Wednesday, December 17, 2025

Tempoh Berkabung Wanita Kerana Kematian

Rabu,  26 Jamadil Akhir 1447H  |  Tempoh Berkabung Wanita Kerana Kematian

عن أُمُّ حَبِيبَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا سَمِعْتُ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يقولُ: لا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ باللَّهِ واليَومِ الآخِرِ، أَنْ تُحِدَّ علَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ، إلَّا علَى زَوْجٍ، فإنَّهَا تُحِدُّ عليه أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وعَشْرًا

Daripada Ummu Habibah RA, aku telah mendengar Nabi SAW bersabda: 'Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkabung atas kematian seseorang lebih dari tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, maka dia berkabung selama empat bulan sepuluh hari.'" (HR Bukhari No: 1486) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Al-Ihdad atau berkabung ialah meninggalkan perhiasan, wangian, bersolek dan pakaian yang menarik perhatian selama tempoh tertentu selepas kematian seseorang sebagai tanda duka dan kesedihan terhadap kematian seseorang.

2.  Tempoh berkabung bagi wanita:

a)  3 hari sahaja untuk kematian selain suami (contohnya ibu, ayah atau anak).
b)  4 bulan 10 hari untuk isteri kematian suami (iddah)

3.  Menurut Ibn Qudamah dalam al-Mughni, wanita yang dalam tempoh iḥdad dilarang berhias, bersolek, memakai bau-bauan, atau keluar tanpa keperluan syarie, kecuali untuk hal darurat (seperti berubat atau bekerja jika tiada penanggung).

4.  Al-Nawawi menyatakan bahawa seorang perempuan dibenarkan untuk berkabung atas kematian seseorang selain daripada suaminya selama tiga hari sahaja. Jika ia melebihi daripada itu, maka haram hukumnya menurut mazhab al-Syafi’i.

5.  Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa larangan melebihi tiga hari untuk berkabung adalah untuk menjaga kebajikan wanita, agar tidak berlarutan dalam kesedihan dan boleh kembali kepada rutin kehidupannya.

6.  Hadis ini menjelaskan bahawa Islam tidak membiarkan manusia hanyut dalam kesedihan, sebaliknya meletakkan batasan dan panduan dalam menghadapi kehilangan orang tersayang.


No comments: