis ini memberikan gambaran tentang kebahagiaan dan kejayaan sebenar menurut Islam:

a.  Beriman dan beramal soleh (Islam)
b.  Rezeki yang mencukupi (kafāf)
c.  Hati yang redha dan bersyukur (qana‘ah)


No comments: