Tuesday, June 23, 2026

Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharam)

Selasa, 7 Muharam 1448H   | Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharam)

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abdullah bin Abbas RA, beliau berkata: Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa pada hari tersebut, ada sahabat yang berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang Yahudi dan Nasrani. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jika sampai tahun hadapan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Abdullah bin Abbas berkata: Namun, belum sampai tahun depan, Rasulullah SAW telah wafat. (HR Muslim No: 1916) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Hadis ini menunjukkan bahawa puasa hari Asyura merupakan ibadah yang sangat diberi perhatian oleh Rasulullah SAW.
 
2.    Antara hari yang digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa sunat hari Tasu'a (9hb Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam).
 
3.    Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam)  dan puasa sunat Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.
 
4.    Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:
 
a)    Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura  (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b)   Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c)    Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

5.    Marilah kita tunaikan puasa Sunat Tasu'a (9hb Muharam) yang jatuh pada 25hb Jun hari Khamis dan puasa Sunat Asyura (10hb Muharam) pada 26hb Jun hari Jumaat. Moga Allah akan mengampukan dosa-dosa kita setahun yang lalu.

No comments: