Friday, July 3, 2026

Kemuliaan Ahli Al-Quran

Jumaat, 17 Muharam 1448H  |   Kemuliaan Ahli Al-Quran
 
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا
 
Daripada Abdullah bin Amr RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Akan dikatakan kepada ahli al-Quran: 'Bacalah, naiklah (ke darjat yang lebih tinggi) dan bacalah dengan tartil sebagaimana engkau membacanya di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu adalah pada ayat terakhir yang engkau baca.' (HR Abu Daud No: 1464) Status Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1.    Mengikut Al-Mubarakfuri, istilah "Sahib al-Quran" (ahli al-Quran) merujuk kepada orang yang sentiasa membaca, menghafaz, memahami, mengamalkan ajaran al-Quran serta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Mereka akan memperoleh kemuliaan yang tinggi pada hari kiamat.

2.    Membaca al-Quran secara istiqamah menjadi sebab peningkatan darjat di syurga.

3.    Bacaan al-Quran hendaklah dilakukan secara tartil iaitu menjaga tajwid, huruf, hukumnya dengan tenang, jelas dan penuh penghayatan, bukan tergesa-gesa.

4.    Menghafaz al-Quran merupakan amalan yang sangat mulia apabila disertai kefahaman dan pengamalan.

5.    Darjat manusia di sisi Allah SWT bergantung kepada iman, amal dan hubungan mereka dengan al-Quran.

6.    Pendidikan al-Quran hendaklah melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir membaca, tetapi juga memahami dan menghayati perintah al-Quran.

7.    Setiap Muslim perlu berusaha memperbanyakkan bacaan al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya sepanjang hayat.

8.    Hadis ini sewajarnya menjadi pendorong kepada setiap Muslim agar membina hubungan yang berterusan dengan al-Quran melalui bacaan yang tartil, tadabbur yang mendalam dan pengamalan yang istiqamah.

No comments: