Thursday, January 11, 2024

Berilmu Satu Jalan Ke syurga

 Khamis, 29 Jamadilakhir 1445H |  Berilmu Satu Jalan Ke syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca Al Quran dan saling mempelajari di antara mereka, melainkan akan turun kepada mereka ketenangan (Sakinah), mereka akan diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat, dan Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. (HR Muslim No: 4867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang menuntut ilmu akan dipermudahkan Allah jalan untuknya ke syurga.

2.  Orang yang berhimpun di masjid untuk membaca al-Quran dan saling mempelajarinya, akan memperolehi:

a.  Dicucuri rahmat dan ketenangan dari Allah
b.  Dikelilingi malaikat dan akan dilindungi
c.  Allah menyebut tentang mereka kepada malaikat.

3.  Orang yang tidak melakukan amal solleh seperti mempelajari ilmu, membaca dan mendalami al-Quran, dia tidak akan memperolehi kelebihan di atas.

4.  Kata Abu Darda’ RA: “Aku mempelajari satu masalah ilmu itu lebih aku suka daripada qiyamullail”.

5.  Kata Ibn al-Mubarak RA: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”

Berusahalah kita mempelajari ilmu yang akan mempermudahkan jalan kita kesyurga.

Semoga ilmu dan al-Quran akan menjadi bekalan dan meninggikan kedudukan kita di syurga.

Kedudukan kita di syurga bergantung dengan amalan dengan ilmu yang benar semasa kita hidup di dunia.


No comments: