Monday, November 2, 2026

Tasbih, Tahmid dan Takbir Sebelum Tidur

Isnin, 22 Jamadil Awal 1448H  |  Tasbih, Tahmid dan Takbir Sebelum Tidur
 
حَدَّثَنَا عَلِيٌّ أَنَّ فَاطِمَةَ عَلَيْهَا السَّلَام شَكَتْ مَا تَلْقَى مِنْ أَثَرِ الرَّحَا فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبْيٌ فَانْطَلَقَتْ فَلَمْ تَجِدْهُ فَوَجَدَتْ عَائِشَةَ فَأَخْبَرَتْهَا فَلَمَّا جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَتْهُ عَائِشَةُ بِمَجِيءِ فَاطِمَةَ فَجَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْنَا وَقَدْ أَخَذْنَا مَضَاجِعَنَا فَذَهَبْتُ لِأَقُومَ فَقَالَ عَلَى مَكَانِكُمَا فَقَعَدَ بَيْنَنَا حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَ قَدَمَيْهِ عَلَى صَدْرِي وَقَالَ أَلَا أُعَلِّمُكُمَا خَيْرًا مِمَّا سَأَلْتُمَانِي إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا تُكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ وَتُسَبِّحَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَتَحْمَدَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ
 
Telah bercerita kepada kami Ali RA bahawa Fatimah AS mengadu tentang kesan dan kepayahan yang dialaminya akibat menggunakan batu pengisar. Tidak lama kemudian dibawa kepada Nabi SAW beberapa tawanan perang sebagai ghanimah. Fatimah pergi menemui Baginda  SAW untuk memohon seorang pembantu. Namun beliau tidak menemui Baginda, lalu bertemu Aisyah RA dan memberitahunya tentang perkara tersebut. Apabila Nabi SAW pulang, Aisyah RA memberitahu Baginda tentang kedatangan Fatimah. Lalu Nabi SAW datang menemui kami ketika kami telah berada di tempat tidur. Aku hendak bangun, tetapi Baginda bersabda: "Tetaplah di tempat kalian". Lalu baginda duduk di antara kami hingga aku rasakan pada dadaku kaki baginda yang dingin lalu baginda bersabda: "Mahukah kalian berdua aku ajarkan perkara yang lebih baik dari yang kalian minta?. Apabila kamu berdua telah berada di tempat tidur, bertakbirlah tiga puluh empat kali, bertasbihlah tiga puluh tiga kali dan bertahmidlah tiga puluh tiga kali. Sesungguhnya ia lebih baik bagi kalian berdua daripada seorang pembantu".(HR Bukhari No: 3429) Status : Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.  Sebagai manusia kita mengharapkan bantuan orang lain bagi menyempurnakan pekerjaan seperti Fatimah mengharapkan dapat pembantu yang akan membantu kerja-kerja rumahnya.
 
2.  Zikir sebelum tidur merupakan Sunnah yang sangat besar nilainya. Tasbih Fatimah (tasbih 33, tahmid 33 dan takbir 34) wajar dijadikan rutin harian seorang Muslim.
      
3.  Tasbih, tahmid dan takbir yang dilafazkan oleh seseorang sebelum tidur sebanyak 100 kali (tasbih 33, tahmid 33 dan takbir 34) lebih baik dari memiliki pembantu (hamba).
 
4.  Zikir kepada Allah memberikan kekuatan hati, ketenangan jiwa dan pertolongan dalam menghadapi kepayahan.
 
5.  Kekuatan rohani membantu menghadapi kepenatan fizikal. Rasulullah SAW membimbing Fatimah RA kepada zikrullah ketika beliau memerlukan bantuan menghadapi beban kehidupan.
 
6.  Ibu bapa perlu mendidik anak dengan kasih sayang. Cara Rasulullah SAW mendekati Fatimah (anaknya) dan Ali (menantunya) menunjukkan kelembutan seorang ayah dan pendidik.
 
7.  Suami isteri digalakkan membina kehidupan berasaskan zikrullah. Nabi SAW mengajarkan zikir ini kepada Ali dan Fatimah bersama-sama, bukan kepada Fatimah seorang sahaja.
 

No comments: