Thursday, July 2, 2026

Kemuliaan Buat Pembaca al- Quran dan Kedua Ibubapa

Khamis, 16 Muharam 1448H  |  Kemuliaan Buat Pembaca al- Quran dan Kedua Ibubapa
 
عَنْ بُرَيْدَةَ الْأَسْلَمِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَتَعَلَّمَهُ وَعَمِلَ بِهِ، أُلْبِسَ وَالِدَاهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تَاجًا مِنْ نُورٍ، ضَوْؤُهُ مِثْلُ ضَوْءِ الشَّمْسِ، وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لَا تَقُومُ لَهُمَا الدُّنْيَا، فَيَقُولَانِ: بِمَ كُسِينَا هَذَا؟ فَيُقَالُ: بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ
 
Daripada Buraidah al-Aslami RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca al-Quran, mempelajarinya dan beramal dengannya, maka pada hari kiamat kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota yang diperbuat daripada cahaya. Cahayanya lebih terang seperti cahaya matahari. Kedua-dua ibu bapanya juga akan dipakaikan dua persalinan yang nilainya tidak dapat ditandingi oleh seluruh isi dunia. Lalu mereka bertanya: 'Mengapakah kami dikurniakan semua ini?' Maka dijawab: 'Kerana anak kamu berpegang teguh kepada al-Quran.'" (HR Abu Daud No: 1453) Status Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1.    Membaca, mempelajari, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran merupakan antara amalan yang paling mulia.

2.    Kemuliaan sebenar al-Quran diperoleh melalui pembacaan, penghayatan dan pengamalan, bukan bacaan semata-mata.

3.    Pendidikan al-Quran dalam keluarga merupakan tanggungjawab yang sangat besar.

4.    Ibu bapa yang mendidik anak mencintai al-Quran akan memperoleh ganjaran yang besar di akhirat, berbentuk mahkota dan pakaian yang tidak ternilai.

5.    Menurut Ibn Hajar, ibu bapa memperoleh pahala kerana mereka menjadi sebab kepada pendidikan dan pembentukan anak. Orang yang menunjukkan jalan kepada kebaikan akan turut mendapat ganjaran seperti orang yang melakukannya, tanpa mengurangkan pahala pelakunya.

6.    Anak yang soleh menjadi sebab berterusannya pahala kepada ibu bapa.

7.    Ganjaran Allah SWT di akhirat jauh melebihi segala kemewahan dunia.

8.    Setiap Muslim hendaklah berusaha mempelajari, membaca, memahami maksud, menghafaz, menghayati dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup agar memperoleh kemuliaan untuk dirinya dan juga ibu bapanya.
 

No comments: