Rabu, 3 Rabiul Awal 1447H | Saling Berkasih Sayang Kerana Allah Dinaungi Di Hari Kiamat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak: "Dimanakah orang-orang yang saling berkasih sayang kerana keagungan-Ku? Hari ini kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku." (Sahih Muslim No: 4655) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1.Saling mengasihi dan berkasih sayang antara sesama orang beriman adalah suatu tuntutan.
2. Menurut Imam al-Nawawi, kasih sayang kerana Allah bermaksud seseorang mencintai saudaranya semata-mata kerana agama, iman dan ketaatan, bukan kerana dunia, harta, atau kepentingan lain.
3.Dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah akan tergolong dalam salah satu golongan yang akan mendapat naungan di hari Kiamat. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa naungan Allah adalah satu bentuk perlindungan khusus daripada kepanasan dan kesusahan di Padang Mahsyar.
4.Ibnu Hajar rahimahullah berkata, dua orang yang saling menyayangi di jalan Allâh, di mana ia berpisah dan berkumpul kerana-Nya, iaitu apabila keduanya saling menyayangi kerana agama, bukan kerana yang lainnya. Menyayangi kerana agama ini tidak putus, baik dia berkumpul secara hakiki atau tidak, sampai kematian memisahkan keduanya.
5.Seorang lelaki yang menyayangi lelaki lain kerana Allah begitu juga wanita yang menyayangi wanita lain kerana Allah, dianjurkan oleh Rasûlullâh SAW agar kita memberitahu kepadanya. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis dengan lafaz:
إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ
Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allâh
Kemudian balaslah ucapan tersebut dengan lafaz:
أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ
Mudah-mudahan Allâh menyayangimu yang telah menyayangiku kerana-Nya.
Dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera, berusahalah kita memiliki seramai mungkin sahabat yang baik dengan mengasihi mereka. Moga kita tergolong dalam golongan yang mendapat naungan di hari akhirat nanti dengan saling menyayangi sahabat kita semata-mata kerana Allah.
No comments:
Post a Comment