Saturday, January 31, 2026

Puasa Hari Putih (13, 14 & 15) Haribulan Hijrah

Sabtu, 12 Syaaban 1447H  |  Puasa Hari Putih (13, 14 & 15) Haribulan Hijrah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Daripada Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari dalam setiap bulan iaitu hari-hari putih: hari ketiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Mengikut Imam Nawawi, ‘Ayyam al-Bidh’ (hari-hari putih) dinamakan demikian kerana bulan pada tarikh 13, 14 dan 15 haribulan Hijrah berada dalam keadaan penuh bercahaya.

2.  Puasa pada hari putih adalah sunat yang sangat dituntut dan menjadi amalan Rasulullah SAW.

3.  Berpuasa tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun (kerana kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda). Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” (HR Abu Daud No: 2449)

4.  Disepanjang bulan Syaaban ini kita digalakkan berpuasa sunat. Ada puasa sunat yang khusus antaranya puasa hari  Isnin dan Khamis juga puasa pada hari-hari putih (13, 14 dan 15) yang akan jatuh pada hari Ahad 01hb Feb, Isnin 02hb Feb dan Selasa 03hb Feb ini.

Marilah kita merebut peluang melaksanakan ibadah puasa sunat di bulan Syaaban ini. Kita berpuasa sunat Hari-hari Putih pada Ahad, Isnin dan Selasa ini.


No comments: