Saturday, January 31, 2026

Puasa Hari Putih (13, 14 & 15) Haribulan Hijrah

Sabtu, 12 Syaaban 1447H  |  Puasa Hari Putih (13, 14 & 15) Haribulan Hijrah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Daripada Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari dalam setiap bulan iaitu hari-hari putih: hari ketiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Mengikut Imam Nawawi, ‘Ayyam al-Bidh’ (hari-hari putih) dinamakan demikian kerana bulan pada tarikh 13, 14 dan 15 haribulan Hijrah berada dalam keadaan penuh bercahaya.

2.  Puasa pada hari putih adalah sunat yang sangat dituntut dan menjadi amalan Rasulullah SAW.

3.  Berpuasa tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun (kerana kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda). Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” (HR Abu Daud No: 2449)

4.  Disepanjang bulan Syaaban ini kita digalakkan berpuasa sunat. Ada puasa sunat yang khusus antaranya puasa hari  Isnin dan Khamis juga puasa pada hari-hari putih (13, 14 dan 15) yang akan jatuh pada hari Ahad 01hb Feb, Isnin 02hb Feb dan Selasa 03hb Feb ini.

Marilah kita merebut peluang melaksanakan ibadah puasa sunat di bulan Syaaban ini. Kita berpuasa sunat Hari-hari Putih pada Ahad, Isnin dan Selasa ini.


Friday, January 30, 2026

Balaslah Kebaikan Dengan Kebaikan

Jumaat, 11 Syaaban 1447H  |  Balaslah Kebaikan Dengan Kebaikan

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَلْيُكَافِئْ بِهِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَلْيَذْكُرْهُ فَمَنْ ذَكَرَهُ فَقَدْ شَكَرَهُ وَمَنْ تَشَبَّعَ بِمَا لَمْ يَنَلْ فَهُوَ كَلَابِسِ ثَوْبَيْ زُورٍ

Daripada Aisyah RA bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menerima suatu kebaikan (pemberian) maka balaslah dengan kebaikan yang serupa, dan barangsiapa tidak mampu membalasnya maka sebutlah (kebaikan orang tersebut). Barangsiapa yang menyebutnya (mengucapkannya) sungguh ia telah bersyukur dan barangsiapa yang membangga-banggakan diri dengan (menggunakan) sesuatu yang ia tidak berikan maka ia seperti orang yang memakai pakaian keburukan." (HR Ahmad No: 23452) Status : Sahih dalam al-Adab al-Mufrad (215)

Pengajaran:

1.  Antara akhlak seorang Muslim apabila menerima kebaikan seperti pemberian atau hadiah, sewajarnya dibalas kebaikan dengan yang setimpal.

2.  Jika kita tidak mampu memberi balasan yang setimpal, berilah ucapan terima kasih kepada penyumbang sebagai satu dari cara kita bersyukur.

3.  Membalas jasa adalah akhlak mulia, walaupun sekadar dengan doa dan ucapan terima kasih.

4.  Syukur bukan hanya kepada Allah, tetapi juga kepada sesama manusia.

5.  Ucapan  “terima kasih” yang terbaik diungkapkan ialah kalimah “Jazakallahu khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan). Kalimat ini lebih bernilai kerana mengandungi doa di dalamnya.

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Daripada Usamah bin Zaid r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan “jazaakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.” (HR. Tirmidzi No:1958) Status Hadis: Hassan

6.  Sikap berpura-pura dan menipu imej diri adalah tercela dalam Islam.

7.  Moga Allah memperbaiki akhlak kita. Jazakallahu khairan pada yang membaca dan berkongsi.

#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah

Thursday, January 29, 2026

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

Khamis, 10 Syaaban 1447H  |  Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Tidak dicabut sifat belas kasihan (rahmat Allah) kecuali dari orang yang celaka (berbuat keji)." (HR  Tirmizi No: 1846) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki.

2.  Sifat kasih sayang merangkumi kasih sayang terhadap manusia, belas kasihan kepada kanak-kanak, orang lemah dan masyarakat sekeliling di samping sifat empati yang lahir daripada iman.

3.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang (rahmat-Nya) daripada orang yang melakukan perbuatan keji dan maksiat.

4.  Perbuatan keji (seperti menghina, memfitnah, mengumpat dan mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sekeliling) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim. Tanpa disedari Allah telah menghilangkan rasa kasih sayang dalam dirinya.

5.  Menurut Ibn al-Athir, orang yang celaka merujuk kepada orang yang hatinya keras, tidak tersentuh dengan penderitaan orang lain serta hilang rasa belas kasihan akibat dosa yang berterusan.

6.  Salman al-Farisi berkata: “Sesungguhnya apabila Allah inginkan kebinasaan kepada seorang hambaNya, maka Dia mencabut darinya sifat malu, apabila sifat tersebut tercabut maka akan dicabut darinya sifat amanah sehingga dia menjadi pengkhianat. Apabila sifat amanah dicabut darinya maka akan dicabut darinya sifat rahmah (sifat belas kasih)  sehingga dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan demikian, maka akan dicabut sebahagian iman dari tengkuknya dan bila sudah demikian maka dia tidak akan ditemui kecuali dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat”.

Jauhi perkara keji. Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji.


Wednesday, January 28, 2026

Jangan Menangguh Untuk Bersedekah.

Rabu, 9 Syaaban 1447H  | Jangan Menangguh Untuk Bersedekah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Engkau bersedekah ketika engkau masih sihat dan ketika engkau berasa kedekut (kikir) dan  takut menjadi miskin serta berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga nyawa telah sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, "Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sebenarnya telah menjadi milik si fulan (waris)." (HR Bukhari no: 2748) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah yang paling besar pahalanya ialah sedekah yang dilakukan:

a.  Ketika seseorang masih sihat
b.  Ketika berasa sayang kepada harta dan bimbang harta akan berkurang jika bersedekah
c.  Ketika masih berhasrat mengumpul harta untuk menjadi kaya.

Hal ini kerana sedekah tersebut dilakukan dengan pengorbanan nafsu dan kecintaan dunia, bukan kerana terpaksa.

2.  Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita. Menangguhkan sedekah boleh mengurangkan keikhlasan dan tidak menunjukkan pengorbanan sebenar.

3.  Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai dihalkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.

4.  Harta adalah amanah bukan milik mutlak kita.

5.  Sedekah adalah latihan melawan sifat tamak dan cinta dunia.


Tuesday, January 27, 2026

Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

Selasa, 8 Syaaban 1447H  |   Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

عَنْ إِسْمَاعِيلَ  بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ  عَنْ أَبِيهِ  عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ  وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ  وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ  وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ  وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ  وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ  وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Daripada Ismail Muhammad Bin Sa’ad Bin Abi Waqqas daripada ayahnya daripada datuknya. Datuknya (Sa’ad Bin Abi Waqqas) berkata: Rasulullah SAW bersabda: Empat perkara yang membawa kebahagiaan. Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Manakala Empat perkara yang membawa kesengsaraan adalah jiran yang buruk, isteri yang buruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang menyusahkan.” (HR Ibnu Hibban No: 4032) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Empat perkara yang membawa kebahagiaan di dunia

a.  Isteri yang solehah iaitu isteri yang baik. Sentiasa membantu suami dalam ketaatan kepada Allah. Menjadi penenang jiwa suami, ketika dipandang suami ia menggembirakan. Sentiasa menjaga maruah diri, harta dan suami.

b.  Tempat tinggal yang luas iaitu yang banyak manfaat bagi penghuninya (tidak semestinya rumah besar). Rumah yang didalamnya hati akan menjadi lapang dan tidak sempit (Takhrij al-Musnad no 15372).

c.  Jiran yang baik iaitu jiran yang sentiasa bermanfaat dan tidak menyakiti orang lain.

d.  Kenderaan yang selesa iaitu kenderaan yang memudahkan urusan, tidak mendatangkan bahaya serta tidak membebankan sama ada dengan hutang mahupun kerosakan.

2.  Empat punca kesengsaraan hidup di dunia:

a.  Jiran yang buruk iaitu yang buruk akhlaknya serta kehidupannya akan mempengaruhi kita dan anak-anak.

b.  Isteri yang buruk iaitu isteri yang berakhlak dan perangai yang buruk

c.  Tempat tinggal yang sempit iaitu rumah yang tidak menjadikan kita bahagia dan merasa lapang berada di dalamnya

d.  Kenderaan yang menyusahkan dan membebankan.

Setiap Muslim disyariatkan berdoa antaranya doa memohon kelapangan dan keberkatan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering berdoa:

ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲ ﺃَﻋُﻮﺫُ ﺑِﻚَ ﻣِﻦْ ﺟَﺎﺭِ ﺍﻟﺴُّﻮﺀ ﻭَﻣِﻦْ ﺯَﻭْﺝٍ ﺗُﺸَﻴِّﺒُﻨِﻲ ﻗَﺒْﻞَ ﺍﻟْﻤَﺸِﻴﺐِ ﻭَﻣِﻦْ ﻭَﻟَﺪٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﺭِﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﻣَﺎﻝٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﻋَﺬَﺍﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﺧَﻠِﻴﻞٍ ﻣَﺎﻛِﺮٍ  ﻋَﻴْﻨَﻪُ ﺗَﺮَﺍﻧِﻲ ﻭَﻗَﻠْﺒُﻪُ ﺗَﺮْﻋَﺎﻧِﻲ ﺇِﻥْ ﺭَﺃَﻯ ﺣَﺴَﻨَﺔً ﺩَﻓَﻨَﻬَﺎ ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺭَﺃَﻯ ﺳَﻴِّﺌَﺔً ﺃَﺫَﺍﻋَﻬَﺎ
 
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari tetangga yang buruk,  dari isteri yang membuatku beruban sebelum masa beruban, dari anak yang menjadi tuan bagiku, dari harta yang menjadi siksaan atasku, dan dari kawan yang berbuat makar, matanya memandangiku sedang hatinya mengawasiku. Jika ia melihat kebaikan, maka ia tanam (sembunyikan), dan jika melihat keburukan, maka ia menyebarkannya.  (HR. Hannad dalam Az-Zuhd (no. 1038) Status: Hadis sahih dalam Ash-Shohihah no. 3138).


Monday, January 26, 2026

Ucapkan Alhamdulillāh

Isnin, 7 Syaaban 1447H  |  Ucapkan Alhamdulillāh

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ  صلى الله عليه وسلم إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ  الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ  الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Daripada 'Aisyah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW apabila melihat sesuatu yang baginda sukai, baginda mengucapkan “Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmus solihat” (segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya sempurnalah segala kebaikan). Apabila Baginda melihat sesuatu yang Baginda tidak sukai, Baginda akan mengucapkan “Alhamdulillah ‘ala kulli hal“ (segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan)” (HR Ibn Majah No: 3803)  Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Syukur Adalah asas ketenangan jiwa.

2.  Setiap nikmat dan musibah, kedua-duanya datang daripada Allah.

3.  Orang beriman sentiasa memuji Allah dalam semua keadaan.

4.  Rasulullah SAW mengajar kita ucapan terpuji apabila melihat atau menerima suatu berita atau perkara yang kita sukai, maka  ucapkanlah kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ

5.  Rasulullah SAW juga mengajar kita ucapan apabila menerima berita atau menyaksikan sesuatu yang tidak menyenangkan hati, maka ucapkanlah kalimah

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

6.  Musibah tidak menafikan Rahmat Allah.

7.  Syukur bukan hanya ketika gembira, tetapi juga ketika diuji. Dengan sentiasa memuji Allah dalam apa jua keadaan, hati akan menjadi tenang, iman semakin kukuh dan hidup dipenuhi keberkatan.

Bersyukurlah dengan pelbagai nikmat yang Allah kurniakan. Bersyukur kerana masih berkesempatan berada di bulan Syaaban. Moga Allah pertemukan kita dengan Ramadan yang penuh barakah.


Sunday, January 25, 2026

Tiga Penyebab Doa Tidak Makbul

Ahad, 6 Syaaban 1447H  | Tiga Penyebab Doa Tidak Makbul

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ قَالَ يَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: Doa seorang hamba akan sentiasa diperkenankan selagi dia tidak berdoa untuk perkara dosa atau memutuskan hubungan silaturahim dan selagi dia tidak bersikap tergesa-gesa. Seorang sahabat bertanya; 'Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan tergesa-gesa? ' Rasulullah SAW menjawab: 'Yang dimaksud dengan tergesa-gesa adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan; 'Aku telah berdoa berkali-kali tetapi aku tidak melihat doaku diperkenankan'. Setelah itu, ia merasa kecewa dan berhenti berdoa. (HR Muslim No: 4918) Status: Sahih

Pengajaran:

1.  Doa memerlukan adab dan kesabaran.

2.  Syarat penerimaan doa seorang hamba 3 perkara:

a.  Doa tidak mengandungi unsur dosa
b.  Tidak memutuskan silaturahim
c.  Tidak bersikap tergesa-gesa meminta dikabulkan

3.  Orang yang tergesa-gesa ialah yang tidak sabar doanya dikabulkan dan mudah berputus asa dan enggan berdoa kembali.

4.  Dalam berdoa, kita harus memastikan bahawa niat kita adalah untuk kebaikan dan tidak untuk hal-hal yang buruk. Allah tidak akan mengabulkan doa yang bertujuan untuk kejahatan atau keburukan, termasuk memutuskan hubungan dengan keluarga atau merancang untuk menyakiti orang lain.

5.  Marilah kita berdoa yang baik-baik, jagalah hubungan silaturahim dengan kerabat dan istiqamahlah untuk terus berdoa dengan bersabar dan  tidak berputus asa. Yakinlah bahawa Allah tetap akan memperkenankan permohonan kita.

6.  Doa adalah salah satu bentuk pengabdian dan pengharapan kita kepada Allah. Melalui doa, kita menunjukkan kebergantungan kita kepada-Nya dan meyakini bahawa hanya Allah yang dapat memberikan pertolongan. Oleh itu, kita harus tetap konsisten dalam berdoa, tanpa merasa lelah atau putus asa.


Friday, January 23, 2026

Doa Mustajab Di Malam Hari

Jumaat, 4 Syaaban 1447H  | Doa Mustajab Di Malam Hari

عن معاذ بن جبل عن النبي صلى الله عليه وسلم قال  مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيْتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْياَ وَاْلآخِرَةِ إِلاَّ أَعْطَاهُ إِياَّهُ.

Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci (berwuduk) serta berzikir kepada Allah, kemudian ia terjaga pada waktu malam lalu berdoa memohon kepada Allah kebaikan daripada urusan dunia dan akhirat, melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.” (Sunan Abi Daud No: 5042) Status Hadis Sahih (dalam kitab Shahiih at-Targhiib wat Tarhiib (I/317)

Pengajaran:

1.  Berwuduk sebelum tidur adalah sunnah yang membawa keberkatan dan perlindungan daripada gangguan syaitan semasa tidur.

2.  Amalan zikir sebelum tidur (seperti tasbih, tahmid, istighfar, membaca doa sebelum tidur, ayat al-Kursi, 3 Qul) membantu mendekatkan diri kepada Allah dan membersihkan jiwa daripada perkara duniawi.

3.  Muslim yang tidur dalam keadaan berzikir kepada Allah dan suci dengan berwuduk, jika ia bangun dari tidur dan berdoa memohon kebaikan urusan dunia serta akhirat nescaya akan dimakbulkan Allah.

4.  Menurut Ibn Rajab al-Hanbali: Waktu malam, khususnya ketika manusia lain lena, adalah antara waktu paling hampir seorang hamba dengan Allah. Doa yang lahir daripada hati yang bersih dan ikhlas di waktu ini mempunyai keistimewaan besar untuk dimakbulkan.

5.  Latih diri untuk bangun malam walaupun hanya sekejap untuk solat sunat dan memohon kebaikan dunia dan akhirat.

Hadis ini memberikan panduan penting tentang kepentingan menjaga kesucian, zikir, dan hubungan dengan Allah sebelum tidur. Selain itu, ia mendorong umat Islam untuk memanfaatkan waktu malam sebagai peluang mendekatkan diri kepada Allah melalui doa dan ibadah. Amalan ini bukan sahaja membawa keberkatan dalam hidup, tetapi juga memastikan keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat. Rebutlah peluang doa mustajab di malam hari.


Thursday, January 22, 2026

Amalan Pintu Kebaikan

Khamis, 3 Syaaban 1447H |   Amalan Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Nabi SAW  menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2.  Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa melatih kesabaran, menguatkan hubungan dengan Allah. Ibadat Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” (HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4.  Persiapkanlah diri dengan mula berpuasa sunat pada bulan  Syaaban ini. Moga akan memudahkan kita melaksanakannya pada bulan Ramadan yang menjelang tiba. Semoga ibadat puasa menjadi perisai buat kita dari api neraka.

5.  Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti derma kepada mereka yang terkesan akibat banjir, gempa bumi dan lain-lain.

6.  Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7.  Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini  mampu membina kekuatan rohani kita.

Marilah kita melaksanakan amal-amal  yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.


Wednesday, January 21, 2026

Amalan Di bulan Syaaban Untuk Menghadapi Ramadan

Rabu, 2 Syaaban 1447H  |  Amalan Di bulan Syaaban Untuk Menghadapi Ramadan

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا

Daripada Abu Salamah bahawa 'Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: Nabi Muhammad SAW tidak pernah berpuasa dalam mana-mana bulan lebih banyak daripada puasa dibulan Syaaban. Ada kalanya baginda berpuasa hampir keseluruhan bulan Syaaban. Dan baginda bersabda: “Lakukanlah amalan sekadar kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak jemu (dalam memberi pahala) sehingga kamu sendiri yang menjadi jemu (dari mengerjakannya). Solat yang paling disukai oleh Nabi SAW ialah solat yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit.” Dan apabila baginda melakukan sesuatu solat (sunat), baginda akan berterusan melakukannya.". (HR Bukhari No: 1834) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban adalah peluang untuk memperbanyakkan ibadah sunat seperti puasa dan amal soleh lain sebagai persediaan rohani bagi menghadapi bulan Ramadan. Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban untuk kita contohi.

2.  Hadis ini mengajar pentingnya mengambil pendekatan sederhana dan realistik dalam ibadah, supaya kita tidak cepat merasa penat atau bosan. Amalan yang sedikit tetapi konsisten lebih bernilai di sisi Allah berbanding amalan besar yang dilakukan hanya sekali-sekala.

3.  Amalan kecil tetapi berterusan lebih dicintai Allah berbanding amalan besar tetapi terputus-putus. Solat sunat yang Nabi SAW cintai ialah yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.

4.  Pelihara solat sunat mengiringi solat fardhu, duha, tahajud, witir dan lain-lain  walaupun hanya dua rakaat.

5.  Rasulullah SAW memanfaatkan bulan Syaaban sebagai masa latihan sebelum memasuki Ramadan. Ia memberi pengajaran kepada kita agar bersedia secara mental, fizikal, dan spiritual untuk menghadapi bulan yang penuh keberkatan.

Hadis ini memberi panduan kepada kita, cara mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan konsisten dan persiapan yang terancang. Ia juga mengajarkan bahawa keberkesanan ibadah terletak pada ketekunan dan istiqamah, bukan sekadar banyaknya amalan. Ambilah peluang untuk memperbaiki diri pada bulan Syaaban ini, sebagai persiapan menghadapi bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Laksanakan puasa sunat, solat sunat serta pelbagai amal soleh di bulan Syaaban ini. Semoga kebiasaan yang kita lakukan pada bulan ini akan berterusan di bulan Ramadan.


Tuesday, January 20, 2026

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

Selasa, 1 Syaaban 1447H | Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Daripada Abu Salamah ia berkata, saya pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW, maka ia pun berkata; Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami mengira bahawa baginda akan puasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak puasa) sehingga kami mengira baginda akan berbuka (tidak puasa) terus-menerus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. Baginda berpuasa hampir keseluruhan bulan Syaaban hingga sisa harinya tinggal sedikit." (HR Muslim No: 1957) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW membanyakkan puasa sunatnya pada bulan Syaaban kecuali beberapa hari dihujung Syaaban.

2.  Tidak ada bulan yang paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat melainkan di bulan Syaaban.

3.  Menurut Ibn Rajab, Syaaban adalah bulan persediaan rohani sebelum bulan Ramadan. Puasa dalam bulan Syaaban melatih jiwa dan jasad agar bersedia menyambut Ramadan. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain.

4.  Bulan Syaaban telah menemui kita. Marilah kita membuat persiapan untuk membanyakkan berpuasa sunat di bulan Syaaban.

5.  Ambillah peluang kelebihan berpuasa dengan memperbanyakkan doa kerana doa orang yang sedang berpuasa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadis daripada  Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. (HR Ibn Majah No:1752) Status:Hadis  hasan

Marilah kita melaksanakan ibadat puasa sunat dibulan Syaaban sebagai latihan dan persiapan menghadapi Ramadan.


Monday, January 19, 2026

Syaaban dan Puasa Sunat

Isnin, 29 Rejab 1447H  |  Syaaban dan Puasa Sunat

عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW; "Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Syaaban. Baginda bersabda: Bulan tersebut merupakan waktu yang sering manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia juga merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rab semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa". (HR an-Nasai No: 2317) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban, bulan paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat berbanding bulan lain.

2.  Bulan Syaaban, bulan kebanyakan manusia lalai daripada meningkatkan amal. Ramai yang menyibukkan diri dengan urusan dunia seperti menyediakan persiapan hari raya, mengadakan majlis kenduri kendara dan sebagainya.

3.  Ibnu Rajab menyatakan: “Dalam hadis ini terdapat dalil mengenai dianjurkan melakukan amalan ketaatan di saat manusia lalai. Inilah amalan yang dicintai di sisi Allah (puasa sunat).” (Lathaif Al Ma’arif, 235) Beribadah pada waktu ramai orang dilalaikan akan lebih ikhlas sehingga pahalanya semakin besar. Beribadat ketika ini akan lebih berat dirasakan oleh jiwa, kerana biasanya jiwa kita ini akan terpengaruh dengan apa yang dilihatnya. Ketika orang mungkin sibuk menjamu selera sebab nanti di bulan Ramadan tak boleh makan siang hari, maka akan semakin berat bagi jiwa untuk menjalankan ketaatan. Oleh sebab itu, secara umum, meningkatkan ibadah seperti puasa sunat pada bulan Sya'ban dan menjaga diri dari terikut-ikut orang lain adalah amal yang dicintai.

4.  Setiap kita disarankan agar memperbanyakkan amal pada bulan Syaaban seperti puasa sunat, solat sunat, sedekah, membaca al-Quran dan lain-lain sebagai persiapan bertemu  bulan Ramadan.

5.  Setiap hari amalan kita akan diangkat ke langit. Bulan Syaaban adalah waktu pengangkatan amalan tahunan kepada Allah SWT.

6.  Rasulullah SAW memperbanyakkan amal seperti puasa sunat pada bulan Syaaban kerana baginda suka amalnya diangkat ketika sedang berpuasa. Puasa membersihkan jiwa dan menundukkan nafsu serta menghimpunkan keikhlasan, sabar dan ketaatan.

Ayuh kita merebut peluang memperbanyakkan amal soleh di bulan Syaaban  antaranya berpuasa sunat. Jadikanlah bulan ini untuk kita menyiram amal soleh agar ia tumbuh subur dan segar berterusan di bulan Ramadan nanti.


Sunday, January 18, 2026

Solat Amalan Pertama Dihisab

Ahad, 28 Rejab 1447H  |   Solat Amalan Pertama Dihisab

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ. فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ، فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ، قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ، ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab seseorang hamba pada hari kiamat adalah daripada amalan solatnya. Jika baik solatnya maka berbahagia dan berjayalah ia. Jika solatnya rosak, maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terdapat kekurangan pada solat fardunya, maka tuhan ‘Azza wa Jalla berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku ini mempunyai amalan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan solat fardunya itu. Kemudian seluruh amalan yang lain akan dihitung dengan cara yang demikian. (HR Tirmizi No: 413) Status Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Solat adalah ibadah paling penting dalam kehidupan seorang Muslim. Kejayaan akhirat bermula dengan penjagaan solat.

2.  Imam Munawi menjelaskan bahawa jika amalan solatnya sempurna dan diterima oleh Allah, maka Allah akan mempermudahkan proses perhitungan dan pemeriksaan amalan-amalan yang lain.

3.  Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi sesiapa yang meninggalkan keseluruhan solat fardu maka segala amalannya tidak diterima hal ini kerana solat itu adalah tiang agama.

4.  Meninggalkan solat merupakan satu dosa yang sangat besar dalam Islam kerana solat merupakan salah satu rukun Islam dan menjadi kewajipan bagi setiap individu muslim. Begitu juga solat sebagai tanda keimanan dan ketakwaan seseorang hamba kepada Allah SWT. Dengan meninggalkannya akan mengundang kemurkaan dan azab daripada Allah SWT. Menurut pandangan mazhab al-Syafi’i, individu yang meninggalkan solat kerana malas pada masa yang sama tidak mengingkari kewajipannya maka ia dikategorikan sebagai fasik dan hendaklah bertaubat serta menggantikannya.

5.  Solat sunat berfungsi melengkapkan kekurangan solat fardu.

6.  Hadis ini menegaskan bahawa solat adalah neraca utama kehidupan seorang Mukmin. Ia menjadi pintu kejayaan atau kegagalan di hadapan Allah SWT. Keindahan syariat Islam terserlah apabila amalan sunat diberikan peranan sebagai pelengkap, menzahirkan sifat rahmat dan keadilan Ilahi.

Sempena turunnya perintah kefarduan solat lima waktu sehari semalam dalam peristiwa Isra Mikraj Rasulullah SAW yang berlaku pada bulan Rejab ini, mari kita renungi kata-kata Imam al-Juwaini: “Solat itu adalah tiang agama maka barangsiapa yang meninggalkan solat, nescaya dia telah meruntuhkan agama.“


Saturday, January 17, 2026

Membangun dan Mengimarahkan Masjid

Sabtu, 27 Rejab 1447H   |   Membangun dan Mengimarahkan Masjid

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يُذْكَرُ فِيهِ اسْمُ اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Daripada Umar Ibnul Khatthab RA ia berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membangunkan masjid yang di dalamnya digunakan untuk berzikir kepada Allah, maka Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di syurga." (Sunan Ibnu Majah No: 727) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang membina masjid dengan ikhlas semata-mata untuk digunakan di dalamnya bagi mengingati Allah.

2.  Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, maksud “membangunkan masjid” merangkumi:

a.  Membina secara fizikal dari segi struktur dan bangunan.
b.  Menyumbang harta, tanah, tenaga atau kepakaran.
c.  Membantu pemulihan, pembesaran dan penyelenggaraan masjid.

3.  Orang yang membangunkan masjid ini tergolong dalam kalangan pemakmur masjid Allah. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang  beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat petunjuk (dari Allah Ta’ala)” (Surah At-Taubah: 18).

4.  Ibnu al-Jauzi dalam Zaadul Masiir (3/408) berkata: yang dimaksudkan dengan “memakmurkan” dalam ayat di atas ialah mereka yang:

a.  Selalu mendatangi masjid dan beribadat di dalamnya
b.  Membina masjid dan memperbaikinya.

5.  Masjid perlu dibangunkan fizikal serta rohnya (program dan aktiviti yang mendekatkan seseorang kepada Allah). Orang yang membangunkan masjid akan diberi ganjaran mahligai di syurga.

6.  Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah adalah membina Masjid. Dimulakan dengan masjid Quba dan diikuti dengan Masjid Madinah. Masjid dijadikan tempat menghimpunkan rakyat, merapatkan ukhuwah, menyampaikan dakwah, mengajarkan al-Quran serta mengurus pemerintahan.

7.  Jangan jadikan masjid seperti *gajah puteh*. Kata Saidina Ali: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, tidak kekal di dalam Islam kecuali namanya sahaja dan tidak kekal dalam ajaran al-Quran melainkan tinggal tulisannya sahaja, masjid yang besar dan indah dibangunkan di sana sini tetapi manusia tidak mengambil petunjuk daripadanya.


Thursday, January 15, 2026

Pengunjung Masjid Dijanjikan Tempat Tinggal Di Syurga

Khamis, 25 Rejab 1447H  | Pengunjung Masjid Dijanjikan Tempat Tinggal Di Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنْ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid di pagi dan petang hari, maka Allah akan menyediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi dan petang hari." (HR Bukhari No: 622) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Isra dan Mikraj yang berlaku di bulan Rejab kepada baginda Nabi SAW, perjalanan baginda dari Masjidil Haram ke masjid al-Aqsa, mengingatkan kita tentang keutamaan masjid dan bermulanya kewajipan solat waktu.

2.  Allah SWT mencintai hamba-Nya yang menjadikan masjid sebagai pusat ibadah dan kehidupan. Pergi dan pulang ke masjid pada setiap solat fardhu bagi lelaki di samping majlis ilmu secara konsisten, mencerminkan sifat istiqamah yang membawa keberkatan hidup. Orang yang pagi dan petang hari sentiasa ke Masjid, Allah akan menyediakan untuknya tempat tinggal yang baik di syurga.

3.  Hadis ini memperlihatkan betapa murahnya ganjaran Allah kepada hamba-Nya yang sentiasa berulang-alik ke masjid. Setiap langkah ke masjid bukan sekadar memenuhi kewajipan, bahkan membuka ruang sambutan kehormatan di syurga. Ia mendidik umat Islam agar menjadikan masjid sebagai nadi kehidupan beragama dan medan pembentukan iman yang berterusan.

4.  Satu daripada golongan yang mendapat naungan di sisi Allah dihari kiamat ialah lelaki yang hatinya sentiasa tertambat di masjid kerana mengimarahkannya. Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ تَعَالَى فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لاَظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ.... وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ.....

“Tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah di hari yang tidak ada perlindungan pada hari kiamat melainkan perlindungan Allah: …….. lelaki yang hatinya sentiasa tertambat kepada masjid…” (HR Bukhari No: 620)

5.  Menjadi tanggungjawab kita khususnya kaum lelaki untuk menunaikan solat fardhu di masjid sebagai satu cara mengimarahkannya di samping majlis ilmu dan pelbagai aktiviti yang diadakan.


Wednesday, January 14, 2026

Balasan Pengumpat dan Pengaib

Rabu, 24 Rejab 1447H  |  Balasan Pengumpat dan Pengaib

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda : ‘Ketika aku dinaikkan ke langit (pada malam isra dan mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka sendiri, maka aku bertanya: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan mengaibkan maruah mereka.” (Riwayat Abu Daud No: 4878) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama yang mementingkan akhlak dan adab terpuji

2.  Islam melarang umatnya berakhlak buruk seperti mengumpat, menghina serta mengaibkan orang lain kerana ia dosa besar.

3.  Rasulullah SAW diperlihatkan pada malam baginda di isra dan dimikrajkan sekumpulan manusia yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka menyiksa diri sendiri dengan mencakar-cakar muka dan dada mereka. Jibril memberitahu mereka berbuat demikian kerana semasa di dunia mereka mengumpat dan mengaibkan orang Islam lain.

4.  Imam al-Qurtubi menegaskan: “Allah menyamakan ghibah (mengumpat) dengan memakan daging manusia kerana jijiknya perbuatan itu dan besar dosanya.”

5.  Orang yang gemar membicarakan aib orang, fitnah, penghinaan juga ejekan  sama ada melalui tulisan, imej, pertuturan dan lain lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)

6.  Orang mukmin perlu menjaga agar jangan sampai mengumpat dan mengaibkan orang lain hingga menjadi penyebab diseksa di akhirat dengan mencakar dada dan muka sendiri.

7.  Banyakkanlah berdoa agar dijauhi fitnah di dunia di alam kubur juga di hari akhirat:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

“Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”


Monday, January 12, 2026

Buat Yang Terbaik Minta Yang Terbaik

Isnin, 22 Rejab 1447H  |  Buat Yang Terbaik Minta Yang Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّة وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّة

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di Syurga itu ada seratus tingkatan yang telah Allah sediakan bagi mereka yang berjihad di jalan Allah. Jarak antara satu tingkatan dengan tingkatan lainnya itu bagaikan jarak antara langit dan bumi. Apabila kalian berdoa memohon kepada Allah maka mintalah kepada-Nya Syurga Firdaus, kerana Syurga Firdaus adalah Syurga yang paling tengah dan paling atas (tinggi). Di atasnya terdapat ‘Arsy Allah Dzat Yang Maha Pengasih. Dari Syurga Firdaus itulah seluruh mata air sungai-sungai Syurga mengalir” (HR Bukhari No: 2581) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Setiap kita sentiasa mengharapkan untuk menjadi orang yang paling baik dan cemerlang dalam hidup di dunia dan akhirat.

2.  Mendapat ganjaran Syurga di hari akhirat amat diharapkan oleh setiap orang. Rasulullah SAW menyuruh berdoa agar mendapat Syurga yang paling baik iaitu Syurga Firdaus.

Dalam hadis dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda tentang Syurga Firdaus;

الْفِرْدَوْسُ رَبْوَةُ الْجَنَّةِ وَأَوْسَطُهَا وَأَفْضَلُهَا

Maksudnya: Firdaus adalah syurga yang paling tinggi, yang paling bagus, dan yang paling afdhal. (HR Tirmizi No 3174) Status hadis Sahih.

3.  Menjadi cemerlang dan terbaik menuntut kita berusaha dan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memperolehinya.  Saidina Ali pernah berkata: “Biarlah cita-cita engkau setinggi langit, kalau pun engkau tidak mencapai semuanya, sebahagiannya adalah lebih dari setinggi-tinggi cita-cita yang dari mulanya lagi telah rendah”. 

4.  Kecemerlangan tidak dianugerahkan kepada orang yang melakukan usaha sambil lewa tetapi yang berlumba dan bersungguh-sungguh melakukan kebaikan.

5.  Dalam kita berdoa, mintalah yang paling baik dan diredhai Allah antaranya meminta agar dimasukkan ke dalam Syurga Firdaus.

Mari kita mulakan tahun baru 2026 dengan azam terbaik dan doa terbaik dari kita.


Sunday, January 11, 2026

Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

Ahad, 21 Rejab 1447H  | Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya.” (HR Ibnu Majah no. 237) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menciptakan manusia yang pelbagai. Ada diantara manusia yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan.

2.  Namun terdapat di antara manusia yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan.

3.  Beruntunglah kepada orang yang Allah jadikan sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya.

4.  Orang yang ingin dirinya menjadi pembuka pintu kebaikan serta menjadi penutup pintu keburukan, maka hendaklah melakukan hal-hal berikut:

a.  Mengikhlaskan segala perbuatan dan perkataan hanya untuk beribadah kepada Allah dan jadikan ia sebagai sumber kebaikan dan kemuliaan kita.

b.  Berdoa kepada Allah agar diberi taufik menjadi seseorang pembuka pintu kebaikan, kerana doa adalah kunci segala kebaikan.

c.  Bersungguh dalam menuntut ilmu kerana ilmu mendorong seseorang kepada kebaikan dan kemuliaan.

d.  Sentiasa beribadah kepada Allah, khususnya solat, kerana solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan munkar.

e.  Bersikap dengan akhlak yang mulia dan lemah lembut, serta jauh dari akhlak yang buruk dan tidak beradab.

f.  Bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan sering bersama mereka. Menasihati orang lain, baik yang dikenali atau tidak, agar kebaikan bersama kita dan jauh dari maksiat.

g.  Sentiasa ingat hari pembalasan agar kita sentiasa berbuat amal kebaikan sebagai bekalan

h.  Sentiasa berusaha memberi manfaat kepada yang lain.

Sempena tahun baru 2026, marilah kita berusaha menjadi pembuka pintu kebaikan dan sentiasa menutup pintu keburukan.


Saturday, January 10, 2026

Pengembara Yang Merebut Peluang

Sabtu, 20 Rejab 1447H  |   Pengembara Yang Merebut Peluang

عَنْ ابْن عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - بِمَنْكِبِي وَقَالَ: "كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّك غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ". وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِك لِمَرَضِك وَمِنْ حَيَاتِك لِمَوْتِك.

Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW memegang kedua bahuku seraya bersabda: "Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara", Ibnu Umar berkata: “Jika engkau berada di waktu petang, jangan kamu menunggu datangnya waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan menunggu waktu petang. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang sakitmu. Manfaatkanlah waktu hidupmu sebelum datang matimu.” (HR Bukhari No: 6416) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Dunia adalah jambatan menuju akhirat.

2.  Bersegeralah kita mengerjakan pekerjaan yang baik dan memperbanyak ketaatan, tidak lalai dan menunda-nunda untuk beramal kerana kita tidak tahu bila datangnya ajal.

3.  Gunakanlah segala kesempatan dan peluang melakukan amal soleh sebelum ia hilang berlalu dan kita terlepas peluang. Moga setiap detik masa kita gunakan sebaiknya untuk melipat gandakan amal ibadah kerana kita tak pasti adakah esok masih ada buat kita.

4.  Jadilah seperti pengembara yang sentiasa menyediakan bekalan untuk memastikan bekalan sepanjang pengembaraan sentiasa mencukupi. Sediakanlah bekalan amal solleh secukupnya untuk bertemu Allah di hari Kiamat.

5.  Sentiasa berhati-hati terhadap siksaan azab Allah adalah sikap seorang musafir yang sentiasa berwaspada agar tidak tersesat daripada landasan jalan yang benar.

6.  Berhati-hati dari kawan yang buruk akhlaknya. Jangan kerana terpengaruh dan percaya segala khabar yang disampaikan seperti melalui massage yang ditularkan sehingga menjadi penghalang kita menjadi soleh.

7.  Pekerjaan didunia dituntut untuk menjaga jiwa dan mendatangkan manfaat, setiap muslim hendaklah menggunakan kesempatan dan amal di dunia itu untuk tujuan akhirat.

8.  Bersungguh-sungguh menjaga waktu dan mempersiapkan diri untuk kematian dan bersegera bertaubat serta beramal soleh.

9.  Rasulullah SAW memegang kedua bahu Abdullah bin Umar, bertujuan agar dia fokus tentang apa yang akan disampaikan. Menunjukkan bahawa seorang pelajar sewajarnya memberi perhatian kepada apa yang akan diajar oleh gurunya agar ia dapat difahami dan diamalkan.


Friday, January 9, 2026

Uban Itu Kebaikan

Jumaat, 19 Rejab 1447H  | Uban Itu Kebaikan

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ فَإِنَّهُ نُورُ الْمُسْلِمِ مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً وَكَفَّرَ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً وَرَفَعَهُ بِهَا دَرَجَةً

Daripada 'Amru bin Syu'aib dari bapanya dari datuknya, dia berkata; bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian mencabut uban, kerana sesungguhnya ia adalah cahaya bagi seorang muslim, barangsiapa tumbuh padanya sehelai uban di dalam Islam maka dengannya Allah akan menuliskan untuknya satu kebaikan, menghapus darinya satu kesalahan dan mengangkatnya dengan satu darjat." (HR Ahmad No: 6668) Status: Isnad Tsiqah.

Pengajaran:

1.  Hargailah setiap anugerah Allah kepada kita.

2.  Rambut beruban (metalik) semula jadi adalah anugerah kebaikan kepada setiap Muslim yang memilikinya. Uban melambangkan ketuaan dan kematangan.

3.  Uban yang tumbuh tidak digalakkan mencabutnya kerana menghormati perubahan semula jadi tubuh manusia. Rambut beruban adalah cahaya  seorang Muslim di hari kiamat (menjadi kelebihan dan kemuliaan kepada pemiliknya di sisi Allah).

4.  Saidina Anas Bin Malik RA bahawa beliau berkata:

يُكْرَهُ أَنْ يَنْتِفَ الرَّجُلُ، الشَّعْرَةَ الْبَيْضَاءَ مِنْ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ
Maksudnya: Dimakruhkan bagi seorang lelaki itu mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga janggutnya. (HR Muslim No: 2341)

5.  Uban yang tumbuh di kepala, pada setiap helai Allah akan menulis untuknya satu kebaikan, menghapus darinya satu kesalahan dan mengangkatnya dengan satu darajat.

6.  Uban yang tumbuh pada seorang Muslim adalah simbol kesabaran dan pengalaman hidup dalam beribadat kepada Allah. Ia menjadi saksi terhadap umur yang dihabiskan dalam ketaatan dan perjuangan dalam agama.


Thursday, January 8, 2026

Uban Adalah Cahaya Pada Hari Kiamat

Khamis, 18 Rejab 1447H  |  Uban Adalah Cahaya Pada Hari Kiamat

عَنْ عَمْرِو بْنِ عَبَسَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Amru bin Abasah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa tumbuh satu uban di jalan Allah, maka uban tersebut akan menjadi cahaya baginya pada hari kiamat." (HR Tirmidzi No: 1559) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Uban yang tumbuh pada seorang Muslim akan menjadi  cahaya di hari kiamat.

2.  Uban akan menjadi cahaya, sehingga pemiliknya menjadikannya sebagai penunjuk jalan sehingga Allah SWT memasukkannya ke dalam syurga. Uban, muncul bersebab, seperti jihad (melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh) atau takut kepada Allah SWT. Oleh kerana itu, dimakruhkan mencabut uban yang ada. (Faidhul Qadir karya Al-Munawi, 6/202).

3.  Uban umumnya muncul pada seseorang pada usia tua. Uban menjadi peringatan bahawa ia sudah berada di penghujung kehidupan.

4.  Dengan munculnya uban, maka orang yang berakal akan semakin insaf bahawa usianya semakin singkat dan bersemangat untuk melaksanakan hak Allah dan hak sesama makhluk dengan amal kebajikan yang banyak.

5.  Al-Quran memberikan peringatan:

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ ۖ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ نَصِير

Maksudnya: Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun (Surah Fathir ayat: 37)

Ibnu Katsir membawa pandangan Ibnu Abbas dan Ikrimah  menjelaskan bahawa maksud pemberi peringatan dalam ayat di atas adalah uban. (Tafsir Ibnu Katsir 6/542)

Semoga uban dirambut kita akan menjadikan peringatan, pendorong serta cahaya untuk melakukan amal soleh.


Wednesday, January 7, 2026

Pelihara Hak Jalan

Rabu, 17 Rejab 1447H  |   Pelihara Hak Jalan

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ فَقَالُوا مَا لَنَا بُدٌّ إِنَّمَا هِيَ مَجَالِسُنَا نَتَحَدَّثُ فِيهَا قَالَ فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجَالِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهَا قَالُوا وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ قَالَ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الْأَذَى وَرَدُّ السَّلَامِ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ

Daripada Abu Sa'id Al Khudriy RA dari Nabi SAW bersabda: "Janganlah kamu duduk duduk di tepi jalan". Mereka bertanya: "Itu kebiasaan kami yang sudah biasa kami lakukan kerana itu menjadi tempat kami bersembang". Baginda bersabda: "Jika kamu tidak mahu meninggalkan kebiasaan seperti itu maka tunaikanlah hak jalan tersebut". Mereka bertanya: "Apa hak jalan itu?" Baginda menjawab: "Menundukkan pandangan, tidak menganggu (orang lain), menjawab salam dan laksanakan amar makruf dan nahi  munkar". (HR Bukhari No: 5790) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW melarang sengaja duduk atau lepak di tepi jalan yang menjadi laluan orang ramai.

