Saturday, July 4, 2026

Al-Quran, Sakinah dan Rahmat

Sabtu, 18 Muharam 1448H  |   Al-Quran, Sakinah dan Rahmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah masjid (rumah Allah), lalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan saling mempelajari sesama mereka, melainkan akan turun kepada mereka ketenangan (Sakinah), mereka diliputi rahmat, dan dikelilingi oleh para malaikat, serta Allah akan menyebut mereka dihadapan makhluk yang berada di sisi-Nya (malaikat). Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).' (HR Muslim No: 2699) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Masjid ialah pusat pendidikan, pembinaan rohani dan penyebaran ilmu al-Quran.
 
2.    Membaca al-Quran dan mempelajarinya merupakan amalan yang sangat digalakkan.
 
3.    Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, hubungan dengan al-Quran tidak cukup sekadar membaca, bahkan hendaklah disertai dengan tadabbur, mengambil pengajaran dan penghayatan terhadap maknanya.
 
4.    Orang yang berkumpul di masjid untuk mempelajari, membaca Al-Quran, Allah akan mengurniakan kepadanya ketenangan, rahmat, dan akan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.
 
5.    Menurut Ibn Hajar, rahmat Allah yang meliputi dalam majlis al-Quran merangkumi keampunan dosa, keberkatan hidup, pertambahan hidayah, kemudahan melakukan amal soleh juga perlindungan daripada keburukan.
 
6.    Hadis ini menjadi dorongan yang kuat kepada setiap Muslim untuk menghidupkan masjid, institusi pendidikan dan rumah dengan majlis bacaan, tadabbur serta pengajian al-Quran, kerana di situlah lahirnya masyarakat yang berilmu, beriman dan mendapat limpahan rahmat serta keberkatan.
 
7.    Barang siapa yang kurang amalnya semasa di dunia,  maka keturunannya tidak akan dapat menambah amalnya. (Amal kita seperti solat, puasa adalah tanggungjawab kita).
 
8.    Kemuliaan seseorang tidak bergantung kepada keturunan, bangsa atau kedudukan sosial, sebaliknya bergantung kepada iman dan amal soleh.
 

No comments: