Monday, August 25, 2025

Sayangi Manusia Lain

Isnin, 1 Rabiul Awal 1447H  | Sayangi Manusia Lain

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ

Daripada Jarir bin Abdullah RA berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia." (HR Bukhari  No: 6828) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat saling mengasihi dan menyayangi sesama manusia adalah suatu keperluan dalam mewujudkan kehidupan yang rahmah dan berkasih sayang.

2.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa maksud hadis ini ialah sesiapa yang tidak menzahirkan sifat rahmah (kasih sayang, belas ihsan, simpati, tolong-menolong) terhadap orang lain, maka Allah tidak akan melimpahkan rahmat-Nya kepadanya.

3.  Menyayangi sesama manusia dengan cara menunaikan tanggungjawab yang menjadi hak orang lain yang berada di sekeliling antaranya seperti sabda Rasulullah SAW:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain itu ada enam: (iaitu) apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah dia, apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, doakan dia (dengan mengucapkan Yarhamukallah), apabila dia sakit, jenguklah dia, dan apabila dia meninggal, iringilah jenazahnya.” (HR Muslim No: 4023) Status: Hadis Sahih

4.  Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini bersifat umum iaitu meliputi rahmat kepada semua manusia, sama ada Muslim atau bukan Muslim, kanak-kanak, orang tua, fakir miskin, hamba, atau sesiapa sahaja.

5.  Kasih sayang sesama manusia akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan terhindar daripada penindasan.

6.  Jauhilah sifat benci, dengki, sakit hati sesama kita juga kaum dan bangsa lain. Jadikanlah perbezaan bangsa untuk kita saling berkenal mesra dan menyebarkan kebaikan agar kita menjadi qudwah kepada mereka.


No comments: