Rabu, 13 Rabiul Awal 1448H | Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham
عَنْ الْعِرْبَاضِ بْنِ سَارِيَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ، فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً، وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ، وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَأَنَّهَا مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَأَوْصِنَا. قَالَ: أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ، وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ، تَمَسَّكُوا بِهَا، وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Daripada Al-'Irbadh bin Sariyah RA berkata; "Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda menyampaikan nasihat yang sangat menyentuh hati sehingga hati kami berasa gemetar, dan airmata berlinangan. Lalu kami berkata; "Wahai Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat seorang yang hendak berpisah dengan kami. Maka wasiatkanlah sesuatu kepada kami”. Baginda bersabda: "Aku berwasiat kepada kamu supaya bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat (kepada pemimpin) meskipun pemimpin itu seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa antara kamu yang masih hidup selepas aku akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk (khulafa ar-rasyidin). Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham kamu (berpeganglah dengan sangat kuat). Dan jauhilah (bid’ah) perkara-perkara baharu (dalam urusan agama), kerana setiap bid'ah itu adalah kesesatan”. (HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menjadi asas dalam menjaga agama, kerana mengandungi tuntutan takwa, ketaatan, berpegang kepada sunnah dan larangan bid‘ah.
2. Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa takwa adalah asas bagi keselamatan dunia dan akhirat. Taqwa kepada Allah, iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
3. Hendaklah kita bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin yang benar dan hak, meskipun kepada seorang hamba Habsyi. Ibn Hajar menyebut bahawa ketaatan kepada pemimpin ini penting untuk mengelakkan perpecahan dan kekacauan dalam masyarakat.
4. Sepeninggalan Rasulullah SAW, akan berlaku banyak perselisihan. Sebagai orang beriman, kita mesti berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah SAW dan khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk (perumpamaan menggigit dengan gigi geraham lebih kuat dan mantap).
5. Berpegang teguh dengan sunnah ialah teguh dan berterusan mengikuti dan mencontohi semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam segenap lapangan hidup. Jadilah seperti Saidina Abu Bakar Ash Shiddiq RA yang menyatakan:
لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ إِنِّي أَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيْغَ
“Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah SAW amalkan kecuali aku mengamalkannya kerana aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.”
6. Jangan terlibat dengan perkara bid’ah yang dikeji dengan menambah atau mengurangkan dalam hal agama yang tiada dalil syarak. Imam al-Syafi‘i menjelaskan bahawa bid‘ah yang tercela ialah yang menyalahi al-Quran, Sunnah, ijmak atau athar sahabat.
Hadis ini mengandungi wasiat penting Rasulullah SAW agar setiap Muslim bertakwa kepada Allah, taat kepada pemimpin, berpegang teguh dengan sunnah Baginda dan sunnah khulafa’ ar-rasyidin, serta menjauhi perkara-perkara baru yang tidak ada asas dalam agama.
No comments:
Post a Comment