2.  Imam Nawawi menjelaskan dalam Syarh Sahih Muslim, duduk atau lepak di tepi jalan boleh menyebabkan jalan sempit atau menyukarkan orang lain untuk melaluinya.

3.  Larangan di atas mencakupi semua bentuk gangguan yang ditimbulkan kepada pengguna jalan raya. Antaranya tindakan menggunakan lorong kecemasan tanpa keperluan juga merupakan salah satu perbuatan yang menggangu jalan. Lebih-lebih lagi, ia menghalang laluan yang dikhususkan kepada orang yang berada dalam keadaan kecemasan, yang pasti akan memudaratkan orang tersebut jika tidak dapat menggunakannya.

4.  Jika terpaksa berada di tepi jalan untuk urusan tertentu, kita perlu menjaga adab dan hak jalan iaitu:

a.  Menundukkan pandangan (Menjaga pandangan daripada memandang perkara haram atau aurat orang lain)

b.  Tidak mengganggu (tidak menyakiti orang yang lalu atau menghalang laluan, memelihara diri dari perbuatan menghina, mengata, bercakap kasar, tidak membuang sampah dan lain-lain)

c.  Menjawab salam (memulia dan menghormati orang lain dengan menyebarkan salam dan menghidupkan ukhuwah)

d.  Laksanakan amar makruf dan nahi  munkar (menyuruh kepada kebaikan dan akhlak mulia juga mencegah kemungkaran serta perbuatan buruk).

5.  Hadis ini mengajar bahawa setiap Muslim bertanggungjawab menjaga suasana aman dan berakhlak di ruang awam, sama ada secara fizikal atau maya.


Tuesday, January 6, 2026

Ziarah Kubur

Selasa,  16 Rejab 1447H  | Ziarah Kubur

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، أَلَا فَزُورُوهَا، فَإِنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ، وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ، وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا

Daripada Anas bin Malik Rasulullah SAW bersabda: "Aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang hendaklah kamu menziarahinya. Sesungguhnya ia melembutkan hati, mengalirkan air mata, dan mengingatkan tentang akhirat. Dan janganlah kamu berkata sesuatu yang buruk (yang batil dan tidak benar).” (HR Ahmad No: 13487) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ziarah kubur adalah sunnah yang digalakkan bagi lelaki dan wanita, dengan syarat menjaga adab-adabnya.

2.  Ziarah kubur boleh melembutkan hati dan menyedarkan kita tentang hakikat kematian serta mendorong kepada taubat dan membanyakkan amal soleh.

3.  Menziarahi kubur dengan niat yang betul boleh menghidupkan rasa takut kepada Allah sehingga menitiskan air mata dan membangkitkan rasa insaf untuk mempersiapkan diri menghadapi akhirat.

4.  Dilarang mengucapkan perkara sia-sia atau batil ketika ziarah kubur seperti meratap, mencela takdir, atau memohon kepada si mati.

5.  Ziarah kubur sepatutnya disertai dengan doa, bacaan al-Quran dan istighfar, bukan amalan khurafat atau bidaah.

6.  Al-Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din menyarankan agar ziarah kubur dilakukan secara berkala, kerana akan menyuburkan rasa takut kepada Allah dan mengingatkan hakikat dunia.


Monday, January 5, 2026

Berdiri Menghormati Jenazah

Isnin, 15 Rejab 1447H  |  Berdiri Menghormati Jenazah

عَنْ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إِذَا رَأَيْتُمُ الجَنَازَةَ، فَقُومُوا حتَّى تُخَلِّفَكُمْ أَوْ تُوضَعَ

Daripada Amir bin Rabiah, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah untuknya sehingga ia melepasi kamu atau sehingga jenazah itu  diletakkan (di tempatnya)."(HR Muslim No: 958) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar adab terhadap jenazah, iaitu berdiri sebagai melahirkan rasa simpati, hormat dan kesedaran tentang kematian apabila melihat jenazah dibawa.

2.  Dalam Mazhab Syafi‘i dan Hanbali menyatakan sunat berdiri apabila melihat jenazah lalu walaupun bukan jenazah Muslim.

3.  Islam memuliakan manusia walaupun selepas kematian. Ada riwayat yang menyebut bahawa Nabi SAW berdiri ketika melihat jenazah orang Yahudi, lalu baginda berkata: "Bukankah dia juga manusia?"

4.  Kematian itu pasti akan dilalui oleh setiap insan yang bernyawa. Melihat jenazah sepatutnya menyedarkan kita tentang kehidupan sementara di dunia ini dan keperluan memperbaiki diri.

5.  Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan termasuk tindakan kecil dengan berdiri apabila jenazah melintas di hadapan mengajar kita hormat tanpa mengira pangkat, darjat, atau status si mati serta dapat memupuk rasa rendah diri dan taqwa disamping mencerminkan penghayatan nilai Islam yang tinggi.


Sunday, January 4, 2026

Ziarahi Pesakit Seumpama Berada Di taman Syurga

Ahad, 14 Rejab 1447H  |  Ziarahi Pesakit Seumpama Berada Di taman Syurga

عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ الرَّحَبِيِّ عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا خُرْفَةُ الْجَنَّةِ قَالَ جَنَاهَا

Daripada Abu Asma' Ar Rahabi dari Tsauban maula (hamba yang dimerdekakan) Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW baginda bersabda: "Apabila seorang muslim mengunjungi saudaranya yang sedang sakit, maka orang itu sentiasa berada dalam sebuah taman syurga. Baginda ditanya; Bagaimana taman syurga itu? Baginda menjawab: 'Taman yang penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetiknya.' (HR Muslim No: 4660) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menziarahi orang sakit adalah ibadah yang besar ganjarannya. Amalan ini merupakan sunat muakkad (amat digalakkan).

2.  Menziarahi orang sakit adalah salah satu daripada tanggung jawab kita bagi menyempurnakan hak saudara Muslim yang lain.

3.  Orang yang menziarahi orang sakit seolah-olah ia berada dalam sebuah dari taman di syurga.

4.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut dalam Fath al-Bari bahawa hadis ini menunjukkan orang yang menziarahi orang sakit berada dalam kedudukan hampir kepada rahmat syurga, dan pahala itu berterusan selama dia berada bersama pesakit.

5.  Ziarah orang sakit bukan hanya untuk pahala, tetapi juga untuk memberi sokongan moral, doa, dan mengingatkan tentang rahmat Allah serta kesabaran.

6.  Apabila menziarahi orang sakit, doakanlah pesakit.  Rasulullah SAW  mengajar doa ketika menziarahi orang sakit:

أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: Hilangkanlah penyakitnya wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah wahai zat Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak membawa rasa sakit. (HR Bukhari No: 5243) Status Hadis Sahih.

Tunaikanlah tanggungjawab kita untuk menziarahi sahabat yang sakit dan doakan kesembuhan kepadanya.


