Thursday, August 28, 2025

Saling Berkasih Sayang Dengan Menyebarkan Salam

Khamis, 4 Rabiul Awal 1447H  | Saling Berkasih Sayang Dengan Menyebarkan Salam

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman. Dan kamu tidak dikatakan benar-benar beriman sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang apabila kamu melakukannya, nescaya kamu akan saling berkasih sayang? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kamu.” (Sahih Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syurga hanya untuk orang yang beriman

2.  Satu daripada syarat menjadi orang beriman ialah saling menyayangi sesama mereka

3.  Menurut Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, syarat utama untuk masuk syurga ialah iman yang sempurna. Namun, iman itu tidak akan sempurna melainkan dengan adanya kasih sayang sesama Muslim.

4.  Kasih sayang yang dimaksudkan bukan hanya perasaan di hati, tetapi dizahirkan dengan perbuatan seperti memberi salam, membantu, mendoakan, dan menjaga hak-hak persaudaraan.

5.  Tuntutan menyebarkan salam apabila bertemu sesama Muslim sama ada orang yang kita kenal atau tidak.

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ

“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. [HR Muslim, no 56]

6.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa amalan memberi salam adalah kunci kepada perhubungan hati. Salam bukan sekadar ucapan, tetapi doa keselamatan dan kesejahteraan bagi saudaranya.

7.  Salam menumbuhkan rasa cinta, menghilangkan kebencian, mengeratkan silaturahim, dan memupuk suasana aman dalam masyarakat.


No comments: