Khamis, 22 Jamadilakhir 1445H | Buat Yang Terbaik Minta Yang Terbaik
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّة وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّة
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di Syurga itu ada seratus tingkatan yang telah Allah sediakan bagi mereka yang berjihad di jalan Allah. Jarak antara satu tingkatan dengan tingkatan lainnya itu bagaikan jarak antara langit dan bumi. Apabila kalian berdoa memohon kepada Allah maka mintalah kepada-Nya Syurga Firdaus, kerana Syurga Firdaus adalah Syurga yang paling tengah dan paling atas (tinggi). Di atasnya terdapat ‘Arsy Allah Dzat Yang Maha Pengasih. Dari Syurga Firdaus itulah seluruh mata air sungai-sungai Syurga mengalir” (HR Bukhari No: 2581) Status: Hadis Sahih
Pengajaran
1. Setiap kita sentiasa mengharapkan untuk menjadi orang yang paling baik dan cemerlang dalam hidup di dunia dan akhirat.
2. Mendapat ganjaran Syurga di hari akhirat amat diharapkan oleh setiap orang. Rasulullah SAW menyuruh berdoa agar mendapat Syurga yang paling baik iaitu Syurga Firdaus.
Dalam hadis dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda tentang Syurga Firdaus;
الْفِرْدَوْسُ رَبْوَةُ الْجَنَّةِ وَأَوْسَطُهَا وَأَفْضَلُهَا
Maksudnya: Firdaus adalah syurga yang paling tinggi, yang paling bagus, dan yang paling afdhal. (HR Tirmizi No 3174) Status hadis Sahih.
3. Menjadi cemerlang dan terbaik menuntut kita berusaha dan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memperolehinya. Saidina Ali pernah berkata: “Biarlah cita-cita engkau setinggi langit, kalau pun engkau tidak mencapai semuanya, sebahagiannya adalah lebih dari setinggi-tinggi cita-cita yang dari mulanya lagi telah rendah”.
4. Kecemerlangan tidak dianugerahkan kepada orang yang melakukan usaha sambil lewa tetapi yang berlumba dan bersungguh-sungguh melakukan kebaikan.
5. Dalam kita berdoa, mintalah yang paling baik dan diredhai Allah antaranya meminta agar dimasukkan ke dalam Syurga Firdaus.
No comments:
Post a Comment