Saturday, January 3, 2026

Fakir dan Miskin Sebenar

Sabtu, 13 Rejab 1447H  |  Fakir dan Miskin Sebenar

عن أبي ذر رضي الله عنه  قَالَ لِي رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا أَبَا ذَرّ أَتَرَى كَثْرَة الْمَال هُوَ الْغِنَى  قُلْت : نَعَمْ . قَالَ : وَتَرَى قِلَّة الْمَال هُوَ الْفَقْر  قُلْت : نَعَمْ يَا رَسُول اللَّه . قَالَ : إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى الْقَلْب  وَالْفَقْر فَقْر الْقَلْب

Daripada Abi Dzar RA: “Rasulullah SAW berkata padaku, “Wahai Abu Dzar, apakah engkau memandang bahawa banyaknya harta itulah yang disebut kaya?” “ya,” jawab Abu Dzar. Baginda bertanya lagi, “Apakah engkau memandang bahawa sedikitnya harta itu bererti fakir?” “ya,” Abu Dzar menjawab dengan jawapan serupa. Lantas baginda pun bersabda, “Sesungguhnya kaya sebenar adalah kaya hati (hati yang selalu merasa cukup). Sedangkan fakir sebenar adalah fakirnya hati (hati yang selalu merasa tidak puas).” (HR. Ibnu Hibban No 685. Syaikh Syu’aib Al Arnauth berkata bahawa sanad hadis ini sahih sesuai syarat Muslim)

Pengajaran:

1.  Banyaknya harta dan kemewahan dunia bukanlah jalan untuk meraih kebahagiaan sejati.

2.  Kekayaan sejati adalah selalu merasa cukup dengan apa yang Allah beri, bersyukur dan tidak tamak walaupun sedikit. Itulah yang namanya qona’ah. Kekayaan sebenar bukanlah pada harta, tetapi pada hati yang merasa cukup dan bersyukur.

3.  Kemiskinan sebenar ialah rasa tidak cukup, tamak, sentiasa merasa kekurangan, walaupun memiliki banyak harta. Kemiskinan jiwa menjadikan manusia tamak, cemburu, dan tidak tenang, walaupun memiliki kemewahan.

4.  Ibnu Baththol menyatakan: “Hakikat kekayaan sebenarnya bukanlah dengan banyaknya harta. Kerana ramai orang yang diluaskan rezeki oleh Allah, namun ia tidak pernah merasa puas dengan apa yang diberi. Orang seperti ini selalu berusaha keras untuk menambah dan terus menambah harta, tanpa mengira dari manakah harta tersebut diperolehi. Orang inilah yang disebut fakir kerana usaha kerasnya untuk terus menerus memuaskan dirinya dengan harta.

5.  Ibnu Hajar Al Asqolani menyatakan: “Orang yang kaya hati adalah orang yang selalu qona’ah (merasa puas) dengan rezeki yang Allah beri. Ia tidak tamak untuk menambahnya tanpa ada keperluan. Ia selalu reda dengan rezeki Allah. Orang inilah yang akan kaya selamanya.

6.  Kaya bukan pada poket, tetapi pada hati. Fakir bukan kerana miskin harta, tetapi kerana rasa tidak cukup dan jauh daripada redha Allah.


Friday, January 2, 2026

Tekun dan Bersungguh-sungguh

Jumaat, 12 Rejab 1447H  |   Tekun dan Bersungguh-sungguh

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إن اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal menyukai apabila seseorang daripada kamu yang melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun (sebaik-baiknya dan sempurna).” (HR Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran

1.  Tekun bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan tugas atau kerja dengan sebaik dan sesempurna mungkin, penuh teliti, cekap serta bersungguh-sungguh sebagaimana yang dikehendaki tanpa kurang sedikitpun.

2.  Sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda bahawa Islam sangat menitikberatkan kualiti, bukan sekadar kuantiti atau bentuk luaran.

3.  Tekun adalah asas bagi menghasilkan prestasi dan mutu kerja yang berkualiti. Pekerja yang tekun akan sentiasa melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh penuh professional dan etika kerja yang tinggi pada setiap masa.

4.  Kesungguhan dan kecemerlangan dalam kerja adalah ibadah. Apabila dilakukan dengan niat yang ikhlas, kerja harian boleh menjadi amal soleh yang diberkati.

5.  Islam menolak sikap sambil lewa, malas, dan cuai. Sifat ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan peribadi, tetapi juga merosakkan imej agama.

6.  Ganjaran di sisi Allah bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah.

7.  Allah SWT mengasihi orang yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik dan bersungguh-sungguh penuh kecemerlangan dan ketekunan dalam setiap pekerjaan tidak kira kecil ataupun besar.

8.  Sempena tahun baru 2026 ini, marilah kita melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan tekun, penuh tanggungjawab, berintegriti dan cekap. Semoga menjadi insan terbaik dan cemerlang.


Thursday, January 1, 2026

Doa Mohon Keampunan dan Keselamatan

Khamis, 11 Rejab 1447H  |    Doa Mohon Keampunan dan Keselamatan

عن ابن عمر رضي الله عنهما قَالَ: لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يدع هؤلاء الكلمات إذا أصبح وَإذا أَمْسَى: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Daripada Ibn Umar RA berkata: Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini pada waktu petang dan pagi: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Peliharalah aku dari hadapan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu daripada ancaman yang datang (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” (HR Abu Daud No: 5074) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut sentiasa berdoa memohon kepada Allah kerana ia adalah sebahagian daripada ibadah.

2.  Keselamatan di dunia dan akhirat adalah nikmat terbesar yang sering dilupakan manusia. Doa ini mengingatkan agar kita sentiasa mensyukuri nikmat tersebut.

3.  Antara doa seorang Muslim adalah memohon keampunan iaitu  pelepasan daripada melakukan dosa dan memohon afiyah iaitu keselamatan di dunia dan akhirat.

4.  Syarah Sunan Ibn Majah menjelaskan: memohon ‘afiyah adalah memohon  keselamatan daripada sebarang kerosakan dan juga kesusahan. Menutup aib bermaksud menutup apa-apa yang memalukannya dan tidak disukai apabila ia dilihat oleh orang lain. Adapun, berilah ketenteraman di dalam hatiku bermaksud ketenangan hati daripada perasan takut, berbangga dan sebagainya. [Lihat: Syarah Sunan Ibn Majah, 1/276]

5.  Menurut Imam al-Nawawi: makna ‘afiyah di dalam doa di atas, adalah satu lafaz umum yang mana terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin serta agama sama ada di dunia dan juga di akhirat. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12]

6.  Syeikh al-Munawi menjelaskan: ‘afiyah bermaksud keselamatan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. [Lihat: Faidh al-Qadir, 107/4]

7.  Doa ini memohon keselamatan dan kesejahteraan pada agama daripada segala bentuk fitnah, pada tubuh badan daripada segala penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah. Hal ini termasuklah perlindungan daripada pelbagai wabak penyakit.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Doa ini mengandungi permohonan keampunan juga keselamatan hidup di dunia dan akhirat.  Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta melindungi kita daripada segala perkara yang tidak baik yang mungkin datang dari segala penjuru dan arah. Semoga kita selamat di dunia mahupun di hari akhirat. Selamat Menyambut Tahun Baru Masihi 2026.